Bab 1 : R.E.N.T.A.S

454 3 0
                                    

"Nama encik?"

Aku tidak menjawab sebaliknya aku menghulurkan kad pengenalan aku sahaja. Lalu pegawai yang lengkap memakai PPE itu menyambut malas. Dia memakai penutup muka yang selalu dipakai di hospital. Sama dengan aku. Tapi dia mengenaikan juga perisai muka, sarung tangan, sarung kaki. Hanya sepasang matanya sahaja kelihatan. Rakan di sebelah kirinya juga memakai pakaian yang sama. Begitu juga di sebelah kanannya. Hanya aku dan beberapa orang yang lain sahaja mengenakan pakaian biasa. Lalu dia mula mengisi perincian peribadi aku di sebuah borang dengan teliti.

Pandemik Covid-19 - siapa sangka ada virus baru berjaya melumpuhkan dunia pada tahun 2020? Ada kata ia agenda dajal dan yahudi pada akhir zaman. Ada juga kata ia senjata biologi untuk menghapuskan sesetengah bangsa di bumi. Tak kurang juga ada menganggapnya demam selsema biasa yang dijenamakan semula, demi merancakkan duni farmasutikal. Tidak kisahlah apa anggapan orang, virus berkenaan telah menjangkiti berjuta-juta orang penduduk bumi. Ada yang berjaya pulih, ada yang sengsara kesan jangka panjang, ada yang kehilangan nyawa dan saudara. Ketika dunia seolah-olah pegun dan kaku, beratus ribu insan seantero dunia kehilangan mata pencarian. Dan aku seorang daripada mereka.

Negara baru sahaja 2 bulan lebih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebagai langkah pencegahan, pusat-pusat kuarantin di seluruh negara mula muncul macam cendawan selepas hujan. Aku kini berada di Hotel Dorsett Putrajaya yang dijadikan sebagai pusat kuarantin bagi mereka yang baru pulang dari luar negara.

Pegawai perubatan yang berbalut penuh dengan PPE menghulurkan semula IC aku beserta kertas-kertas yang aku tak tahu apa. Semuanya sudah terisi penuh.

"Sign sini."

Aku menurut saja.

"Tingkat atas sekali. Bilik hujung." Aku agak itu katanya. Sebab buah butir perkataan tertapis dengan topeng muka entah berapa lapis, dan ditambah dengan hingar manusia di luar lobi hotel.

Aku hanya mengangguk sambil membetulkan beg sandang, cuba membaca apa yang tertulis. Tapi ekor mata aku menangkap tangannya yang mendepa ke sisi. Ke arah sebuah kerusi kosong di sebelahnya untuk lebih tepat. Berdekatan ada seorang lagi yang berpakaian PPE penuh. Sebelah tangannya memegang cotton bud bertangkai panjang. Dia pandang aku, aku pandang dia. Aku faham apa yang akan berlaku selepas itu.

Perlahan-lahan aku duduk berhadapan dengannya lalu mendongak sedikit - itu apa yang orang sebelum aku lakukan. Mata aku tertutup memikirkan cerita-cerita mereka yang pernah menjalani ujian pengesanan Covid-19. Ada yang kata tak sakit. Ada yang kata, selepas cucuk hidung akan dikorek pula tekak dengan cotton bud yang sama. Apapun segala imaginasi aku putus bila kepala aku dipegang supaya tak bergerak.

Aku terus memejamkan mata.

Tiada bismillah mahupun bacaan apapun. Tahu-tahu hidung terasa penuh, objek bertekstur berbulu masuk melebih had kedalaman norma mengorek hidung. Terasa seperti sensasi air masuk hidung. Bukan, wasabi yang dijolok masuk. Lebih jelas terasa bila cotton bud diputar-putar. Rasa juling biji mata.

"Dah."

Entah bila dia selesai. Kening aku auto berkerut. Hidung aku terus dijungkit. Sensasi 'air masuk hidung' masuk terasa. Mahu ucapkan terima kasih, itu adalah pengalaman paling tidak selesa yang pernah aku lalui (selain berkhatan dengan doktor wanita). Lagipun aku tidak pasti pegawai di hadapan aku yang menuding ke arah lif adalah orang yang sama menjolok hidung aku demi secebis sel dan lendir. Ah, semuanya kelihatan sama. Berkelubung putih dengan pakaian macam plastik, berperisai muka, bersarung tangan. Oh ya, kasut mereka juga disarungkan plastik.

Tak panas ke, fikir aku sambil melangkah perlahan ke lif berdekatan, meninggalkan yang lain sedang menunggu takdir sama ada bakal atau tidak menjadi pesakit COVID-19. Pastinya, aku tidak. Aku ke situ bukan atas arahan kerajaan agar diisolasi selama 14 hari. Aku sebenarnya diarahkan ke sana oleh majikan baharu aku. Apabila berada di dalam lif, aku membuka semula perbualan WhatsaApp untuk kepastian.

RENTAS : Peluang KeduaNơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ