Bab 2

90 22 4
                                    

Lutfan duduk di birai katil setelah selesai membersihkan diri, tubuh tegap itu hanya tersarung dengan singlet berwarna putih. Selepas maghrib nanti bakal bermula majlis kesyukuran dan doa selamat untuk syarikatnya juga bagi memohon perlindungan buat kandungan kakak sulungnya. 

Baru saja dia ingin mencapai telefon pintar di tengah katil, kedengaran pintu diketuk sekali lalu dibuka dari luar. Figura wanita yang sudah berusia itu menyapa pandangan Lutfan, lekas dia berdiri merapati uminya.

"Umi dah sediakan baju untuk Luth, nanti bersiap cepat. Tetamu dah ramai yang datang, ustaz pun dah sampai. Sekejap lagi kita solat Maghrib berjemaah." Puan Latifah menepuk lembut bahu anaknya.

Sudah semakin matang raut wajah anaknya yang mencecah umur 30 tahun. Kacak, begitu kacak lebih-lebih lagi dengan lesung pipit di kedua-dua belah pipi. Jika anaknya tersenyum, wajah itu tampak sungguh manis. Wajah Lutfan memang saling tidak tumpah dengan arwah suaminya yang meninggal 10 tahun lalu akibat serangan jantung. 

"Umi?" Lutfan sempat memegang tangan uminya yang melekap hangat di pipinya. 
Puan Latifah tersenyum nipis.

"Bila umi pandang anak umi yang seorang ni, teringat pula dekat daddy Luth. Wajah kamu sama sangat dengan daddy..." Biarpun sudah lama arwah suaminya meninggalkan mereka semua, namun kasih sayang buat lelaki bernama Luth tidak pernah padam.

Oleh sebab itu jugalah dia memanggil Lutfan dengan nama Luth meskipun anak-anaknya yang lain menggelarkan Lutfan sebagai Angah.

"Angah pun rindukan daddy... Sekejap lagi lepas solat, Angah minta ustaz buat bacaan Yaasin untuk arwah daddy, ya?" Meskipun uminya tidak mengeluarkan kata rindu buat daddy, dia cukup tahu akan pandangan hiba di mata wanita itu. Umi rindu, dia tahu.

Puan Latifah mengangguk kecil.

"Kalau daddy masih ada dengan kita sekarang ni, mesti daddy bangga Luth dah mampu bina syarikat dan uruskan dengan baik. Umi tahu bukan mudah untuk kamu sampai ke tahap ni, umi nampak usaha penat lelah kamu. Tapi umi yakin anak umi ni mampu untuk melangkah lebih jauh dengan reda Allah S.W.T." Sebak kedengaran suara Puan Latifah.

Lutfan menarik tubuh itu ke dalam pelukan sebelum menggosok belakang badan uminya dengan penuh kasih. 

"Angah berjaya hari ni disebabkan doa seorang ibu. Terima kasih sebab selalu iringi langkah kaki Angah dengan doa dan keberkatan daripada umi. Angah dah hilang kekuatan Angah apabila daddy pergi, Angah dah hilang salah satu sumber doa Angah. Jadi Angah harap supaya Allah panjangkan usia umi, mudah-mudahan. Angah tak mampu untuk berdiri teguh macam hari ni tanpa doa umi." Semakin erat dia memeluk tubuh uminya apabila kedengaran esakan kecil. Lama dia menenangkan uminya sebelum pelukan dilonggarkan. 

Azan sudah mula berkumandang, pasti saja Ustaz Wan sudah menanti kehadirannya di ruangan solat. 

"Umi jangan sedih, okey? Pergilah turun dulu, sekejap lagi Angah turun..." Sebaik saja Puan Latifah berlalu keluar, dia lekas menyarung kurta berwarna putih susu ke tubuh. Seluar jeans berwarna biru gelap yang siap bergantung dicapai. 

Usai saja bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Ustaz Wan, kini sudah tiba masanya acara pemotongan kek sempena ulangtahun yang kelima buat syarikat Lutfan.

Jika diikutkan, Lutfan tidak mahu acara ini diadakan, cukup sekadar bacaan doa selamat dan makan-makan saja. Namun Amir tidak habis-habis memberitahu bahawa pemotongan kek adalah acara wajib bagi setiap ulangtahun. Sudahnya, dia turuti saja kata-kata pembantunya itu.

"Baiklah. Sebelum Tuan L memotong kek bagi merasmikan ulangtahun yang ke-5 buat syarikat De'Scentsation, dengan penuh hormatnya saya menjemput Tuan L ke hadapan untuk memberi sedikit ucapan. Silakan, Tuan L. The stage is yours." 

Bahagia by AsunnaraaWhere stories live. Discover now