BAB 1

1.3K 88 15
                                    

[Paan]

Orang kata cinta itu buta. Bila mana mata dikaburi cinta, segalanya tentang si dia nampak indah meskipun si dia tak pandang pun padanya.

"Kau tengok apa, Paan?"

Tersentak Paan bila lengannya disiku Eman yang tiba-tiba berdiri di sebelahnya. Dijelingkan sikit Eman sebelum matanya kembali memandang si gadis manis yang sedang membeli kuih di gerai Mak Cah. Sesekali si gadis mengipas wajah dengan tangannya.

Cuaca hari ini panas sangat agaknya. Alahai, kesiannya Pah kesayangan Paan ni!

"Hoi, aku tanya tak jawab!" Eman tarik sikit sideburn milik Paan.

"Ish, kau ni!" Paan mencerun pada Eman. Tak sempat dia nak jawab, Eman dah mengangguk sendiri.

"Ooo... padanlah, mengintai cucu Syed Alwi rupanya," Eman juihkan mulutnya. Paan, Paan... enggang manakan mahu terbang dengan pipit, Paan!

"Cantik kan dia, Man?"

Eman jungkit kening sikit. Matanya kembali memandang pujaan hati Paan itu. Eman angguk sikit. Cantik! Memang Syarifah Eliani tu cantik orangnya, "Cantiklah juga..."

"Cantiklah juga?" Paan bersuara, tak puas hati dengan jawapan Eman, "Pah tu cantik gila kot, kau boleh jawab cantiklah juga?"

"Apa yang kau suka sangat dengan Syarifah tu, Paan? Setahu aku, dia tak layan kau baik-baik pun. Tetap juga kau suka dia..."

Paan diam namun tetap bibirnya mengukir senyum, "Suka itu perlukan sebab ke, Eman?"

Eman pandang Paan sekilas dan terus dia menghela nafas panjang. Matanya kembali memandang ke arah gerai Mak Cah. Kelihatan seorang gadis di sebelah Syarifah, manis berbaju kurung kain kapas, "Dari kau pandang Syarifah yang sombong tu, baiklah kau pandang Iffah tu. Cantik pun cantik, sopan pulak tu..."

Berkerut dahi Paan mendengar pujian Eman pada entah siapa tu. Matanya cuma nampak Syarifah saja. Cantik, manis, lawa, segak... apa lagi kata pujian yang boleh dia berikan pada Syarifah?

Hai, Pah kusayang... bila agaknya mahu balas rasa cintaku ini, ya?



"Mengapa wajahmu muram saja, sayangku? Tidakkah kau mahu bercanda dengan ku seperti selalu?" Wajah manis itu ditatap lama. Wajah yang buat dia gila bayang sekian lama.

"Mengapa kau mahu bercanda denganku? Pergi saja kau ke sana, bercanda dengan si cantik jelita pujaan hatimu..." nada suara yang berbaur rajuk itu buat si teruna mengukir senyum nipis.

"Tapi..." si teruna menongkat dagu memandang si dara, "Kaulah si cantik jelita pujaan hatiku! Tidakkah kau tahu, sayangku?"

"Ah, dusta! Kau dari dulu cuma menanam tebu di pinggir bibir. Di bibirmu, diriku kau puji namun di hatimu, dia yang bertakhta!"

"Aku tidak berdusta, Pah..." si teruna angkat tangan, seperti mahu berikrar lagaknya! "Hati ini cuma ada kau saja, sayangku! Selamanya dirimu..."

"Benarkah begitu? Cuma aku?"

"Ya, cuma kamu Pah!"

Mendengar jawapan si teruna, wajah si dara sudah memekar dengan senyuman. Aduh, manisnya...

Pap!

Bantal yang dibaling tepat ke wajahnya buat senyuman manis milik Pah hilang dari mimpinya! "Apa mak ni? Orang tengah syok mimpi kot..."

"Amboiii, mimpi apa senja rembang ni? Mangkit lekaih! Ikut pak hang pi surau nuh!"

Paan dah memuncungkan mulutnya, "Kalau tak pi, tak boleh ka?"

Mak Munah dah menjeling tajam! Tanpa menjawab soalan anak terunanya itu, tangannya ligat menutup tingkap yang masih terbuka.

Paan yang masih mamai-mamai tidak mempedulikan jelingan Mak Munah. Badan dia rasa tak larat sungguh! Nak pula hari ni banyak pula kereta yang perlu diservis dan dibaiki!

"Mak tak kira apa pun alasan hang, malam ni ada kenduri kat surau... baik hang pi, tolong-tolong apa patut! Jadi anak teruna kampung, jangan dok buat perangai baloq liat sangat! Pi menolong kat surau tu, baru ada anak dara nak pandang hang Paan oi!"

"Kenduri siapa mak?" Tanya Paan sebaik saja dia berdiri. Dengar sahaja Mak Munah cakap anak dara nak pandang dia, semangatnya terus berkobar-kobar. Manalah tahu kalau-kalau Pah akan pandang dia lepas ni, kan?

"Tok Syed! Dia buat kenduri kesyukuran sebab cucu perempuan dia balik mai duduk dekat kampung dengan dia."

Mendengar nama Syed Alwi disebut oleh Mak Munah, terus bersemangat Paan nak ke surau!

"Muka tu toksah nampak galak sangat aih, Paan! Takdaknya cucu dia tu mau kat hang!" Ujar Mak Munah dengan bibirnya terjuih-juih sebelum dia keluar dari bilik anak terunanya itu. Hailah anak, kenapalah tak mahu ukur baju di badan sendiri?

Paan mengerutkan dahinya sikit sebelum dia tersenyum sendiri. Ini Muhammad Farhan, mak! Paan akan pastikan Pah yang jadi menantu mak! Mak tengok sajalah nanti!


Paan pandang Eman yang sedang berbual dengan abangnya sebelum dia pandang pinggannya yang masih belum luak bihun gorengnya.

Bukan dia tak lapar. Dia lapar gila tapi sebab dia tak nampak pujaan hatinya dari tadi, dia jadi macam tak berselera. Tambah pula kenduri ni, kenduri kesyukuran nak meraikan si dia. Mestilah dia berharap dapat jumpa wanita itu.

"Paan, kau menung apa? Makanlah!"

Paan sengih sikit sebelum dia berdiri, "Aku nak ambil air dulu."

Eman baru nak minta Paan ambilkan air untuknya mengerutkan dahi bila langkah Paan bukannya menuju ke meja hidangan, sebaliknya dia pergi hujung khemah. Bihun yang baru suku dimakan, ditinggal sekejap. Dia perlahan-lahan mendekati anak teruna Mak Munah itu!

"Kau mengintai siapa ni, Paan?" Eman kerling Paan yang dari tadi terjenguk-jenguk melihat khemah jemaah perempuan. Kepalanya digeleng sikit, "Tadi cakap nak ambik air!"

"Aku cari Pah, Eman!" Paan mengeluh sikit, wajah Eman dipandang sekilas, "Tapi dari tadi aku tak nampak dia. Kau ada nampak dia tak?"

"Iffah?"

"Kau ni dari siang tadi Iffah, Iffah... siapa Iffah ni?" Rengus Paan. Geram!

Dahi Eman berkerut, "Aik... takkanlah kau tak kenal..."

Tak sempat Eman habiskan kata, ada satu suara menyampuk perbualan mereka, "Saya Iffah! Kenapa cari saya?"

Terkedu Paan mendengar suara yang tiba-tiba menyampuk. Perlahan-lahan dia berpaling ke belakang. Wajahnya berkerut sikit melihat wanita yang memakai telekung berwarna ungu pastel itu. Macam pernah kulihat wajahnya, tapi dia mana ya?




Bersambung...

Pah KusayangWhere stories live. Discover now