BAB 18

541 108 25
                                    

Terburu-buru Kaisarah berjalan menuju ke wad 5C. Jiwanya merusuh keresahan memikirkan keadaan Cik Ajah.

"Kaisarah?"

Langkah kaki Kaisarah berhenti saat namanya diseru seseorang.

Dia segera berpaling ke belakang lantas dia mencebik. Segera dia berjalan mendekati lelaki yang sedang berjalan ke arahnya itu, "Mail, apa dah jadi dengan mama? Kenapa mama sampai kena tahan dekat wad?"

"Sabar, Kaisarah. Kita duduk dulu..." Ajak Mail sambil menunjuk ke arah bangku tempat menunggu yang ada di luar wad.

"Tapi mama saya..."

"Mak saya ada kat dalam teman Cik Ajah."

Akur. Kaisarah mengikut langkah Mail yang sudah duduk di atas kerusi di ruang menunggu.

"Awak bawa kereta laju, Kaisarah," tiba-tiba saja Mail keluarkan ayat penyata itu. Dia tahu emaknya ada menelefon Kaisarah pagi tadi.

Mengikut perkiraan, sepatutnya perjalanan Kaisarah pulang ke kampung selalunya mengambil masa tiga jam namun Kaisarah sampai setengah jam lebih awal. Sudah pasti wanita itu memecut di atas jalanraya tadi.

"Mama saya masuk hospital, Mail. Awak ingat saya boleh ke nak bawa kereta pelan-pelan?" Dengan nada menyindir, Kaisarah bersuara.

"Bahaya, Kai..."

"Saya bukan nak dengar awak membebel, Mail. Saya cuma nak tahu keadaan mama saya. Apa yang jadi sebenarnya?" Potong Kaisarah, tidak mahu mendengar omelan Mail.

"Cik Ajah okey. Doktor kata Cik Ajah darah rendah sebab itu sampai pitam. Kena tahan wad sebab doktor nak pantau keadaan Cik Ajah. Kalau tak ada apa-apa masalah, esok mungkin dah boleh discaj."

Kaisarah akhirnya menarik nafas kelegaan sebelum dia berdiri, "Saya nak masuk jumpa mama."

Tak sempat Mail nak menghalang, Kaisarah terus saja berjalan, meninggalkan Mail.
.
.
.
.
.
"Sarah?"

Kaisarah yang terlelap segera membuka mata apabila terdengar namanya disebut Cik Ajah.

"Mama!" Kaisarah mencebik sikit sebelum tangan Cik Ajah yang ada di dalam genggaman tangannya dibawa naik ke pipi, "Mama buat Sarah risau..."

Cik Ajah tersenyum walaupun terasa sedikit lesu, "Bila Sarah sampai?"

"Tadi lagi. Acik Hasni telefon Sarah, terus Sarah tinggal semua kerja. Balik rumah. Macam mana boleh sampai pitam, mama?" Tanya Kaisarah, susah hati.

"Mama pagi tadi jogging keliling kampung. Balik tu tak minum air cukup, terus keluar pekan nak beli lauk. Sebab tulah kut..." Bersahaja Cik Ajah memberi jawapan, buat Kaisarah mencerun memandang ibunya itu.

"Sarah, tuangkan air untuk mama. Mama dahaga," pinta Cik Ajah, laju bila sedar Kaisarah mahu membebel.

"Sarah susah hatilah nak tinggal mama dekat kampung macam ni," ujar Kaisarah sambil menuang air mineral ke dalam gelas sebelum dihulurkan kepada Cik Ajah, "Lepas mama discaj dari wad, mama ikut Sarah pindah duduk KL, ya?"

Berkerut dahi Cik Ajah dengan cadangan Kaisarah. Usai menghabiskan segelas air, Cik Ajah pantas menggeleng, "Tak naklah mama. Mama suka duduk dekat kampung ni. Kawan mama ramai dekat sini. Kubur ayah Sarah pun dekat, boleh mama ziarah selalu."

Kaisarah kembali duduk dia atas kerusi setelah meletakkan kembali gelas yang sudah kosong di atas kabinet. Tangan Cik Ajah dipegang lalu digenggam, "Mama sebenarnya tadi pergi kubur ayah, kan? Mama menangis lagi, kan?"

Cik Ajah tersenyum nipis lalu dia turut menggenggam tangan anak daranya itu, "Mama rindu."

Kaisarah pantas bangkit dan memeluk Cik Ajah. Walaupun sudah hampir sepuluh tahun arwah ayahnya meninggal dunia, mamanya masih lagi menangis sendirian apabila teringatkan ayahnya.

Sejak kecil, dia dan alongnya sering dihidangkan dengan hubungan sihat mama dan ayah. Ketika ayahnya meninggal dunia, Kaisarah dapat lihat ibunya bagai hilang arah seketika sebelum kembali bangkit.

Cik Ajah selepas itu kembali menjadi ceria namun Kaisarah tahu, hati mamanya ada lompong sementelah sebelum ini, mama dan ayah sentiasa bersama. Melakukan apa saja berdua.

"Haih, buat drama air mata apa dua beranak ni?"

Kaisarah dan Cik Ajah pantas memandang pada yang menegur. Kaer, abang sulung Kaisarah memeluk tubuh sebelum mendekati ibu dan adik perempuannya.

"Along! Lambat!" Marah Kaisarah sebelum dia tunduk menyalami abangnya itu.

"Sarah dah makan belum ni? Pergi turun makan dulu, biar along tunggu mama," tanpa mempedulikan amarah Kaisarah, Kaer beri arahan.

"Pergi turun makan dulu, Kaisarah! Karang awak pula pitam," arah Kaer bila Kaisarah masih tak berganjak.

Cik Ajah tersenyum nipis lalu dia memujuk Kaisarah, lembut, "Pergilah turun makan dulu, Sarah. Along ada ni tunggu mama."

Kaisarah mengangguk saja apabila Cik Ajah dah memujuknya lembut begitu, "Mama nak apa-apa? Sarah belikan..."

"Tak ada apa. Nasi hospital bagi ada tu. Mama makan yang tu aje," jawab Cik Ajah.

Kaisarah menganggukkan kepalanya sebelum berlalu keluar daripada bilik wad persendirian yang menempatkan Cik Ajah.

Sewaktu dia keluar dari pintu besar wad 5C, terhenti sekejap langkahnya melihat Mail yang duduk di kerusi menunggu.

"Kaisarah!" Seru Mail apabila melihat Kaisarah. Dia pantas berdiri dan berjalan mendekati wanita itu, "Awak nak pergi mana ni?"

"Saya nak pergi kafe kejap. Awak kenapa tak balik lagi? Tunggu siapa?" Tanya Kaisarah, sedikit dingin.

"Tunggu awak," Mail menjawab, tenang walaupun hatinya terbit rasa tidak enak mendengar nada dingin Kaisarah.

"Buat apa tunggu saya, Mail?" Kaisarah menggelengkan kepalanya dan terus saja meninggalkan Mail.

Mail terpinga-pinga sekejap sebelum kembali menuruti langkah Kaisarah. Walau hati terasa pelik dengan tingkah Kaisarah namun dia beranggapan mungkin emosi Kaisarah tak menentu kerana risaukan Cik Ajah. Mungkin...
.
.
.
.
.
Sepi dan sunyi. Itu yang Mail rasakan sejak dari tadi. Dia dan Kaisarah sudah duduk di meja makan itu sejak lima belas minit yang lalu namun tidak sekalipun dia dapat dengar suara Kaisarah.

Wanita itu tenang menjamah makananannya seolah-olah Mail di depannya halimunan, tak nampak dek mata kasar.

"Awak marah saya ke, Kaisarah?" Tanya Mail apabila melihat Kaisarah sudah menghabiskan makanan yang ada di dalam pinggannya.

"Kenapa saya perlu marah awak, Mail?" Tanya Kaisarah kembali setelah selesai menyedut air, "Awak ada buat salah dengan saya ke untuk saya marah awak?"

Mail garu kepala yang terasa gatal, "Saya tak tahu."

"Kalau awak tak tahu, saya pun tak tahu," balas Kaisarah sambil mengangkat bahunya. 

Riak wajah wanita itu biasa tapi terbias dingin di mata Mail.

"Awak marah!" Mail bagi ayat penyata. Marah dan kecewa, tebak hati Mail.

Kaisarah sekali lagi mengangkat bahu, "Kalau awak rasa macam tu, saya tak boleh cakap apa-apa."

Tak sempat Mail nak membalas, Kaisarah dah pun berdiri, bersedia mahu meninggalkan kafeteria hospital, "Awak baliklah, Mail. Rasanya awak pun tak ada apa-apa urusan lagi kat hospital ni, kan? Terima kasih tolong mama saya tadi. Kirim salam Acik Hasni. Kalau tak ada apa-apa, saya nak naik wad dulu. Assalamualaikum..."

Mail yang ditinggalkan Kaisarah menyerabutkan rambutnya dengan sebelah tangan. Sah, Kaisarah marahkan dia. Tapi kenapa...?

Bersambung...

p/s; helu, Bang Mail kembali. Saya mungkin tak akan update setiap hari macam haritu tapi saya akan update sentiasa. Jangan lupa komen dan vote.

p/s/s; jangan lupa juga baca cerita saya yang bertajuk FLY. Terima kasih. Selamat bersahur semua 🤎


KAISARAH 🍁Where stories live. Discover now