Bab 74

120K 5.2K 354
                                    

Mendung yang menghiasi langit pada petang itu ketika sebuah kereta berhenti di kawasan tanah perkuburan Islam. Suasana suram dan pilu dapat digambarkan apabila terpandangkan setiap wajah ahli keluarga yang mula beransur pulang. Hanya senyuman yang bersalut duka terlakar di bibir mereka apabila pandangan mata bertemu dengannya.

Ada kedengaran ucapan takziah berbalas, walaupun hanya sekejap saja mereka berkongsi kisah hidup namun keluarga itu masih lagi rapat dengannya. Kaki terus melangkah masuk ke kawasan tanah perkuburan itu, matanya melilau mencari di mana bersemadinya jasad si dia.

"Aiden."

Suara itu menyapa tatkala bahu disentuh dari belakang. Tan Sri Adnan hanya melemparkan satu senyuman yang sama seperti ahli keluarga yang lain. Tengku Aiden memandang sekilas ke arah kubur yang tanahnya masih lagi merah. Baru selesai sebentar tadi urusan pengebumian.

"Aiden minta maaf, papa." Tengku Aiden berkata ketika Tan Sri Adnan memeluknya. Panggilan terhadap bekas bapa mertuanya itu tidak berubah walaupun sudah bercerai dengan Mia.

"Kamu tak salah, tak ada apa yang perlu dimaafkan," kata Tan Sri Adnan lagi.

"Salah Aiden, dia pergi dalam keadaan macam ni." Tengku Aiden masih lagi berkeras menyatakan semua yang terjadi itu berpunca darinya. Tengah hari tadi dia terima panggilan dari Tan Sri Adnan yang Mia sudah pergi buat selamanya, punca kematian kerana terlampau tertekan sehingga menjerut dirinya sendiri.

"Cuma satu je papa minta, maafkan dia." Tan Sri Adnan memandang ke arah bekas menantunya.

"Aiden dah lama maafkan dia." Tengku Aiden menarik nafasnya sedalam yang mungkin. Kesan daripada perbuatan Mia dulu memberi impak kepada rumah tangganya sehingga hampir musnah. Tapi sekarang ini, ada baiknya dia dia melupakan semua itu dengan cara memaafkan Mia. Lagipun, bekas isterinya itu sudah tiada.

"Semalam, kami terleka sebab dah nampak keadaan dia semakin membaik. Tapi tak sangka, kelekaan kami sekeluarga membuatkan dia tekad ambil nyawanya sendiri."

Tan Sri Adnan teringatkan kembali punca anak bongsunya itu meninggal dunia. Selepas Mia bercerai dengan Tengku Aiden, anaknya itu banyak mengasingkan diri dari dunia luar. Tekanan yang makin menggunung membuatkan anaknya mengambil pil penenang sehingga berlebihan. Selepas itu dibawa ke pakar psikiatri, keadaannya semakin membaik selepas itu. Namun pagi tadi, segala-galanya sudah terlambat.

"Ada satu nota yang dia tinggalkan; Mia penat dan letih sangat-sangat. Selamat tinggal." Ada nada sebak yang kedengaran di hujung kata-kata dan air mata yang bergenang.

"Aiden tak mampu nak berikan apa yang dia inginkan, maafkan Aiden." Tengku Aiden memejamkan matanya seketika. Ada sedikit rasa bersalah terhadap kematian Mia, punca tertekan itu kerana cinta yang tidak kesampaian.

"Bukan salah Aiden, jangan minta maaf. Papa yang gagal didik dia, terlampau sibuk kejarkan dunia sampaikan terabai tanggungjawab seorang ayah." Tan Sri Adnan berkata lagi. Dia fikirkan apabila kemewahan diberi kepada anak-anaknya seperti turut sama memberi kebahagiaan. Kemewahan dunia tidak mampu diganti dengan kebahagiaan.

"Terima kasih sebab bahagiakan dia walaupun masa tu Aiden dalam keadaan separuh sedar dan terima kasih kerana pernah berikan kasih yang dia tidak dapat dari seorang ayah."

Itu kata-kata Tan Sri Adnan sebelum berlalu pergi. Tengku Aiden hanya menghantar pergi dengan pandangan mata. Dia beralih ke arah kubur, surah Al-Fatihah dibacakan.

"Aiden minta maaf Mia. Aiden tak mampu nak hidupkan kembali cinta yang sudah mati."

Tengku Aiden mengesat air mata yang mengalir. Cara dia bahasakan dirinya ketika bercakap sama seperti sepuluh tahun yang lalu, ketika dia dan Mia pernah menjadi kekasih. Kenangan sedekad yang lalu kembali menerjah. Banyak kenangan manis yang mereka berdua lakarkan ketika masih bersekolah.

Beautiful Lies Where stories live. Discover now