Bab 2 -

159 2 0
                                    

Aku menukar siaran televisyen lagi. Kali ini muncul wajah gadis pembaca pemberita. Sejak wabak COVID-19 melanda, angka mereka yang dijangkiti sentiasa disampaikan kepada masyarakat.

Setelah hampir dua bulan melaksanakan PKP penuh, hampir 100% dunia tidak bergerak. Semua perniagaan tidak dibuka atau dilarang untuk beroperasi. Jalan raya kosong, hanya ditemani warga frontliners yang menjaga sempadan kawasan lockdown.

Masing-masing berdoa agar segalanya akan kembali seperti tahun 2019, lebih-lebih lagi mereka yang kehilangan mata pencarian. Hanya mereka yang pernah hilang mata pencarian sahaja yang tahu tahap kegusaran di hati. Ia seperti mencari jalan keluar di dalam bilik yang gelap gelita, dengan tangan cuba menggapai apa yang ada untuk dijadikan sokongan.

Mujur RENTAS menjadi cahaya kecil menyelamatkan aku.

Cumanya aku kembali tidak senang apabila sehingga malam, aku tidak menerima sebarang arahan yang lain.

Aku menjeling pada surat Samarin di meja. Masih berkeadaan terbuka sebagaimana aku biarkan sejak tengahari. Arahan hari ini mudah. Sekadar duduk dalam bilik dan berehat. Apakah arahan seterusnya akan diberikan esok?

Aku melompat dari katil lalu membaca surat tersebut beberapa kali. Sampai berkerut kening membaca sambil memikirkan jika ada mesej tersembunyi. Atau boleh jadi ujian tapisan terhadap calon-calon RENTAS.

Mungkin mereka tidak mahu calon yang berusaha secara minimal. Lalu aku menterbalikkan surat dan mengambil pena. Baru sahaja aku hendak menulis, aku angkat semula pena. Peristiwa penting dalam hidup?

Aku mengerutkan seribu sambil minda memutar laju babak-babak kehidupan silam. Babak segera berhenti dengan imej ibu yang berwajah kecewa. Aku mengukir senyum pahit. 'Sudah pastinya yang ini - menolak biasiswa belajar.' Semasa aku mencoret, minda aku terbayang makan malam mewah.

Kalau dapat hotel punya grilled chicken ni best juga, bisikku.

Tiba-tiba loceng pintu berbunyi. Makan malam! Kali ini aku berlari dan buka pintu cepat-cepat. Hanya ada tray makanan di lantai koridor. Aku segera menjengah koridor mengharapkan kelibat si tukang hantar. Kalau tidak di sebalik dinding, kaki yang sedang berlari pun cukup. Tapi koridor tersebut kekal tanpa nyawa yang lain hanya deretan pintu-pintu yang menutup dunia mereka dengan dunia luar

Hampa, lalu aku menatang dulang yang terbiar di kakiku. Terbuntang aku melihat apa yang ada di samping sudu dan garfu yang disusun kemas di atas sapu tangan. Dada ayam gril dengan sos lada hitam yang masih berasap! Bukan itu sahaja, ia lengkap dengan brokoli dan lobak merah rebus! Aku sekali lagi melempar pandangan ke koridor, menyeringai.

Baru minta terus dapat!

Dulang tersebut aku tatang perlahan ke meja. Sambil menatang mata aku melihat surat yang ditindih pinggan makan. Mati-mati aku ingatkan alas makanan tadi. Buka selepas makan.

Minda aku menerawang liar sepanjang aku makan. Ada mikrofon tersembunyikah? Lebih gerun jika ada juga kamera tersembunyi.

Bukan apa, zaman sekarang banyak syarikat-syarikat pekerjaan yang menipu rekrut baru. Kadangkala sampai ke Vietnam mereka kononnya melaporkan diri lalu terkandas di sana. Ada juga sindiket pekerjaan yang mana pekerja mereka akhirnya dipaksa menjadi pelacur atau buruh kasar. Kejap, aku disuruh lapor diri di hotel.

Jadi aku akan jadi ... ?

Selera aku terus diikat mati walhal masih ada separuh dada ayam di pinggan. Sebaik sahaja aku mencapai tisu yang tersedia, peha aku terasa benda kecil yang terjatuh. Aku melihat-lihat karpet bilik dan mencapai benda tersebut lalu angkat tinggi. Sebiji capsul berwarna biru jernih. Tak ubah seperti kapsul makanan tambahan. Lalu aku segera membuka surat kedua dan dibaca teliti kandungannya.

Tuan yang dihormati,

Kami harap makan malam tuan cukup menyelerakan. Arahan pada malam ini perlu tuan laksana setiap malam sepanjang tuan berada di sini.

-Tuan perlu makan malam dan makan pil yang kami sediakan

-Masuk tidur sebelum 9.35 malam.

-Padam semua alat elektronik yang dimiliki untuk elak sebarang gangguan.

-Pastikan tidur dalam gelap dan jangan buat apa-apa jika terdengar atau terasa sesuatu yang pelik.

Tuan boleh bersihkan badan terlebih dahulu sebelum tidur jika perlu. Untuk tidur lebih lena, kami syorkan tidur tanpa memakai pakaian. Kami ucapkan terima kasih atas kerjasama dan pengorbanan tuan.

Arahan seterusnya akan diberikan setelah tuan selesai tidur. Selamat mengembara ke masa silam.

SAMARIN

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: May 07, 2023 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

RENTAS : Peluang KeduaWhere stories live. Discover now