Bab 105-Mandi Di Ambang Pintu

1.6K 29 0
                                    

  Sebaik sahaja air sejuk berlari di kerongkong, urat saraf di setiap sendi badan terasa seperti disentap-sentap. Serentak dengan itu terdengar bunyi dentuman yang kuat di telinga macam bunyi petir. Cawan di tangan terlepas lalu jatuh di atas lantai. Pecah berderai. Tenaga saya makin lemah.
"Tamar dengar cakap aku ini. Allah itu maha ESA, berkuasa atas segalanya. Pada Allah kita minta pertolongan, bacalah surah Al-Ikhlas, Qulhuwallah...," Uda Lamat memberi arahan. Saya terus mengikuti arahannya. Tiga kali saya baca surah Al-Ikhlas dengan penuh khusyuk.
"Tamar, renung ke sini."
Bagaikan kilat saya menoleh ke arah datangnya suara datuk. Serentak dengan itu datuk memegang pergelangan tangan kanan saya. Dia memaksa saya merenung ke arah biji matanya.
"Renung biji mata aku, Tamar."
"Baik, tuk."
"Ikut gerak bibir aku, Tamar."
"Ya, tuk."
"Tumpukan perhatian padanya, pasang telinga kau. Dengar apa yang dicakapkan," Uda Lamat memberikan petunjuk. Saya terus anggukkan kepala. Sedia patuh dengan apa jua perintah.
Memang tidak sukar bagi saya mengikuti kalimah-kalimah yang diucapkan oleh datuk. Datuk membaca beberapa rangkaian ayat dari al-Quran yang pernah saya baca pada setiap malam Jumaat. Ayat-ayat itu bagaikan luput dari ingatan sejak suara aneh menguasai diri saya.
Bila datuk menyebutnya di depan saya, barulah saya teringat dengan ayat-ayat tersebut. Pada mulanya, pembacaan saya memang tidak lancar. Setelah tiga kali berturut-turut mendengar dan mengikuti gerak bibir datuk barulah saya faham.
Tidak saya nafikan, setiap kali ayat-ayat yang datuk lafazkan itu, saya ikuti dengan penuh perasaan, dada terasa amat panas. Hati tidak tentu arah, menggelabah tanpa sebab. Uda Lamat, orang tua yang banyak pengalaman dan asam garam dalam kehidupan itu, tidak mahu meninggalkan datuk sendirian di ruang anjung rumah. Setiap gerak geri saya diawasinya, hinggakan gerak telinga, pernafasan, jejari saya tidak terlepas dari pengawasan Uda Lamat.
Pada hemat saya, kedatangan Uda Lamat memang dirancang untuk jadi pembantu datuk dalam usaha memulihkan diri saya.
"Bertenang, Tamar," kata Uda Lamat. Bila melihat tubuh saya tersentap-sentap macam terkena kejutan elektrik. Badan saya berpeluh dengan banyak. Mungkin peluh itu terjadi akibat cuaca pagi yang kian membahang di luar atau akibat dari tekanan perasaan dalam diri saya.
"Dia dah lemah tu," sayup-sayup terdengar suara datuk.
"Baca lagi, hingga lemah betul," suara Uda Lamat masih dapat ditangkap oleh gegendang telinga saya. Ketika itu, saya merasai diri saya berada dalam keadaan fana dan sepi. Antara fana dan sepi tiu, saya terlihat ada bayang-bayang nipis yang keluar dari tubuh saya, (lebih tepat dari bahagian dada). Kepulan asap yang nipis itu berpusu-pusu di sebelah kiri saya. Aneh sekali, kepulan asap yang nipis itu membentuk sifat diri saya.
Saya tidak berkata apa-apa. Suara saya tidak keluar. Mulut bagaikan terkunci. Cuma tangan daya tergapai-gapai ke kiri dan ke kanan. Maksud saya itu, tidak dapat ditangkap oleh datuk dan Uda Lamat. Mungkin mereka tidak sedar dengan apa yang terjadi. Bayang-bayang nipis dan halus yang menyerupai diri saya itu terus bergerak ke pintu rumah. Berdiri di ambang pintu, saya lihat diri saya menangis dan meratap hiba di situ. Menghempaskan diri pada jenang pintu hingga mengeluarkan darah dari kepala dan muka.
Paling akhir, saya lihat diri saya bertukar menjadi batang tubuh Amjal Kamal, pamerkan diri di depan datuk. Tetapi, bila datuk melafazkan beberapa ayat dari surah Al-Imran, bebayang tubuh amjal Kamal berkecai dan hancur lalu bersatu dengan udara. Keluar dari rumah dengan meninggalkan jeritan yang halus dan cukup nyaring.
Saya bertambah lemah. Dalam usaha memulihkan saya, sama ada dari segi kekuatan tubuh dan otak, datuk lagi sekali menggunakan ramuan tradisional. Dia tidak memerlukan pertolongan dari nenek, kecuali untuk menyediakan dua gelas air panas, kali ini datuk memerlukan tenaga dari Uda Lamat yang begitu matang dengan akar kayu dan pepucuk berkhasiat.
PERTAMA
Petua pertama datuk dan Uda Lamat lakukan terhadap saya ialah mandi di ambang pintu. Kemudian disuruh berjemur di tengah panas untuk kira-kira lima minit. Masa berjemur saya diawasi oleh Uda Lamat. Datuk merebus pepucuk daun. Akar kayu diketuk atau dihimpit dengan satu alat keras dan berat hingga mengeluarkan air.
Pepucuk daun yang direbus, disuruh makan begitu sahaja. Kepalang pahitnya, apakan daya saya tidak terdaya membantah. Saya disuruh berehat selama lima minit dengan berbaring hingga saya tertidur. Saya dikejutkan semula, disuruh minum air madu lebah yang dicampurkan dengan air dari akar kayu.
"Minum dengan sekali nafas sebelum minum. Baca Bismillah dan mohon pada Allah supaya diberikan kekuatan fikiran seperti sediakala, terhindar dari pengaruh tidak sihat," datuk mengingatkan saya.
"Apa doanya tuk?"
"Berdoa dalam Bahasa Melayu. Allah mengerti apa bahasa yang diucapkan oleh makhluknya. Apa yang penting permintaan itu mesti ikhlas," sahut datuk. Saya lakukan apa yang datuk suruh. Manisan lebah yang bercampur dengan air akar kayu terus saya teguk. Rasa pahit dengan manis terus menguasai anak tekak. Datuk tersenyum melihat muka saya mula kemerah-merahan.
"Madu lebah ni, memang banyak khasiatnya. Sayangnya, orang kita tak tahu menggunakannya. Orang tua-tua yang tahu macam mana menjadikan madu lebah ini sebagai ubat, tidak pula menurunkan petua itu pada orang-orang terkemudian darinya," datuk memulakan satu ceramah kecil di depan saya dan Uda Lamat. Saya tidak memberikan sebarang komentar, dada saya terasa lapang. Dalam beberapa saat sahaja badan saya berpeluh. Terasa bertenaga kembali. Fikiran tidak pula bercelaru, terasa amat lapang sekali.

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 7 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now