1. Lahirnya Perumah Aura

8 1 0
                                    

ANARIK duduk bersila di bawah sebuah pohon yang besar dan rimbun. Matanya tertutup rapat dan sedang bertafakur. Aura putih menyelubungi dirinya yang tidak berbaju dan berbadan sasa itu.

Setelah duduk dalam waktu yang lama, dia akhirnya membuka mata sekaligus melihat suasana sekitar yang kini sudah berubah seratus peratus. Kesedaran perumah aura yang awalnya bertanah tandus dan kosong, kini telah dihiasi dengan alam semula jadi yang cantik dan subur. Tidak hanya itu, ianya sangat luas dan indah seperti sebuah dunia yang baharu.

Anarik mencapai busana yang terletak atas rumput lalu menyarungnya tanpa membutangkan. Baju dibiarkan berkibar ditiup angin hingga menampakkan tubuh badannya yang kekar dan beberapa kesan parut lama yang masih berbekas. Anarik berpeluk tubuh sambil memandang dunia kesedaran yang kini sudah seperti dunia asli.

"Cantik." Pujinya tulus.

"Tapi, tidak seindah dimensi." Sampuk seseorang secara tiba-tiba dari belakang.

Anarik menoleh dan melihat Kirmizi yang baru sahaja mendarat menggunakan aura keris merah berlekuk tujuh sebagai kenderaan. Lelaki itu tersenyum sambil bersilang tangan di belakang mendekati Anarik.

"Buat masa ini, ini sahaja yang kita mampu buat agar tidaklah kita bosan terkurung dalam alam kesedaran ini. Yaaa, walaupun tidak luas seperti dunia asli tetapi cukup besar untuk kita berlima." Ulas Kirmizi sambil mendepakan tangan.

Anarik tersengih sinis. Pandangan dihalakan semula ke depan.

"Aku tidak kisah alam ini besar atau tidak. Aku tidak berkehendak berlama dalam penjara ini. Aku mahu keluar dengan secepatnya. Kirana harus kita temui." Komennya sambil menghasilkan shiruken angin.

Kirmizi mengeluh mendengarnya.

"Kalau semudah itu, sudah lama kita bebas dari alam kesedaran ini. Sayangnya tidak sama sekali. Tak kira apa jua usaha kita lakukan, hasilnya sama. Keluar dari alam ini adalah mustahil."

Anarik diam. Shiruken yang terapung dihilangkan.

"Sudah berapa matahari terbit kita terkurung?"

Kirmizi mengusap dagu yang berjanggut sejemput. "10 terbit?" Tekanya.

Anarik memetik jari. Seakan terfikirkan sesuatu yang baik.

"Hari ini mungkin adalah harinya!" Kata Anarik teruja. Bibirnya merekah lebar.

"Maksud kau? Hari apa?"

Anarik tidak menjawab sebaliknya dia terus terbang bagaikan angin menuju ke sebuah tempat di mana terbina sebuah istana yang sangat megah dan mewah. Kirmizi yang ingin tahu ikut dari belakang.

Sepanjang perjalanan ke istana yang ingin ditujui, tiba-tiba alam kesedaran bergegar kuat seakan berlaku gempa. Pada masa sama, dinding dunia mula meretak.

Kirmizi yang melihat situasi mendadak itu kehairanan namun tidak bagi Anarik. Baginya, itulah petanda yang selama ini yang dia tunggu-tunggu.

Anarik segera menuju ke ruang tengah istana yang luas dan besar sebaik sahaja mendarat dan meninggalkan Kirmizi yang terpaksa berlari anak mengejar lelaki itu.

Kehadiran Anarik menarik perhatian dua pahlawan agung dimensi yang sudah sedia ada, Lazuardi dan Gandaria. Kedua-duanya menoleh ke arah Anarik dan Kirmizi yang baru sahaja tiba.

"Anarik..." Sapa mereka berdua.

"Apakah sudah tiba masanya?" Soal Anarik terus ke topik utama.

Lazuardi mengangguk kepala lalu melempar pandangan ke tengah istana.

"Perumah Aura tidak lama lagi akan lahir." Jawabnya sambil memerhati sebuah bola cahaya yang besar terapung di tengah ruangan itu.

Bola cahaya itu mula mengeluarkan aura cahaya pelbagai warna. Ia juga bergegar dan seakan hendak pecah dan mengeluarkan sesuatu yang selama ini mengurung seseorang didalamnya.

Menanti KiranakuWhere stories live. Discover now