Bab 100-Orang Tua Misteri

1.8K 34 0
                                    

  Kami pun terus berlari melanggar tunggul-tunggul buruk, melanggar akar yang menjalar di bumi. Matlamat kami mahu sampai segera ke tepi jalan raya yang jaraknya bukan dekat.
Dua tiga kali kami jatuh dan setiap kali jatuh kami segera bangun. Apa yang menakjubkan diri saya, setiap kali saya bangun dari jatuh, saya rasa seperti ada orang membantu saya. Selain dari itu, saya juga merasai seperti ada orang yang mengikut atau menemani perjalanan kami. Saya tanyakan perkara tersebut pada Najib. Dia juga merasakan seperti apa yang saya alami.
Akhirnya, kami sampai di tepi jalan raya Batu Hampar - Taiping. Seluruh tubuh kami dibasahi dengan pelih. Kami terpaksa berehat sebentar di bangsal tempat orang menanti bas. Bila rasa penat sudah hilang, perjalanan pulang ke rumah akan disambung kembali.
"Eh kamu tak mahu tengok orang pengsan tepi jalan?", seorang lelaki yang berbasikal melintasi di depan bangsal tempat kami berhenti rehat.
"Di mana?", jerit Najib.
"Di depan sana," jawab lelaki itu tanpa mahu berhenti. Siapa pula hamba Allah yang malang itu? Ini sudah pasti jadi korban kenderaan yang lari. Memang, pemandu yang tidak bertimbang rasa patut dihukum. Fikir saya dalam hati.
"Mari kita tengok Tamar."
"Jom, siapa pula yang malang tu."
"Kita tengok dulu baru kita tahu siapa orangnya."
"Cakap kamu betul Najib."
"Ah, sudahlah. Marilah", Najib segera menarik tangan saya. Dan kaki saya pun melangkah menuju ke arah tempat yang dikatakan oleh lelaki yang berbasikal tadi.
SAMPAI
Dari jauh saya dan Najib nampak orang ramai berkerumun tidak jauh dari tiang telefon. Ada beberapa buah kenderaan yang berhenti tetapi bergerak kembali sesudah melihat apa yang berlaku. Kami sampai ke tempat orang ramai. Tanpa membuang masa kami terus bergabung dengan mereka.
Saya dan Najib terkejut. Kami segera berpandangan. Memang tidak kami duga orang ramai sedang mengerumuni Amjal Kamal yang terlentang atas rumput. Di tubuhnya tidak terdapat sebarang luka atau kecederaan. Anehnya Amjal Kamal tetap mengeluh dan mengadu sakit. Sepasang kelopak matanya berkeadaan separuh terbuka.
Amjal Kamal memberitahu orang ramai yang mengelilinginya, kulit tubuhnya terasa pedih seperti kena bahang api yang cukup kuat. Sesekali dia membengkokkan badannya.
"Siapa orangnya?", terdengar seseorang bertanya.
"Aku tak berapa kenal, tapi pernah melihat rupanya sekali dua masa di pekan", terdengar suara dari seseorang.
"Ah, ketua Udin Tarzan kepala judi dan penyamun. Biarkan dia di situ. Dia dah menerima balasan dari Allah kerana kejahatannya", jawab seseorang dari arah kanan saya.
Amjal Kamal meracau tidak tentu arah. Kata-kata yang dituturkan sukar difahami. Mungkin Amjal Kamal bertutur dalam bahasa Nepal, bisik batin saya. Dua tiga orang yang berada di situ turut ketawa, bila mereka melihat Amjal Kamal menggerakkan badannya atas rumput macam ular sambil mengunyah rerumput yang hijau.
"Jangan ketawakan dia, kita harus melakukan sesuatu," seorang tua muncul dari arah belakang saya. Seluruh perhatian orang ramai tertumpu pada orang tua itu.
"Mengetawakan orang yang sedang sakit, bukan perbuatan orang yang beriman," lanjut orang tua itu. Dia segera menerpa ke dada jalan raya lalu mengangkat tangan kanannya menahan kereta yang lalu. Sebuah kereta berhenti.
"Kenapa?", tanya pemandu kereta.
"Tolong bawakan orang ini ke hospital."
"Hospital Taiping?", tanya pemandu kereta Ford Escort yang berwarna hitam. Orang tua itu anggukkan kepala. Pemandu kereta termenung sejenak. Dia agak keberatan untuk memenuhi permintaan orang tua tersebut. Amjal Kamal masih terkapar atas rumput.
"Bawalah dia ke hospital, kamu tak rugi menolongnya. Lagipun dia tak sakit kuat, kereta kamu tak kotor kerana tubuhnya tak berdarah, lepas kamu hantar ke hospital, kau tinggalkan saja dia di situ. Kerja semudah ini kamu keberatan menolongnya?", soal orang tua itu.
"Sudahlah, jangan banyak cakap. Masukkan dia di belakang," suara pemandu kereta bersuara lantang. Amjal Kamal pun segera diangkat ke dalam kereta.
"Ada sesiapa yang nak ikut ke Taiping?", tanya pemandu kereta pada orang ramai yang berada di situ. Bila mata pemandu kereta tertumpu ke wajah saya, dia menghadiahkan senyum. Rasanya saya pernah melihat wajahnya tetapi di mana? Saya kurang pasti.
"Itu Wak Juno, patutlah bahasa Jawanya pekat," kata Najib.
"Ya, aku ingat sekarang. Dia dari Kampung Talang, selalu datang ke tempat kita, menjaja tikar mengkuang, tudung saji dan bakul, lama juga aku nak mengingatinya, Najib."
"Kamu lemah ingatan," sindir Najib. Kami ketawa serentak. Orang ramai yang berada di situ merenung ke arah kami.
"Biar saya yang menemaninya", orang tua itu membuat keputusan. Tanpa membuang masa lagi, dia masuk ke perut kereta. Beberapa minit kemudian kereta yang dipandu oleh Wak Juno terus bergerak meninggalkan kami. Orang ramai segera bersurai.
Saya dan Najib kembali ke bangsal untuk menanti bas. Rasa cemas mula mengganggu perasaan saya. Macam-macam perkara buruk terbayang dalam tempurung kepala.
Bas yang dinanti pun tiba. Saya dan Najib segera naik. Kami memilih tempat duduk tidak jauh dari pemandu bas. Saya menoleh ke kanan. Saya terlihat orang tua yang menahan kereta Wak Juno berada di situ.
"Tadi pak cik ikut kereta Wak Juno?", tanya saya.
"Hum", kata orang tua itu sambil gelengkan kepala.
"Maafkan saya kerana tersalah orang", saya tersipu sipu malu.
"Tak mengapa, salah silap perkara biasa dalam kehidupan manusia. Awak dah jumpa Agam?", orang tua itu mengajukan pertanyaan. Matanya merenung ke arah pepokok di kiri kanan jalan. Saya dan Najib sering sahaja membengkokkan badan ke kiri atau ke kanan bila bas menempuh selekoh yang tajam. Tetapi orang tua itu tetap tidak bergerak.
Satu persoalan timbul dalam hati saya. Bagaimana orang tua ini mengetahui pertemuan saya dengan Agam? Siapa dirinya yang sebenar?
"Pakcik ini siapa?, soal Najib. Bas terus meluncur. Penumpang bas tidak begitu ramai jumlahnya. Banyak bangku yang kosong.
"Aku ni datuk pada Agam."
"Berapa umur pakcik sekarang?"
"Seratus tujuh puluh tahun."
"Huh", kata saya separuh menjerit. Semua mata yang berada dalam bas tertumpu ke arah saya. Mana ada manusia yang berusia selanjut itu. Kalau ada pun, pasti tidak mampu melangkah, apalagi bergerak ke sana ke mari.
"Mustahil", kata Najib.
"Tidak ada yang mustahil, kalau Allah mengizinkannya," ungkap orang tua itu tenang.
Saya terdiam. Bas terus meluncur dengan laju. Saya masih meragui kebenaran dari kata-kata yang diluahkan oleh lelaki tua itu. Ketika bas melalui selekoh yang agak tajam, orang tua itu bangun lalu menekan loceng bas.
"Aku dah sampai, ingat tentang kebesaran Allah, bila kita ingatkan kebesaran Allah, tidak ada sesuatu yang mustahil di dunia. Tidak ada manusia yang boleh mengukur kelebihan Allah, cubalah mengenali diri sendiri," orang tua menujukan kata-kata itu pada saya. Memang terasa diri saya disindir. Pemandu bas cuma tersenyum sahaja.
"Di sini hutan tebal, mana ada kampung di sini", Najib bersuara lalu merenung ke arah hutan tebal di kiri kanan jalan raya. Keadaannya amat menyeramkan dengan pokok-pokok besar. Apa yang terdengar ialah bunyi suara reriang rimba dan suara ungka liar.
"Orang yang buta hati dan perasaan saja yang tak nampak kampung halaman makhluk lain. Orang yang hatinya suci dan hidupnya direstui Allah akan menemui makhluk lain selain dari manusia, selamat jalan."
"Ha menyindir kami", kata saya.
"Tidak, aku bercakap sesuatu yang benar," orang tua itu menolak tuduhan saya. Dia pun melangkah turun dari perut bas. Bas pun bergerak. Dari jendela bas saya lihat orang tua itu masuk ke dalam hutan tebal seperti orang berjalan di atas jalan raya. Dia melambaikan tangan ke arah para penumpang yang berada dalam bas.
HAMPAR
Saya masih ingat, tempat orang tua itu turun tidak jauh dari pekan kecil Batu Hampar. (Khabamya, disitu kini sudah dijadikan pintu jalan untuk masuk ke pusat Darul Arqam. Agaknya, di kawasan Darul Arqam itu suatu ketika dulu adalah kawasan perumahan orang tua misteri yang saya temui dalam bas satu ketika dulu).
"Dalam sebulan dua kali orang tua itu turun dan naik di sini," jawab Mat Tupai dalam loghat Kedah.
"Dia pergi ke mana?", desak Najib.
"Kadang-kadang dia turun dekat pekan Air Terjun, kadang-kadang dekat tempat yang disebut Bendung Siam. Tapi, tempat yang dia turun itu semuanya kawasan hutan."
"Selain dari dia, ada orang lain yang naik?"
"Ada, orang perempuan, selalunya orang perempuan naik bas yang terakhir. Kadang-kadang...", Mat Tupai tidak meneruskan kata-katanya. dia terus memaut stereng bas dengan tenang dan aman.
"Kadang-kadang apa?", saya cuba mengunckil rahsia.
"Masa mereka naik, selalunya penumpang tak ramai. Paling tinggi dua orang. Bila dia ada dalam bas, satu bas jadi wangi. Mereka tak banyak cakap, mereka bayar duit tambang kemudian terdengar mereka berzikir."

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 7 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now