BAB 2

832 2 0
                                    


GADIS berusia 20 tahun yang baharu sebulan bekerja di Restoran Selera Benteng itu mengeluh kepenatan. Dia masuk kerja sejak pukul 5.00 petang tadi dan sekarang jarum jam sudah menuding ke angka 12 tengah malam. Pelanggan agak ramai kerana malam itu adalah malam minggu. Pada hari-hari biasa, restoran itu akan menamatkan operasinya tepat pada jam 12 tengah malam. Tetapi kebiasaan itu akan sedikit berubah apabila tibanya malam minggu.

Setelah jarum jam menuding ke pukul 1.00 pagi baharulah ruang restoran lengang. Nurulhamna menghempas punggungnya ke kerusi. Melepas lelah.

"Letih ke?" soal Azhar, yang bekerja sebagai pembantu tukang masak. Minggu hadapan, anak muda lulusan UiTM itu akan memulakan kerjayanya sebagai chef di sebuah hotel terkemuka.

"Letih litak nampaknya tu." Kata Azhar ketika melihat riak wajah murung Nurulhamna. Dia melabuhkan punggung di hadapan gadis berusia 20 tahun itu. "Mula-mula kerja memanglah macam ni, Amna. Lama-lama nanti terbiasalah tu," katanya menyabarkan Nurulhamna.

"Menangis urat sendi Amna, ni. Tempurung lutut Amna pulak rasa macam dah nak tercabut." Nurulhamna mengadu. Tercemik-cemik wajahnya tatkala menutur bicara, seolah-olah cuba meraih simpati si pendengar.

Azhar tertawa kecil.

"Bagi Abang Zahar kerja sebulan dua dulu kat hotel tu. Abang janji, abang akan rekomenkan Amna kerja kat situ."

"Betul ke?"

"Eh, betullah! Kalau kita kerja setempat bolehlah Abang Zahar tengok Amna hari-hari," ujar Azhar sambil tersenyum. Entah serius dengan kata-katanya ataupun hanya sekadar sebuah usikan, Nurulhamna tidak dapat meneka.

"Entah-entah kat sana nanti Abang Zahar akan jumpa perempuan yang lebih cantik dari Amna. Amna ni orang kampung aje, bang," kata Nurulhamna merendah diri.

"Orang kampung ke... orang bandar ke, sama ajelah darjat kita. Kita semua ni manusia, kan? Yang penting darjat kita di sisi Allah Taala." Lembut suara Azhar menusuk gegendang telinga Nurulhamna.

Seulas senyum nipis tersungging di bibir Nurulhamna. Azhar memang baik orangnya. Sejak dari hari pertama Nurulhamna bekerja di restoran itu lagi, Azhar begitu mengambil berat terhadap dirinya berbanding rakan-rakan sekerjanya yang lain. Sikap Azhar berbeza dengan Sapian yang suka mengarah itu dan ini kepada Nurulhamna.

"Amna, aku nak balik ni. Kau nak tumpang aku tak?" Tiba-tiba satu suara menyapa. Ianya milik Sapian.

Nurulhamna memandang wajah Azhar di hadapannya.

"Elok Amna tumpang Pian. Hari ni Abang Zahar lupa nak bawa helmet," saran Azhar. "Pian, kau hantar Amna balik tau. Jangan melencong ke tempat lain pulak." Dia mengingatkan.

"Siapa suruh kau lupa bawa helmet!" Sapian membidas sambil menoleh ke arah Nurulhamna.

"Amna, kau nak tumpang aku tak? Jangan risaulah, aku tak selera dengan kau. Awek aku lagi cantik daripada kaulah," ujar Sapian mendabik dada.

Nurulhamna menjelirkan lidahnya ke arah Sapian.

"Kalau tak nak tumpang, sudah!" Sapian bersuara, seolah-olah marah.

"Ala, nak merajuk pulak dah? Okey... okey, Amna tumpang Abang Pian. Jomlah kita balik. Amna dah mengantuk sangat ni," kata Nurulhamna. "Abang Zahar, Amna balik dululah," sambung Nurulhamna sambil mengekori Sapian yang sudah mengatur langkah menuju ke pintu.

"KERETA kecik aje," kata Sapian sambil membukakan pintu keretanya untuk Nurulhamna.

"Ala, kecik-kecik pun, ada jugak kereta. Amna ni apa pun tak ada." Getus Nurulhamna ketika melabuhkan punggungnya di atas kerusi penumpang. Tali pinggang keledar terus dipasang ke tubuhnya.

Sapian menutup pintu lalu bergegas menuju ke tempat duduk pemandu pula. Enjin kereta dihidupkan dan kereta dipandu menuju ke destinasi.

"Abang gurau-gurau aje sebenarnya," kata Sapian ke arah gadis yang duduk di sebelahnya.

"Bergurau tentang apa?"

Soalan Nurulhamna tidak dijawab dengan kadar segera oleh Sapian. Sebaliknya jejaka itu ketawa kecil.

"Eh, dia tergelak pulak."

"Abang bergurau aje tentang awek tu. Sebenarnya abang belum ada awek lagilah. Abang masih solo. Kalau Amna nak mengurat abang, ya silakan!" getus Sapian sambil menyambung tawa.

Nurulhamna di sebelahnya mendengus.

"Apa kurangnya abang kalau dibandingkan dengan si Azhar tu? Abang rasa, muka abang ni dua kali ganda lebih handsome daripada dia."

"Uweekkk... uwekkk! Nak muntah hijau Amna!" Itulah reaksi spontan Nurulhamna sebaik sahaja meluncur kata-kata itu dari mulut Sapian.

Reaksi Nurulhamna yang agak lucu itu membuatkan gelak ketawa Sapian semakin melebat. Dia memang sudah terpikat dengan gadis yang duduk di sisinya itu sejak dari mula Nurulhamna masuk bekerja dahulu. Tetapi dia rasa segan hendak meluahkan isi hatinya kerana merasakan Nurulhamna lebih menyukai Azhar berbanding dirinya. Dinihari itu, dia seolah-olah disuntik semangat untuk berterus-terang akan perasaannya terhadap Nurulhamna. Tetapi seperti yang telah diduga, luahannya hanya mendapat sendaan Nurulhamna.

Tidak mengapalah, hatinya berbisik sambil menoleh ke wajah Nurulhamna. Terbelai seketika hatinya tatkala melihat wajah itu walaupun hanya samar-samar pada pandangannya. Tiba-tiba sejalur cahaya menyuluh ke wajah Sapian. Serentak itu terdengar lengkingan jeritan Nurulhamna di sebelahnya.

Sapian panik. Kenderaan di hadapan meluru dengan laju ke arah mereka. Dalam keadaan kelam-kabut sewaktu hendak mengelakkan pertembungan, kereta yang dipandu Sapian menjadi tidak terkawal lalu terbabas ke tepi jalan.

Dinihari itu dicemari bunyi bising. Beberapa ketika kemudian, kebisingan itu terhenti. Sekeliling menjadi sunyi dan sepi...

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 03, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

KECUBUNGWhere stories live. Discover now