Bahagian 3

80 2 0
                                    

QAISARA perlahan-lahan menghampiri pusara kedua orang tuanya. Terasa sudah lama dia tidak ke situ. Kebiasaanya, dia akan datang menziarah ketika tibanya raya. Namun, hari ini tujuannya adalah untuk dia meluahkan isi buku hatinya yang sungguh pilu.

"Assalamualaikum ibu, ayah." Lembut Qaisara mengucapkan salam. Dia perlahan membentangkan tikar kecil dan duduk bersimpuh di atasnya.

"Ibu, ayah..." Baru sahaja dia mahu menutur kata, matanya sudah berkaca dan dadanya sudah sebak. Tidak dapat dia menanggung kesedihan itu seorang diri. Pada saat ini, dia benar-benar memerlukan kedua-dua insan yang paling dia sayangi untuk ada di sisinya.

Memberikannya semangat, berkongsi kesedihan... Akan tetapi, dia sedar itu semua tidak akan dapat dia rasai lagi setelah pemergian kedua orang tuanya tiga tahun yang lalu.

Masih segar di ingatannya pada saat ibu dan ayahnya tersenyum gembira saat di hari perkahwinannya. Terlihat air mata bahagia mengalir pada wajah mereka. Mendoakan anak mereka untuk kekal bahagia dalam perkahwinan hingga ke jannah.

Maafkan Qaisara... Ibu... Ayah...

Qaisara tak dapat tunaikan permintaan ibu dan ayah sepenuhnya.

Tidak lama itu, dia mengeluarkan sebuku yasin dan mula membacanya buat kedua arwah orang tuanya. Serta, mendoakan mereka semoga tenang di alam sana.



"IBU!" panggil Danish saat melihat ibunya sampai di rumah. Qaisara tersenyum melihat wajah girang anaknya. Anak kecil itu berlari anak-anak ke arahnya lalu mendakap tubuhnya erat. Qaisara mengusap penuh sayang kepala anak tunggalnya seorang itu.

"Baru balik dari kubur, ke?" tanya Zaharah, kakak kepada Qaisara yang muncul di muka pintu.

Qaisara mengangguk kepala. "Kak Long pakai cantik-cantik, nak pergi mana?" tanya Qaisara ketika melihat kakaknya sudah lengkap berbaju kurung dan bertudung dengan solekan ringkas, seperti mahu keluar dari rumah.

"Kak Long nak pergi rumah Mak Jenab kejap. Dia jemput pergi majlis hari jadi cucu dia. Kak Long tunggu kamu ini dari tadi, ingat nak bawa Danish sekali."

"Oh, patutlah Danish pakai smart pun! Ingatkan apa tadi." Qaisara memandang anaknya yang sudah berkemeja kemas dan berseluar jeans. Anak kecil itu hanya tersenyum manis.

"Kalau Danish ikut mak long pergi, boleh tak?" Danish meminta izin ibunya.

"Boleh. Kenapa pula tak boleh?"

"Yeay!" Danish kelihatan sungguh gembira sambil melompat-lompat. Telatah anak kecil itu membuatkan Qaisara dan Zaharah tertawa kecil.

"Jomlah sekali, Sara. Pergi majlis itu," pelawa Zaharah.

"Tak apalah. Sara bukan kenal sangat dengan orang sini. Kak Long bawa Danish sajalah pergi."

"Yalah. Kalau macam itu, Sara jaga rumah tau. Kalau nak keluar ke apa ke, call Kak Long. Jangan Kak Long balik, kau tak ada... Tersadai kami dekat luar ini," seloroh Zaharah sambil memberi pesanan kepada adiknya.

"Kak Long tak payah risau. Kak Long itu, orang call jangan tak jawab pula!"

"Aku tahulah. Aku pergi dulu. Jom Danish!"

Danish segera meluru ke arah mak longnya. Tangannya dipimpin oleh Zaharah untuk keselamatan anak kecil itu.

"Bye, Ibu!" Danish melambai. Qaisara tersenyum dan membalas lambaian itu. Seketika anaknya dan kakaknya mula menjauh daripada pandangan, dia mula masuk ke dalam rumah. Pintu rumah ditutup dan dikunci.

Tidak menunggu lama, dia terus merebahkan diri ke sofa. Melepaskan kepenatan. Tudungnya juga dibuka, mencari kesejukan setelah kepanasan terik matahari di kawasan perkuburan tadi. Namun, ada sedikit kedamaian di hatinya setelah dia pulang dari sana.

Sedikit sebanyak, kesedihan yang ada di dalam hatinya dapat dia lepaskan dengan tenang.

Matanya tertancap pula pada gambar keluarga kakaknya. Terlihat ada empat susuk tubuh di dalam gambar itu. Ada kakaknya, ada abang iparnya, dan ada dua orang anak saudaranya. Setahunya, abang iparnya bekerja di luar negeri. Maka, dia memang jarang pulang ke rumah.

Anak-anak kakaknya pula, yang sulung sedang menuntut ilmu di sebuah IPTA manakala yang bongsu pula bersekolah di sebuah sekolah berasrama penuh.

Dalam hati Qaisara, dia mengagumi kehebatan keluarga kakaknya sendiri.

Lebih dia kagumi, perkahwinan kakak sulungnya masih kekal bertahan sehingga ke tahap ini. Ya, jalan hidup kakak sulungnya bukanlah seindah yang disangka... Kakaknya juga pernah melalui suatu fasa yang memeritkan namun kecekalan dan ketabahannya membuatkan perkahwinan itu kekal sehingga ke hari ini.

Sayangnya, dia tidak mampu menjadi seperti kakaknya. Kalaulah dia punya secebis sifat kakaknya itu...

Adakah aku insan yang sebenarnya lemah jika dibandingkan dengan kakakku?

Masih dia teringat bicaranya bersama kakaknya hari semalam.


"APA yang Qaisara buat itu, memang tak patut. Betul, penceraian itu adalah satu perkara yang Allah paling murka," tutur Zaharah, jujur memberikan pendapatnya sebelum menyambung," Tetapi kita tak boleh menyiksa diri kita juga. Kalau memang dah tak ada rasa sayang dan tak boleh teruskan, lebih baik kita undurkan diri."

"Tapi, tak terlalu kejam ke keputusan Qaisara ini?" Qaisara meminta lagi pendapat kakaknya, untuk memastikan adakah tindakannya ini memang benar atau salah.

"Sejujurnya, Qaisara kena bagi peluang dekat dia... Mungkin dia boleh berubah. Tapi, kalau Qaisara tak mampu nak beri peluang, itu hak Qaisara. Cuma seeloknya, bincang dulu antara suami isteri sebelum main cerai macam ini."

Zaharah menutur kata lagi," Dalam Islam, bila suami isteri bergaduh, penceraian bukan jalan pertama yang kita kena ambil tau."

Qaisara sedikit terasa dengan kata-kata kakaknya. Benar, dia juga salah kerana terburu-buru mendesak Iskandar untuk menceraikannya, hanya kerana memikirkan perasaannya yang dikhianati.

Melihat wajah gusar adiknya, Zaharah hanya tersenyum dan memegang tangan adiknya lembut.

"Tak apalah, Sara. Benda dah jadi. Tak usah nak difikirkan. Mana-mana manusia pun tak sempurna. Akan ada masanya kita mudah terhasut dengan permainan syaitan sampai mudah terikut dalam fikiran. Macam inilah..."

Zaharah dan Qaisara saling berpandangan. Berkongsi kekuatan antara satu sama lain.

"Buat masa ini, Qaisara tenangkan fikiran di sini dulu. Jangan terlalu fikirkan perkara yang lepas. Bila mental Qaisara dah bersedia nak hadap semua itu semula, Qaisara fikirkan yang terbaik untuk masa depan Qaisara," nasihat Zaharah kepada adiknya.

"You've been through a lot," kata Zaharah sambil mengusap lengan adiknya, memberinya sedikit semangat. Hanya itulah yang dia mampu lakukan buat masa ini buat adik bongsunya itu.

"Terima kasih, kak long." Qaisara bersandar di bahu kakaknya dan menangis semahu-mahunya. Melepaskan segala beban yang telah dia tanggung selama ini ketika itu. Dia hanya mahu menumpang tempat untuk meluahkan rasa sedihnya.

Hanya Tuhan tahu betapa bersyukurnya dia terhadap kakak sulungnya itu.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 12, 2022 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Cukup Noktah Di SiniWhere stories live. Discover now