Arash

70 8 11
                                    

Perhimpunan pagi bukanlah perkara yang digemari semua orang. Namun sebagai seorang pengawas yang komited, Arash melakukan tanggungjawabnya dengan penuh disiplin. Kini, pengetua sekolah sedang berucap dengan janji yang beliau hanya ingin memberikan sepatah dua kata. Walakin sudah satu jam dia berdiri, pengetua sekolahnya itu masih belum ada tanda-tanda untuk menamatkan ucapannya.

Untunglah pelajar biasa, mereka hanya duduk dan dengar, bukannya perlu berdiri dan memerhati.

Meskipun sekadar berdiri agar mudah untuk mereka memerhatikan gelagat pelajar, Arash tetap mendengar ucapan yang diberikan dengan tekun. Tangan kanannya memegang buku nota kecil manakala tangan kirinya pula menulis segala maklumat dan perkara penting. Sedang dia khusyuk memahami setiap bait kata pengetuanya itu, bahunya ditepuk perlahan dari sisi.

Arash lantas menoleh ke kiri. Jantungnya bagai terhenti seketika apabila melihatkan keberadaan ketua pelajar di sebelahnya itu. Meskipun mereka tidak kenal rapat, namun Arash tetap berbicara dengan mesra.

"Ya, Rafziq?" soalnya dengan kepala yang disengetkan sedikit.

Memahami gementar pengawas yang seorang itu, Rafziq memberikan senyuman kecil kepada Arash, menunjukkan bahawa dia tidak membuat sebarang kesalahan. Bagi menjawab soalan Arash, Rafziq menuding ke arah barisan pelajar lelaki yang berdekatan dengan hujung dataran perhimpunan.

"Boleh tegur adik awak tak? Dia tak berikan perhatian," jelas Rafziq sambil memandang seseorang yang berada di dalam barisan tersebut.

"Oh," balas Arash, matanya tertancap pada Adam yang sedang asyik membaca buku. "Okey, saya tegur dia," sambungnya lagi.

Tanpa membuang masa, Arash bergerak ke barisan kelas ketiga terakhir iaitu kelas 4 Delita. Memandangkan Adam mengambil tempat di bahagian belakang sekali, Arash tidak perlu menyelit antara pelajar untuk berbicara dengan adiknya itu. Dia lantas menunduk di sebelah Adam.

"Adam," tegur Arash dengan suara yang perlahan. Tangannya diletakkan di atas buku yang sedang dibaca Adam. "Rafziq dah tegur tu. Boleh simpan buku ni? Nanti boleh sambung baca."

Adam yang tidak menjangkakan kehadiran seseorang itu terkejut dengan teguran Arash. Dia lekas mendongak, bertembung mata dengan kembarnya yang sedang tersenyum manis. Namun Adam tidak membalas senyuman itu, wajahnya mencuka.

"Hish," itu sahaja yang diucap Adam sebelum dia menyimpan buku tersebut ke dalam begnya semula. Dia berpaling ke arah podium yang menempatkan pengetua sekolahnya itu tanpa memandang Arash sekali pun.

Arash berdiri tegak semula dan menempatkan posisinya di situ. Pengawas yang berada berdekatan telah diarahkan untuk menggantikan tempatnya di barisan kelas lain. Jika dia berdiri di sini, mudahlah dia untuk memerhatikan Adam agar tidak mengundang amarah sesiapa.

Pengetua menghabiskan ucapannya disertai tepukan tangan para pelajar dan guru-guru. Setelah semuanya selesai, pelajar-pelajar diarahkan untuk berdiri bagi bergerak ke kelas masing-masing. Arash menjaga barisan kelas Adam dan mengarahkan mereka untuk berbaris dengan tertib.

Apabila mereka mula bergerak, Arash menghulurkan buku nota kecil yang dipegangnya tadi kepada Adam. Ucapan terima kasih Adam berikan disertai senyuman sebelum dia bergerak ke kelas. Itulah rutin harian mereka, buku nota menjadi komunikasi antara mereka berdua.

Buku nota tersebut adalah milik Adam yang sentiasa digunakan untuk menulis perkara penting. Hal ini kerana Adam mempunyai masalah dengan ingatannya, membuatkan dia harus sentiasa bersama buku notanya. Oleh itu, Arash mengambil tindakan untuk membantu adiknya itu setiap kali perhimpunan berlangsung kerana Adam memang tidak akan memberikan perhatian penuh atau menangkap butir bicara guru-guru mereka.

Agent Clone : Misi Pencarian (Terbit ✅️)Where stories live. Discover now