ICE SKATER & THE TRANSLATOR (BAHAGIAN 1)

60 6 0
                                    

              Melompat, berpusing dan mendarat secara akrobatik sebelum kembali meluncur. Wafiq bertepuk tangan. "You are great!" Anak kecil itu ketawa riang. "Okay, end!" Wafiq melaung pada anak-anak buahnya di situ. Masing-masing bergerak keluar. Wafiq nampak dia, gadis itu yang selalu dilihatnya setiap hujung minggu. Gadis yang sama, duduk di tempat yang sama dan pada masa yang sama hampir setiap minggu. Cuma kali ini, dia kelihatan berbeza. Adakah dia... menangis?

Wafiq berjalan ke lokarnya, menanggalkan kasut dan menggantikannya dengan sandal. Dompetnya dikeluarkan dan dia berjalan menghampiri gadis itu. Gadis misteri itu. Dilihatnya gadis itu sedang mengelap matanya dengan tisu. Mata dan hidungnya merah, namun langsung tidak dipedulikan. Dia hanya terus menangis. Wafiq berjalan melepasi gadis itu menuju ke kaunter makanan.

"Fiq." Tegur pelayan di kaunter.

"Akak, saya nak satu ais krim perisa coklat dan satu ais krim strawberi." Wafiq membuat pesanan.

"Amboi, sampai dua." Usik pelayan wanita di kaunter.

"Dan, bagi saya tisu ekstra juga." Wafiq tersenyum tanpa membalas usikan pelayan wanita itu.

Matanya memandang jauh ke hadapan. Melihat aksi kanak-kanak di situ meluncur. Dia masih setia di ditu, saban minggu, duduk di tempat yang sama. Dia sukakan kedamaian itu. Melihat kanak-kanak comel itu beraksi dan ketawa, dia rasa tenang.

Tapi, hari ini, selepas kejadian yang agak memalukan itu, dia sudah rasa putus asa. Jadi, dia datang ke sini terus selepas selesai segalanya. Namun, air matanya menitis juga. Walaupun berkali-kali ketuanya menuturkan, "Tak apa, Adelia. It's not entirely your fault." Siap menepuk-nepuk bahunya lagi, tetapi dia tetap rasa bersalah.

Kerana, salahnya yang bekerja di hujung waktu deadline. Sibuk menguruskan hal yang kurang penting, sibuk mengambil cuti panjang.

Dia akhirnya hanya duduk di kerusi itu, kononnya cuba menghentikan air matanya yang mengalir laju, namun, sepeket tisunya habis juga. Mata dan hidungnya sudah merah, namun air matanya masih belum berhenti. Akhirnya dia membiarkan sahaja, tidak ada sesiapa pun yang melihat atau akan mempedulikannya bukan? Kecuali kalau...

"Chocolate ice-cream?" Sapa satu suara.

Adelia lambat-lambat menoleh. "Chocolate can make you better you know?" Pemilik suara itu tersenyum.

Adelia mencapai ais-krim itu. Rezeki jangan ditolak sangat sesuai diaplikasikan dalam keadaan sebegini. "Can I sit here?" soalnya lagi. Adelia cuma mengangguk dan kembali memandang ke hadapan sebelum spontan menoleh dan bangkit.

"Tissue?" Suara itu tersenyum lucu.

Adelia mengerut dahinya. "Awak ni siapa?" soalnya. "Who are you?"

"Saya faham bahasa Melayu, tak perlu ulang dalam bahasa Inggeris." Lelaki itu masih tersenyum dan masih menghulurkan tisu kepadanya. "Muka awak..." Adelia segera mencapai tisu itu. Ais krim di tangannya diserahkan semula pada Wafiq.

Selesai memastikan wajahnya kembali normal(lah sangat), Adelia memandang wajah lelaki di sebelahnya itu. "Awak ni siapa? Bukan awak coach ice skater ke? Macam mana awak boleh keluar dari ice rink tu pulak?" soal Adelia.

"Nama saya Wafiq. Wafiq Emir. Ya, saya memang coach untuk skater kat dalam tu, tapi saya bukan watak dalam komik yang tak boleh keluar. Saya manusia. Ni, ambillah ais krim ni. Saya tak letak racun ke apa. Kalau awak takut, awak boleh bagi pada adik tu." Wafiq menunjuk pada seorang kanak-kanak perempuan yang sedang duduk bersama ibunya.

ICE SKATER & THE TRANSLATORWhere stories live. Discover now