BAHAGIAN 2

91 4 0
                                    

"TAPI bukan salah Iskandar pun yang dia jatuh cinta dengan perempuan lain? Benda dah jadi, tak perlu kita perbesarkan lagi"

"Kalau dah takdir tertulis macam ini, nak buat macam mana? Lelaki memang begitu. Kita sebagai isteri, kena tengok juga silap kita di mana."

"Tak apalah. Maafkan ajelah Is itu. Dia tersilap. Kita isteri kena memaafkan dan sentiasa di samping suami selalu."

Itulah kata-kata mereka yang memihak pada suaminya. Qaisara sedar, pada pandangan keluarga mertuanya, ahli keluarga mereka lebih diutamakan. Siapalah dia pada mata mereka? Hanyalah sekadar orang luar yang menumpang di dalam keluarga ini.

"Tak akanlah sampai nak bercerai-berai? Kamu maafkanlah suami kamu itu. Ibu tak naklah tengok perkahwinan anak ibu berakhir macam ini," tutur Zakiah, selaku ibu kandung kepada Iskandar, berharap menantu perempuannya akan berubah fikiran.

"Yalah, Sara. Lagipun, anggap ajelah ini sebagai ujian Sara untuk jadi isteri yang lebih baik. Mungkin ini satu teguran untuk Sara yang terkhilaf sebelum ini?" tokok Wani, kakak sulung Iskandar.

Qaisara hanya membisu. Tidak tahu mahu berkata apa. Terasa suaranya sungguh kecil di situ, berbanding dengan suara mereka.

Iskandar yang sedari tadi di sisi isterinya, juga mendiamkan diri. Berharap dengan apa yang dikatakan keluarganya, akan mengubah fikiran Qaisara untuk tidak berpisah dengannya.

"Kalau nak dibandingkan dengan hidup Sara, hidup kak ngah ini lagi teruk. Abang ngah kau itu tak peduli langsung pasal hal rumah. Sara dapat suami yang macam Iskandar ini, patutnya Sara bersyukur. Tak akan sebab satu kesilapan yang dia lakukan, Sara dah minta cerai? Melampau!" sampuk Yaya, kakak kedua Iskandar pula.

"Melampau?"

Hanya sepatah kata yang terbit dari mulut Qaisara, sudah membuatkan dia menjadi tumpuan seluruh mata di dalam rumah itu. Iskandar melihat isterinya sebelah, terkedu.

"Adakah seorang isteri yang meminta cerai daripada suaminya itu melampau daripada seorang suami yang mencurangi isterinya di belakang isterinya sendiri... tanpa dia tahu?" Qaisara memberanikan dirinya bersuara. DIa tidak dapat menahan dirinya lagi. Api amarahnya membara.

"Sara!" Iskandar menegur isterinya.

"Habis itu, cerai itu kan perkara yang dimurkai Allah. Sara tahu, kan?" jawab Wani.

"Ya, Sara tahu. Tapi, keputusan Sara untuk bercerai bukan hanya sebab kesilapan yang Abang Iskandar lakukan saja... Tapi..."

"Tapi, apa?" soal Yaya ingin tahu dengan muka cemberutnya.

"Sebab Yaya nak lepaskan Abang Iskandar untuk bersama perempuan itu. Yaya tak nak jadi penghalang antara mereka berdua."

Jawapan itu membuatkan mereka kehabisan kata-kata untuk membalas. Alasan itu terlalu baik untuk mereka tentangkan.

"Sara sedar diri Sara ini bukan isteri yang sempurna... Jadi, Sara rela mengundurkan diri untuk beri ruang kepada Abang Iskandar mencari yang lebih sempurna," ujar Sara seolah memulangkan paku buah keras kepada yang mengatanya seakan dia isteri yang ada khilafnya.

"Ikut kaulah. Malas aku nak layan!" Yaya bangun dan beredar. Malas mahu ambil pusing.

"Tapi, Sara masih boleh perbaiki diri untuk jadi lebih baik, kan?" tutur Wani, cuba memujuk.

"Kenapa Sara yang perlu perbaiki diri?"

Sekali lagi, Qaisara membuat mereka semua terdiam.

"Memang Sara sedar Sara bukan isteri yang sempurna, tapi besar sangatkah kekhilafan Sara sampai cuma Sara yang perlu perbaiki diri sendiri?" Sara memandang kakak ipar sulungnya penuh emosi, dengan mata yang berkaca.

Cukup Noktah Di SiniWhere stories live. Discover now