Reyzal (Prolog)

871 13 0
                                    

Aku segera mencapai kertas A4 lalu melipat tiga menjadi segitiga yang boleh berdiri. Kemudian aku tulis nama aku besar-besar. Harapnya prof yang bakal mengajar dapat membacanya dari jauh. Setelah siap, aku tatap lama nama aku sendiri. Nama yang mudah. Hanya ada dua suku kata. Tak berjela-jela sehingga boleh berbelit lidah untuk menyebutnya. Aku yakin hatta seorang Perancis pun mampu menyebutnya juga.

"Wei korang! Korang ada study apa-apa semalam?" tanya Rise di sebelah kanan aku dengan bersuara kuat. 

"Power sangat kalau ada yang study semalam wei. Lagi-lagi ada krisis tertinggal train!" Mayday menyahut dari barisan seberang sebelum senyum sinis mengerling pada geng perempuan. Aku diam seribu bahasa. Jujurnya, dalam kelam-kabut semalam, aku sebenarnya ada mencuri masa untuk study. Tapi ... sekadar tengok gambar dan acah-acah membacanya. Nak kata ianya sebuah ulangkaji, memang tak. Sebab sepatah haram pun aku tak faham apa yang aku baca!

Aku menarik nafas dalam. Cuba meredakan rasa gemuruh yang tiba-tiba hinggap lalu mengerling pada Jawa di duduk sebelah kiri aku. Dia ligat berbual dengan Songkok, yang duduk berdekatan. Ah, nama sebenar rakan-rakan sekelas belum tersemat dalam otak. Mereka semua tidak aku kenali sehingga kami sembilan orang sama-sama menaiki penerbangan ke sebuah negara yang popular dengan keju, wine dan kucupan berahi yang berlatarkan sebuah menara besi. Mayday dan Rise pula tiba beberapa hari kemudian.

Riuh kami 11 orang segera mati sebaik sahaja pintu kelas terkuak. Seorang wanita yang agak berumur menjengah ke dalam, membalas pandangan kami yang terkebil-kebil. Dia menarik semula kepalanya membaca plak nama kelas berhampiran pintu. Kemudian dia bermonolog entah apa kemudian melangkah masuk. Mata kami tidak berkalih memandang, seolah-olah melihat seekor alien yang berkaki dan berpakaian wanita sedang berjalan ke mejanya. Dari kedudukan aku, meja guru terlindung di balik kepilan kertas magik yang berdiri di tengah. Sengaja aku pilih kedudukan ini. Mesra intovert.

Setelah meletakkan tas tangannya, wanita tua itu melemparkan senyuman paling mesra dan memandang kami seorang demi seorang menerusi kaca mata yang sedikit melurut pada batang hidung.

"Bonjour!" ucap wanita akhirnya.

"Bonjour!" sahut kami dengan penuh semangat. Itu satu-satunya perkataan French yang paling cepat aku tangkap selain merci yang bermaksud 'terima kasih'.

Dia memperkenalkan dirinya sebagai Rozie, salah seorang guru yang akan mengajar kami Bahasa Perancis di Centre Du Langue de Colmar (CEL). Akan ada lagi guru-guru lain yang bakal mengajar kami. Tapi hari ini khas untuk Rozie. Biasanya dialah yang mengajar untuk kelas pemulaan seperti kami yang sedikit pun tidak tahu asas French. Dia mampu berbahasa Inggeris dengan baik, katanya. Maka ia mudah bagi kami untuk memahami apa yang diajarnya di depan.

Aku menarik nafas dalam sekali lagi, cuba meredakan jantung yang mula merancakkan tempo gendang. Belum apa-apa gemuruh tak tentu pasal. Bibir pun aku rasakan kering. Walhal Prof Rozie baru je menulis namanya di papan putih. Apakah sebab aku yakin yang seorang guru tua empunya sifat cerewet yang tinggi? Atau hakikatnya aku bakal belajar bahasa baru yang mana rekod kehidupan mengatakan aku pasti gagal? Atau naluri aku dapat mengagak sesuatu yang buruk bakal berlaku walau aku tidak tahu apa dia?

Selesai menulis nama, Prof Rozie memandang kami. Seorang demi seorang dia pandang lagi. Aku cuba tidak mengedipkan mata. Lalu dia bersuara menutur sesuatu dengan tona suara arahan. Tapi apa yang dia suruh? Sepatah haram pun aku tak faham! Aku sempat mengintai kiri dan kanan. Masing-masing juga berwajah 10 sen dan juga blur dengan mata terkebil-kebil. Arahannya tadi, tiada sepatah perkataan English pun yang meluncur keluar. Dan ini adalah kelas bahasa perancis pertama kami sepanjang hidup kami!

Sebaik sahaja Rozie menghabiskan ayat, kami 10 orang serentak memandang pada Mint, salah seorang rakan perempuan dalam kalangan kami. Hanya dia seorang sahaja yang pernah belajar French semasa di sekolah menengah. Pandangan kami menyampaikan mesej – wei, tolong translate!

RENTAS : Peluang KeduaOù les histoires vivent. Découvrez maintenant