cp 257

950 182 35
                                    

"Irene, apa awak pernah fikirkan perasaan saya?"

Noir yang mengatakan ayat tadi sudah tidak tahan lagi untuk menahan segala perasaannya selama ini. Semakin dia cuba tahan semakin itu dia melihat Irene akan cuba menghindarinya.

Dia takut kalau dia simpan lagi perasaan itu, dia akan menyesal sekali lagi seperti mana dia menyesal kehilangan Cloe. Dia tidak mahu perkara itu terjadi buat kali kedua.

Selama dia hidup, dia korbankan segalanya untuk bersama dengan orang yang dia sayang. Dia menanti Cloe dalam masa yang cukup lama dan apabila dia sudah berjumpa dengan Irene, dia mula berasa senang. Tetapi kenapa Irene harus bersikap begitu pada dirinya?

"Apa saya ada lakukan kesalahan sampai awak layan saya begini? Selama ini saya cuba untuk berubah supaya awak tidak lari lagi tetapi kenapa awak cuba untuk lakukan semua itu lagi?" Noir mula meluahkan segala yang dia rasakan selama ini.

Irene yang mendengar kata itu terkaku. Dia tidak dapat menjawab kerana dia tidak menyangka akan melihat sisi ini daripada lelaki itu.

Itu adalah kali pertama dia melihat sisi Noir yang seakan orang lain. Sekarang Noir tidak mabuk seperti dulu malah dia waras tetapi kenapa dia bersikap sungguh berbeza dengan Noir yang Irene kenal.

"Irene, apa awak tidak tahu atau awak hanya pura-pura tidak ambil tahu tentang hati saya?"

Mata biru yang menatap mata merahnya itu membuat Irene sedikit gelisah. Ini kali pertama dia berada dalam situasi ini.

"Saya tidak faham apa yang putera maksudkan," balas Irene cuba untuk mengelak daripada dirinya.

Pandangan Irene ditolehkan ke arah lain kerana dia terlalu takut untuk melihat matanya namun apabila Noir mendengar ayat tadi, genggaman tangannya semakin kuat.

"Selama ini saya tahu awak sakit tetapi saya tidak mahu bertanya dan hanya tunggu untuk awak sendiri katakan itu pada saya. Tetapi semakin lama saya tunggu, awak tidak sekali pun menceritakan hal itu pada saya. Apa tujuan awak sorokkan semua ini daripada saya?"

Sejujurnya Noir sudah sedar sejak dia melihat muka Irene yang semakin pucat sejak beberapa bulan lepas. Bukan itu sahaja, dia juga pernah melihat Irene terbatuk darah di hutan berdekatan dengan istana Croalia.

Walaupun dia tahu akan hal itu, dia memang tiada niat untuk bertanya kerana dia ingin menghormati Irene tetapi apabila sudah sampai tahap begini, dia sudah tidak dapat tahan lagi.

Dia sedar bahawa Irene tidak ada niat langsung untuk menceritakan hal itu pada dirinya dan ingin menanggung semua keseksaan itu sendiri seperti dulu.

"Saya tidak ada alasan untuk beritahu putera. Ini adalah urusan saya, jadi saya boleh urus sendiri," balas Irene.

Kata Irene menusuk tepat ke hati Noir. Selama ini dia selalu fikir bahawa Irene akan faham dirinya tetapi kenyataan tidak. Irene memang tidak akan faham kalau dia tidak terangkan.

Mungkin Irene faham tetapi gadis itu lebih memilih untuk berdiam kerana sedar dirinya tidak layak untuk Noir. Kalau mereka bersama, mereka persis malaikat dan iblis yang selamanya tidak akan menyatu.

Irene yang bersabar menahan semua itu mula cuba menolak Noir supaya lelaki itu melepaskan tangannya. Namun apabila tangan kiri Irene diangkat untuk menolak Noir, tangan Noir lebih pantas menangkap tangannya lalu menolak perlahan Irene dahan pokok di belakang gadis itu.

Seketika itu mata mereka sekali lagi bertembung. Sekarang mahu lari lagi memang sudah tiada peluang. Kalau betul Irene memang mahu lari, maka dia perlu gunakan kekuatannya namun mana mungkin dia akan lakukan seperti itu pada Noir.

Irene: The Lost Witch 2 [✔️] Unde poveștirile trăiesc. Descoperă acum