Bab 2

244 6 4
                                    

Suasana kamar itu gelap, kusam dan murung. Cuma ada sebuah pintu yang tertutup rapat dan tiada jendela. Cahaya yang ada hanya daripada sebuah pelita minyak kecil di atas sebuah meja kecil sebagai panduan kepada penglihatan penghuninya, seseorang yang berjubah dengan tutup kepala. Dia duduk diam di atas perbaringannya di penjuru kamar berhadapan meja kecil itu. Bau hapak dan purit bersebati dengan tengik rempah ratus mampu menghamburkan isi perut sesiapa sahaja. Sehinggalah hidung yang menghidunya sudah dapat menerima ataupun tiada lagi isi perut yang dapat ditumpahkan mencorak lantai. Dan bagi orang berjubah itu, adalah kedua-duanya. Kerana dia sudah lama terperuk di dalam kamar itu.

Orang berjubah itu cuma termenung menatap dua benda di atas meja. Cuma dua benda itu sahaja yang ada di atasnya. Pelita minyak kecil dengan takung minyaknya daripada kaca jernih yang dilekatkan pada muka mejadan sebiji gelas kaca merah telus cahaya berisi air. Entah sudah berapa lama anak matanya bersilih ganti merenung dua benda itu.

Bagaikan ada sesuatu yang terlintas di fikirannya, orang berjubah itu mengangkat tangan kanannya yang sedari tadi menongkat tubuh pada pahanya. Jari telunjuknya tertuding dan perlahan-lahan telunjuk itu mendekati nyalaan api pelita. Dilari-larikan telunjuknya itu di atas sumbu yang menyala. "Api dicincang juga tidak akan putus,"katanya. Kemudian matanya menjeling ke arah gelas berisi air itu. "Tuan hamba jangan angkuh hanya kerana orang mencipta bidalan daripada tuan hamba!" Dia kembali memandang nyalaan pelita itu. "Api... lebih molek. Tetapi cuma dipandang sebagai lambang amarah dan kemusnahan," katanya lagi sambil menarik kembali telunjuknya.

Dia merenung semula pada gelas itu. Tangannya dihulurkan untuk mencapai, tetapi tiba-tiba gelas itu melungsur menjauhi telapak tangannya. Kamarnya terasa sendeng. Bunyi kayu berkeriut seperti dilenturkan terdengar dari bawah lantai dan di luar kamar. Namun, dia tidak mempedulikannya. Anak matanya mengekori pergerakan gelas itu. "Lari?" tanyanya. "Tuan hamba lambang kehidupan... tetapi seperti tidak mahu memberi peluang hamba terus hidup?"

Kamar itu terasa bergerak lagi dan sendeng ke arah berlawanan dengan tadi. Gelas itu melungsur sekali lagi kembali ke kedudukan asalnya, dan terus ke tapak tangan orang berjubah itu. "Ya... salah kamar ini, bukan tuan hamba," katanya dengan terus menggenggam erat gelas kaca itu. Diangkatnya gelas itu dan diletakkan di sebelah pelita. "Kalian saling berlawanan, namun punya persamaan. Kecil, rakan manusia dan amat berguna. Sekiranya besar, kalian tidak mengenal siapa."

Orang berjubah itu membongkokkan tubuh ke hadapan sehingga dagunya mencecah muka meja. Wajahnya yang berkelubung menghadap terus kepada pelita kecil dan gelas kaca yang saling bersebelahan. "Demi kebesaran kuasa Tuhan, kalian berdua disatukan dengan diri hamba. Tuan hamba berada di dalam, menjadi darah dalam urat nadi...," katanya sambil mata memandang gelas kaca itu. Kemudian anak matanya bergerak tertumpu pada api kecil di hujung sumbu. "... dan tuan hamba...yang lebih molek... diam di dalam hati dan juga menyeluruhi luaran hamba. Membuatkan hamba banyak berhabis untuk membeli pakaian...." Dia mengeluh sambil menegakkan kembali tubuhnya. Dia mengangkat gelas kaca itu hampir ke mulut dan bersedia untuk meneguknya, namun tiba-tiba tindakannya terhenti. Dibelek-beleknya air di dalam gelas itu. "Separuh penuh atau separuh kosong?" ujarnya lalu cepat-cepat meneguknya sehingga habis.

Dia meletakkan kembali gelas yang sudah kosong itu di atas meja. Buat seketika orang berjubah itu terkaku. "Aduh...," dia tiba-tiba mengeluh dan mendadak menghantuk-hantukkan kepalanya ke meja, "... terlupa baca bismillah lagi...."

"Tuan hamba, kita semakin hampir!" Satu suara serak terlaung dari balik pintu. Orang berjubah lantas berdiri dan segera berlari terhuyung-hayang membuka pintu. Seorang lelaki tegap dan tinggi sedang berdiri di muka pintu memegang lampu minyak. Dengan bantuan cahaya daripada lampu itu, orang berjubah dapat melihat kepala lelaki itu berikat kain hitam dan pakaiannya kelihatan tebal, dengan baju putih kain kapas di dalam, rompi merah gelap di atasnya dan dilengkapi jubah tidak berlengan berwarna perang gelap. Entah, itu agakannya kerana cahaya daripada lampu minyak yang kekuningan membuatkannya sukar untuk mengenal warna sebenar. Celananya juga tampak berwarna gelap paras keting dan bercapal kulit. Wajahnya yang kelihatan sudah menjamah usia lebih lima dekad kelihatan ramah biarpun misai lebat dan jambang yang sudah beruban melindungi senyumannya. Lelaki itu segera berganjak ke sisi memberi ruang laluan kepada orang berjubah.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Nov 27, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Takluk Jagat 3Where stories live. Discover now