Rebung

1.1K 33 3
                                    

            " Nenek bersiap ni nak pergi mana?" Tanya Farhan sebaik saja melihat neneknya mengenakan tudung di kepala sambil memakai jaket lusuh. Biasanya kalau nenek berpakaian begitu, dia akan ke hutan mencari rebung untuk dibuat lauk.

Rebung merupakan lauk kegemaran Farhan apatah lagi jika neneknya itu yang masak. Dia merupakan peminat nombor satu rebung tumis neneknya.

" Nenek mahu pergi cari..."

" Cari rebung kan? Farhan nak ikut!" Farhan mencelah.

Neneknya hanya tersenyum sambil mengusap kepala Farhan yang baru berumur 12 tahun itu. Nenek hanya mengangguk. Farhan bersorak gembira, dia sudah berlari ke halaman rumah sambil di tangan ada sebuah bakul rotan buatan arwah datuknya. Seperti biasa, bakul itulah yang dijadikan tempat untuk menyimpan rebung yang telah di kupas kulitnya.

Farhan masih menunggu neneknya di halaman, sambil menunggu dia mengejar anak ayam yang berada di halaman rumah. Dia ketawa sendiri apabila melihat anak ayam lari lintang pukang.

Tiba-tiba...

Farhan melihat neneknya yang baru saja turun dari tangga dapur. Neneknya terus menuju ke hutan belakang rumah tanpa menoleh ke arah Farhan yang berada di halaman rumah. Agaknya nenek terlupa yang dia mencari rebung bersama Farhan. Farhan yang sedar akan keadaan itu segera bergegas mengekori neneknya sambil memanggil-manggil tetapi panggilan Farhan langsung tidak diendahkan oleh neneknya.

Farhan masih mengejar neneknya yang berada di depan. Semakin lama langkah nenek semakin laju pula. Farhan tercungap-cungap kepenatan.

Farhan kehairanan kerana tidak biasanya neneknya itu mencari rebung sejauh itu padahal dia sudah melihat rebung di sekitar kawasan sungai, tetapi neneknya tetap berjalan dan tidak mahu berhenti.

Tiba-tiba langkah neneknya terhenti, Farhan juga berhenti sambil menghela nafas.

" Nek... Farhan rasa kita dah jauh dari rumah ni." Jerit Farhan sambil nafasnya turun naik keletihan.

Nenek yang sejak tadi membelakangi Farhan tiba-tiba secara perlahan-lahan berpaling ke arahnya sambil tersenyum menampakkan gigi-gigi runcingnya, manakala lidahnya terjelir keluar sampai ke dada. Mata Farhan membutang. Jantungnya berdegup dengan kencang, tubuhnya juga menggigil kerna melihat lembaga menggerikan di depannya itu. Kedua mata dan hidung tidak kelihatan pada wajah neneknya melainkan hanyalah mulut yang tersenyum ke arahnya. Farhan ketakutan, dia tahu itu bukanlah neneknya melainkan lembaga yang menyerupai neneknya.

Farhan berlari sekuat hati tetapi lembaga itu ada di mana-mana sambil menunjukkan mulutnya yang tersenyum menampakkan gigi runcingnya dengan lidah yang menjelir panjang sambil dilibas ke kiri dan kanan. Tawa ngilainya juga memenuhi ruang dimensi dalam hutan tersebut. Akibat perasaan takut yang teramat sangat, tubuh Farhan menjadi lemah lalu ia pun jatuh pengsan di sana.

Semua penduduk kampung berusaha mencari Farhan. Kegelapan malam menyukarkan penduduk kampung itu melakukan pencarian yang hanya bertemankan lampu suluh. Nenek juga berusaha mencari Farhan bersama penduduk kampung di situ. Nenek sejak dari tadi tidak habis-habis memanggil nama Farhan. Dia sungguh risau akan cucu kesayangannya yang satu ini. Dia berharap bahwa Farhan baik-baik sahaja. Air mata nenek juga turut mengalir. Sementara Haji Rahman selaku ketua surau di kampung itu juga turut serta dan mulutnya terkumat-kamit membaca ayat suci al-quran. Setelah berpenat lelah mengharungi kawasan hutan dalam misi pencarian Farhan;

Tiba-tiba...

" Dah jumpa!" Jerit salah seorang penduduk kampung di situ. Nenek, Haji Rahman serta beberapa orang penduduk kampung menghampiri Farhan yang sedang terbaring pengsan di bawah sebuah pohon ara yang besar .

" Ya Allah...cucu aku..." Jerit nenek sambil bergegas meluru ke arah Farhan dan memeluknya.

Farhan yang masih dalam keadaan pengsan segera di angkat oleh beberapa orang lelaki yang ada di situ. Nenek mengucapkan syukur kepada Allah kerana dipertemukan dengan cucunya semula. Mujurlah Farhan tidak di apa-apakan.

Tamat.



You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Jun 30, 2018 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

SHORT HORROR STORY COLLECTION 2018Where stories live. Discover now