:: chapter 3 ::

874 68 24
                                    

Dari kejauhan, bunyi guruh berdentum jelas kedengaran. Sekali sekala, langit yang berhamparkan awan gelap itu akan disulami dengan cahaya-cahaya biru petir yang menyambar bumi. Ketika itu, seorang lelaki yang kelihatan seperti berusia 18 tahun tersenyum dengan begitu lebar sekali. Dia mengenakan kot hitam mahal yang elegan membuatkan dia kelihatan seperti seorang pewaris syarikat yang kaya, yang mempunyai terlalu banyak harta untuk dibazirkan.

Petir baru sahaja menyambar bumi ketika Jungkook berdiri dari tingkap rumah agamnya sambil melihat fenomena alam itu dengan perasaan puas. Gelas wine ditangannya digoncang lembut beberapa kali untuk menyebatikan isinya sebelum diteguk. Entah kenapa moodnya agak baik hari itu. Mungkinkah harga stok akan naik lagi? Akan untung besarkah aku? Jungkook tersenyum sendiri apabila memikirkan kemungkinan itu.

Lelaki itu baru sahaja meletakkan gelas winenya di atas meja apabila pintu pejabat itu tiba-tiba diketuk beberapa kali. Tidak lama kemudian, Butler Kang yang merupakan pelayan keluarganya bersuara dari luar pintu ruangan itu.

"Maafkan saya kerana mengganggu Tuan Jeon. Malam ini ada tetamu hendak bertemu dengan tuan. Katanya ada hal yang sangat penting. Boleh atau tidak?"

Jungkook yang kehairanan menaikkan keningnya. Siapa pula yang nak jumpa aku lewat malam ni? Dah pukul 12 lagi pun...

"Masuk," arahnya.

Sejurus pintu dibuka, seorang wanita berusia awal 30-an lengkap dengan pakaian sut penuh berwarna merah masuk ke dalam bilik itu. Rambutnya yang berwarna hitam gelap membuatkan wajahnya yang putih melepak kelihatan pucat. Ditambah lagi dengan lipsticknya yang merah menyala. Senyuman sinis senantiasa tertampal di wajahnya membuatkan sesiapa yang melihat wanita itu tentunya tidak dapat mengelak dari berfikir bahawa wanita itu mengetahui rahsia gelap mereka.

Jungkook terus tersenyum melihat tetamunya itu. Telangkai Ban.

*telangkai: orang yg menjadi perantara dlm perkahwinan, perundingan dll.

"Dah lama telangkai tidak datang melawat saya. Saya ingin andaikan kedatangan telangkai ini adalah untuk membawa berita baik. Betul atau tidak?" soal Jungkook. Matanya memandang tepat ke arah telangkai itu dengan pandangan yang sama dingin dengan suaranya. Sekiranya manusia biasa yang terkena pandangan mata itu pasti mereka sudah lari mencicit kerana ketakutan.

Wanita itu membalas dengan senyuman sinis, langsung tidak terjejas dengan kedinginan yang dipamerkan Jungkook. Dia kemudiannya berkata, "Tugas yang Tuan Jeon berikan pada saya... Saya dah selesaikan."

Ketika itu, ekspresi wajah Jungkook terus sahaja berubah. Riak dingin yang menjadi temboknya sejak tadi terus sahaja mencair. Matanya kini dibeliakkan seolah-olah dia tidak percaya dengan apa yang didengarinya itu. "Te-Telangkai dah jumpa dia?"

Telangkai Ban menganggukkan kepalanya dengan bangga.

Jungkook yang melihat balasan itu hampir sahaja terduduk di kerusi pejabatnya yang empuk dan selesa itu. Badannya tiba-tiba menggeletar. Tidak pasti kerana teruja, gembira atau cemas. Semua perasaannya bercampur-baur sekarang ini. Akhirnya... Setelah sekian lama aku mencari dia...

"Macam mana keadaan dia? Adakah dia baik-baik sahaja? Pasti dia sudah besar, bukan? Berapa umur dia sekarang? Saya tak rasa dia dah tua sangat... Beberapa tahun baru sahaja berlalu dari insiden itu.. Dia sepatutnya di sekolah menengah sekarang... Pasti dia sangat cantik sekarang..." soal Jungkook lebih kepada dirinya sendiri. Apabila bercakap tentang gadis itu, lelaki itu sememangnya tidak dapat mengelak dari tersenyum lebar, seolah-olah dia sedang bercakap tentang perkara yang paling membahagiakannya di dunia.

Jungkook memandang telangkai itu semula. Matanya kelihatan terdesak. "Telangkai tahu dia tinggal di mana? Boleh saya jumpa dia? Dia masih tinggal di Seoul bukan?" tanyanya lagi tidak sabar. Dadanya sememangnya sedang berdebar ketika itu. Bahkan terlalu berdebar. Sekiranya jantungnya boleh melompat, pasti jantungnya sudah melompat tinggi dari bumi ke bulan. Hal ini sememangnya tidak dapat dielakkan. Apabila memikirkan tentang gadis itu, fikirannya terus menjadi tidak tentu arah. Mestilah... Dia kot...

Enchanted :: JJKWhere stories live. Discover now