Bab 1

290 5 1
                                    


Sepi. Mengapa aku masih merasa sepi? Aku sudah memiliki segala yang aku inginkan. Sebuah keluarga yang sentiasa berdoa dan menanti aku pulang saban waktu ketika aku pergi meninggalkan perkampungan ini suatu ketika dahulu. Apakah kerana keluarga ini tiada pertalian darah denganku, menjadikan aku berasa sepi? Apa sebenarnya makna pertalian darah ini? Apakah ia dapat menandingi pertalian perasaan – sebuah jalinan terbina utuh yang tidakkan mereput seperti tulang belulang, tidakkan kering seperti darah dan mengatasi segala kekurangan jasmani. Sebuah hubungan perasaan yang terbina atas kemesraan rohaniah? Bukan lagi manusia sekiranya aku menidakkan kasih sayang mereka kepadaku. Mereka tidak pernah memilih-milihku. Mengapa pula aku mesti memilih-memilih mereka?

Segala kebahagiaan ini bagaikan mimpi, sudah jauh melangkaui apa yang aku pernah bayangkan. Kepulanganku dinantikan dan disambut mereka, keluargaku yang tiada pertalian darah. Aku sudah bahagia. Dan aku juga membawa bahagia kepada mereka, kebahagiaan yang berganda apabila aku tidak pulang sendirian. Sang rupawan yang menemaniku, puteri terselindung milik Tanah Ini, dan kini adalah milikku. Menjadi ratu singgahsana kalbuku yang pernah kosong menanti persemayaman dirinya. Ini kebahagiaanku untuk dikongsikan dengan mereka. Ini adalah pelengkap hidupku. Jadi, mengapa mesti aku merasa sepi?

"Kanda? Apa yang kanda menungkan?" tegur seorang gadis sunti yang entah bila berada di hadapannya, membuatkannya hampir-hampir sahaja melompat.

"Cepat adinda sampai?" tanyanya dengan mata terus mengekori susuk gadis itu berlalu.

"Cepat?" Si gadis sunti berhenti dengan kepala terteleng kepadanya. Alisnya berkerut. "Kanda masih bermimpi, mungkin?"

Kini alisnya pula yang berkerut. Dia merenung wajah gadis sunti yang berkain batik bertanah hijau dan berbaju kurung merah lembut. Pada kepalanya pula berlapik sehelai selendang biru yang kedua-dua punca hujungnya dilepaskan ke belakang bahu. Wajahnya kelihatan manis tersengih riang.

"Jangan diganggu kandamu bekerja." Seorang lelaki yang kelihatannya sudah empat dekad usia, bersusuk sederhana melintas di hadapannya dan menarik lengan si gadis sunti pergi. Lelaki itu menoleh kepadanya dan tersenyum ramah. Hujung bibirnya terlekat sebatang rokok nipah menyala dan berasap. Pakaiannya biasa, seperti rata-rata orang kampung – berbaju teluk belanga, berwarna biru gelap yang sudah lusuh. Celananya paras keting hijau tua dan pada pinggangnya berikat kain pelekat perang yang kusam, kesan selalu dipakai. "Ayah mahu duduk sebentar di serambi," ujarnya, berhenti seketika menyedut rokok nipah. "Biarpun sudah berkali-kali perjalanan sebegini, tapi ayah masih berasa pelik," sambung lelaki itu. Sedikit asap putih keperangan terlepas sedikit-dikit dari mulut dan hidungnya apabila berbicara, sebelum dihembus terus membebaskan semua dari rongga dada.

"Sudahkan kerja. Mak sudah siap masak di rumah tadi. Dia juga ada menolong. Sekejap lagi kita makan." Lalu pula seorang wanita bersusuk sedikit berisi di hadapannya. Daripada wajahnya, wanita itu kelihatan sebaya dengan lelaki tadi. Pakaiannya sama sahaja dengan gadis sunti tadi, cuma yang beza adalah warnanya. Kain batiknya berwarna merah pudar dan baju kurung pula kuning langsat. Hujung selendang kuningnya di belakang bahu sekali-sekala terangkat-angkat dihembus angin rimba. Di kedua-dua tangan wanita itu ada dua buah kotak kayu yang pastinya berisi makanan.

Dia, Bayu Adi Jata memandang mereka bertiga berlalu sambil tersenyum. Tiada sebarang kata dapat diucapkan pada bibirnya. Kerana baginya, pada ketika ini melihat mereka bertiga, Pak Mali, Mak Cah, dan Syasyira; keluarganya yang tiada ikatan darah adalah suatu penzahiran kebahagiaan. Dan tiada kata yang dapat mengungkapkan nikmat hati yang mengecap kebahagiaan.

Bayu menoleh ke sisi, tidak jauh darinya, ke arah sebuah pusara yang bersih terjaga. Dengan bernisankan batu sungai, persemadian itu tampak aman di bawah naungan bayangan rumpun buluh yang seakan tidak pernah berhenti diajak angin menari. Matanya redup memandang persemadian itu. Angin yang datang berlalu sesekali menghembus rambutnya yang panjang hingga menutup mata. Dia menyeka juntaian rambut itu dan mengemaskannya dengan meraupnya ke belakang. Tiba-tiba Bayu berasa ada tangan lain yang menyambut rambutnya di belakang leher dan memegangnya dengan kemas sehinggakan kepalanya sedikit tersentak. "Aduh! Kasar benar," katanya kepada sang pemunya tangan asing yang halus dan lembut. "Cemburu?"

Seorang wanita muda yang wajahnya berseri bagaikan purnama mengambang menjenguk dari belakang Bayu. Kepalanya tertutup selendang putih bersih. Senyum sumbing yang terlukis pada wajahnya memberi watak manusia pada kesempurnaan kecantikan yang dianugerahkan Tuhan kepadanya. "Cemburu?" Wanita itu bertanya dengan tangan masih menggenggam erat ekor rambut Bayu. "Dengan rambut kusut seperti benang guni ini?"

"Mengakulah... rambut kanda lebih halus dan lembut daripada rambut adinda." Bayu mengusiknya lagi.

"Ya...begini caranya supaya rambut kanda tampak lebih cantik." Wanita muda itu kembali menghadap belakang Bayu dan mula mengikat rambutnya. Tersengguk-sengguk kepala Bayu dibuatnya.

"Sudah!" Akhirnya wanita muda itu bersuara selepas beberapa ketika. Dia berlalu di hadapan Bayu dengan bibir mengulum senyum. "Cepat naik. Kanda tentu sudah lapar," ucapnya.

Bayu mengangguk. Entah kenapa, dia terasa pelik. Kulit kepalanya terasa tegang dan tertarik ke atas. Dia menggoyang-goyangkan kepalanya beberapa kali kerana rasa tidak selesa. Dan dia berasa lebih tidak senang hati apabila Syasyira yang berada di dalam pondok mengekek ketawa apabila terpandangnya semasa melintas di depan jendela.

Mak Cah ikut menjenguk di jendela yang sama apabila melihat anak gadisnya memegang perut ketawa sambil memandang ke luar. "Cantik... lebih tinggi daripada sanggul mak!" Mak Cah menegur Bayu dan ikut ketawa bersama anaknya. Kemudian suara keras ketawa Pak Mali di serambi menenggelamkan ketawa anak gadis dan isterinya. Wanita muda tadi terhenti di depan tangga serambi dan tertunduk. Tubuhnya terhinggut-hinggut dengan tangan menutup mulut.

"Sanggul?" Bayu hairan mendengar kata-kata Mak Cah. Dia segera meraba-raba kepalanya. Dari hujung jemarinya, terasa rambutnya disimpul meninggi. Patutlah kulit kepalanya terasa tegang. Matanya segera melirik ke arah wanita muda yang tersengguk-sengguk menahan ketawa di depan tangga serambi. "ARIASHA!"

 Terlepas ketawa wanita muda itu, isterinya, Ariasha Cinta Castra, sang puteri Bunian dari Kampung Kaswana. Dia segera berlari naik ke serambi dan terus ke dalam pondok dengan iringan tawanya.

Takluk Jagat 3Where stories live. Discover now