BAB 54

160 7 2
                                    

Mikael melangkah keluar dari perut lif dan berjalan menuju ke biliknya. Ketika dia melepasi bilik pantri dia ternampak Haura yang tertunduk lemah di sisi Laila. Di matanya kelihatan seperti Laila sedang memeriksa keadaan Haura.

Suri pula memandang ke arah kedua wanita itu sambil tersenyum sinis. Mikael dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena, lebih-lebih lagi apabila dia melihat senyuman tawar yang terukir di bibir Haura. Mikael berkerut. Entah mengapa hatinya berasa amat runsing.

          "En-Encik Mikael." tergagap-gagap Suri menyapanya. Dia memang sengaja berdiri di situ untuk menghalang wanita itu dari keluar dari bilik tersebut.

Mikael memandang Suri dengan pandangan yang dingin. Pandangannya kemudian beralih pula kepada Haura yang dilihat cuba berselindung di sebalik tubuh Laila seolah-olah ingin mengelak darinya. Laila pula sudah mula tidak tentu arah dengan kehadiran Mikael di situ.

          "Memang sah ada perkara yang berlaku dekat sini." bisik Mikael di dalam hati.

          "A-apa yang encik buat dekat sini?" soal Suri. Namun Mikael tidak menghiraukan pertanyaan tersebut.

Suri yang tercegat di hadapannya bagai tidak wujud di situ. Wanita itu menggenggam kuat kedua tangannya menahan rasa marah di dada. Mikael kemudian menyuruh Haura untuk kembali ke biliknya untuk membincangkan sesuatu.

Tanpa mengeluarkan sepatah kata, Haura terus berjalan keluar dari bilik pantri tersebut. Setiap langkah yang di ambil oleh Haura diperhatikan oleh Mikael sehinggalah wanita itu hilang dari pandangannya.

Setelah itu dia mengarahkan pula Suri dan Laila untuk kembali menjalankan tugas masing-masing. Kini tinggallah Mikael sendirian.

Tap! Tap! Tap!

Satu per satu langkah kecil di ambil oleh Mikael memasuki ke dalam bilik pantri. Bau aroma kopi yang sedari tadi singgah di hidungnya menjadi semakin kuat. Matanya meliar di segenap ruang tersebut.

Tiba-tiba pandangannya terkunci pada sepasang gelas air yang tergolek di atas meja. Dia segera mendekati meja tersebut. Mikael kemudian menyentuh salah satu gelas yang masih terdapat sisa air di dalamnya menggunakan belakang tangan.

          "Masih suam lagi." bisiknya perlahan. Kemudian dia memerhatikan tumpahan air yang mengalir dari atas atas meja menitik ke lantai. Mujur sahaja dia tidak terpijak air tersebut.

          "Apa yang dah jadi dekat sini? Dia orang berdua tu bergomol ke? Tapi tak ada nampak tanda-tanda macam tu pun kecuali gelas ni" bisiknya lagi. Hatinya berasa sungguh tidak tenang. Sekali imbas, gaya Mikael tidak ubah seperti seorang detektif yang sedang menyiasat di lokasi jenayah.

Tidak mahu berprasangka buruk, Mikael cepat-cepat menyingkirkan tanggapan tersebut dari fikirannya. Dia kemudian mengambil kedua gelas itu lalu diletakkan ke dalam sinki.

Tiba-tiba dia ternampak sebuah buku nota kepunyaan Haura yang terletak elok di atas kabinet berdekatan dengan sinki tersebut. Mikael mencapai buku itu lalu mula melangkah keluar.

Namun Mikael menghentikan langkahnya buat seketika apabila dia terasa seperti kakinya seperti telah terpijak sesuatu. Mikael tunduk ke lantai lalu melihat apakah yang sedang berada di bawah tapak kakinya itu.

          "Butang apa pulak ni? Butang baju ke?" tutur Mikael sendirian. Dia kemudian mengutip butang tersebut lalu memasukkannya ke dalam kocek seluar.

*****

Haura duduk di sofa sambil merapikan penampilannya. Sebolehnya dia ingin menutup segala kesan luka dan lebam yang terdapat pada anggota badannya sebelum dilihat oleh Mikael. Sesekali dia meniup lecur kecil di tangannya akibat terkena air kopi panas.

Jika Dia Untukku [COMPLETED]Where stories live. Discover now