B A B 37

21.2K 1.7K 235
                                    

KALI pertama dalam sejarah hidup seorang Raja Emiir Farran, lelaki itu terlihat cemas kerana seorang perempuan. Dia risau. Tersangat risau tetapi tetap dipasang topeng tenang ke wajah. Luthfan yang berada di sisi memandang Emiir hairan. Terjongket keningnya apabila Emiir tiba-tiba bangkit dari duduk. Kemudian, dengan selamba badak lelaki itu masuk ke dalam bilik hotel yang kini menempatkan Jelita. Gadis itu sedang diperiksa oleh seorang doktor yang dibayar oleh Emiir. Mujur ada doktor rajin layan kerenah lelaki itu malam-malam begini. Alah, kenalan rapat Emiir juga sebenarnya.

"Dia okey je kan?" soal Emiir kepada Fadlan.

Fadlan menoleh. Termometer suhu badan dihulurkan kepada Emiir. Fadlanlah doktor tu. Salah seorang kenalan rapat Emiir sewaktu di universiti. Mujur Fadlan ada malam ini. Pertama, Fadlan telah menolong Jelita ketika Arash datang mengganggu isterinya. Memang dia yang arahkan Fadlan. Awalnya, dia tak mahu Jelita tahu keberadaannya di sini. Tapi keadaan tak mengizinkan kerana dia perlu maju ke depan sebagai pemilik hotel ini. Kedua, Fadlan gunakan kepakarannya sebagai seorang doktor untuk memeriksa keadaan Jelita. Walaupun tak ada apa-apa yang teruk, dia tetap mahu memastikan Jelita dalam keadaan baik.

"Okey je, cuma shock sikit. Kalau Jelita dah sedar, suruh dia makan ubat. Takut demam," pesan Fadlan sambil berjalan ke arah Emiir. Diam-diam, dia ketawa kecil apabila temannya itu hela nafas lega. Risau sangatlah tu.

Emiir angguk faham. Punggung dilabuhkan ke birai katil. Selimut Jelita dibetulkan agar tutup sampai ke bahu. Tatkala tangannya dipegang oleh Jelita, mata terus dilarikan ke arah Fadlan. Dia berdeham-deham apabila Fadlan ukir senyum mengusik. Emiir geleng kepala. Bab usik tu mujurlah tidak keterlaluan seperti Luthfan.

"Aku keluar dululah. Enjoy your night." Fadlan masih senyum-senyum. Dia melambai kecil sebelum berlalu keluar. Sebelum selipar hotel di kaki Emiir terhempas ke mukanya, baik dia lari cepat-cepat.

"Enjoy your night kepala kau..." gumam Emiir perlahan sambil berdecit.

Apabila merasakan permukaan hangat bergesel dengan kekura tangan, Emiir pantas menoleh. Panjang keluhannya terlepas. 'Apa aku nak buat dengan budak ni?' desis hati Emiir. Dia cuba menarik kembali tangannya daripada Jelita, namun gadis itu tidak mahu melepaskan. Meskipun mata polos itu masih terpejam rapat, tapi tangannya kuat memegang. Emiir garu kepala.

"Janganlah tarik-tarik. Hangatnya..." ujar Jelita dengan mata tertutup. Dia tak sedar pun sebenarnya. Mamai-mamai. Makin digesel-gesel wajahnya ke kekura tangan sang suami. Selesa betul.

Tidak lama selepas itu, ruang kosong di sebelah Jelita diisi dengan tubuh kekar Emiir. Lelaki itu menanggalkan kemejanya lalu menghempaskan tubuh ke sebelah sang isteri. Dia sekadar mengeraskan tubuh apabila kaki Jelita naik ke atas perutnya. Tangan elok merayap ke dada dia. Hampir terbatuk-batuk dia dibuatnya apabila Jelita merapatkan wajah ke ceruk lehernya. Gadis itu siap tersengih-sengih walaupun tidak sedar.

"Jauh sikit boleh tak?" soalnya dengan kening berkerut. Wajah Jelita cuba dijauhkan dari ceruk lehernya. Gagal. Gadis itu mengeraskan tubuh dan makin menggesel wajah ke batang leher dia. Emiir menahan nafas.

"Ehmmm. Jangan gerak..." rengek Jelita sambil mengeratkan pelukan di tubuh suaminya.

Hendak tidak hendak, Emiir terpaksa rela membiarkan Jelita peluk tubuhnya erat-erat. Berkongsi kehangatan. Isterinya nampak sangat selesa. Tak sampai hati Emiir nak kejut gadis itu. Sampai akhirnya, tangan dia juga perlahan membalas pelukan tersebut. Melarikan jemari kasarnya ke setiap celah rambut ikal mayang isterinya itu penuh kelembutan. Sesekali terdengar dengkuran halus sang isteri, undang senyum datar di bibirnya.

Mr. Cold Dictator [ ON GOING ]Où les histoires vivent. Découvrez maintenant