Bahagian 1

53 4 1
                                    

"KALAU hati dah tak sudi... Buat apa lagi Qaisara setia di sini?" ujar Qaisara sayu, sedar akan kedudukannya kini yang bukan lagi bertakhta di hati si dia. "Abang dah jumpa kebahagiaan abang, biarlah Qaisara cari kebahagiaan."

Iskandar menatap mata isterinya yang berkaca itu. Dirinya diselubungi rasa serba-salah yang terlalu berat. Dia akui, tindakannya itu telah melukai perasaan isterinya namun dia tidak mampu menahan dirinya. Kasih buat isterinya sudah mula memudar.

Sekeping hatinya kini telah dimiliki insan lain.

"Abang minta maaf... Abang tak berniat nak buat Sara macam ini," tutur Iskandar memohon maaf daripada isterinya.

Qaisara tersenyum tipis. Dia menarik nafas sedalam-dalamnya. Mengumpul segala kekuatannya di saat dia sedang dalam keadaan lemah ini.

"Abang cintakan dia?"

Iskandar terkedu.

"Abang... cintakan dia?"

"Abang... abang..." Iskandar terkebil-kebil mahu menjawab.

Remuk hati Qaisara melihat suaminya teragak-agak untuk menjawab. Sudah terang lagi bersuluh, cinta suaminya untuk dirinya sudah goyah. Tidak lagi hanya untuk Qaisara kasih sayang seorang Iskandar. Sudah ada insan lain juga berkongsi kasih sayang itu.

"Lepaskan Sara."

Cukup dua patah perkataan itu dikatakan, Iskandar tergamam. Sesungguhnya, dia menjangkakan itu namun masih tidak dapat menerima realitinya.

"Sara, apa yang awak cakap ini? Kalau sebab ini awak nak berpisah, saya sanggup tinggalkan dia asalkan awak dapat maafkan saya. Kita kembali seperti dulu semula." Iskandar memujuk Qaisara untuk membatalkan hasratnya.

Qaisara hanya tersenyum sinis. "Hakikatnya, kalau bukan sebab ini dan kalau saya tak pernah tahu... Adakah awak akan tinggalkan dia?"

"Sara..."

Air matanya tumpah lagi. Qaisara tidak dapat membayangkan itu berlaku. Jika dia tidak pernah mengetahui hubungan sulit suaminya bersama wanita lain, dia pasti menjadi seorang isteri yang diperbodohkan oleh sang suami.

Di saat dia sedang lelah dengan kerja rumah dan menjaga anak mereka, suaminya sedang tersenyum bahagia dengan wanita lain. Di saat dia sedang menyuapkan anaknya makan, ada tangan wanita lain yang menyuapkan suaminya makan di luar.

Memikirkannya saja sudah menyesakkan dadanya. Apa entah lagi jika dia benar-benar melihat semua itu di depannya. Tidak dapat dia fikirkan betapa sakit hatinya sebagai seorang isteri.

"Kalau abang tak boleh lepaskan Sara sekarang, Sara akan bagi masa kepada abang. Sampai abang bersedia untuk lepaskan Sara," ujar Qaisara sebelum melangkah keluar dari perbualan mereka, meninggalkan Iskandar sendirian yang kebuntuan menanggung akibat perbuatan terkutuknya itu.

Fikiran Iskandar semakin berserabut. Dia benar-benar sayangkan wanita itu, tapi tidak mahu melepaskan seorang isteri seperti Qaisara dalam pada masa yang sama.

Tidak bolehkah dia memiliki kedua-duanya sahaja?

PAGI itu terasa sungguh canggung. Setelah pergaduhan antara suami isteri kelmarin, itu masih tidak melupakan tanggungjawab Qaisara sebagai seorang isteri dan ibu di rumah itu. Usai solat subuh, dia terus ke dapur menyiapkan sarapan seperti kebiasaannya.

"Ibu!"

Tubuh Qaisara dipeluk dari belakang. Saat dia menoleh, terlihat anak kecilnya memeluknya erat dengan lengkap berpakaian seragam sekolah tadika. Dia kemudian membongkok badannya dan memegang pipi gebu anaknya berusia lima tahun itu.

Cukup Noktah Di SiniWhere stories live. Discover now