2. Panggilan Tidak Dikenali

333 4 0
                                    

Ketika Mat Deris sedang asyik menjalankan tugasnya di pejabat tiba-tiba telefon di atas mejanya berdering. Menjerit-jerit minta diangkat. Itulah telefon yang pertama diterima oleh Mat Deris pada hari itu.

Oleh kerana telefon itu terletak di atas mejanya, jadi terpaksalah Mat Deris mengangkatnya bagi mengelakkan telefon itu berdering lebih lama. Baru
saja gagang telefon diletakkan di telinganya, Mat Deris terdengar satu suara garau yang dirasakan pernah didengarnya.

"Siapa di sana?" Tanya Mat Deris.

Suara yang didengar oleh Mat Deris melalui telefon itu begitu dingin dan amat tawar. Tanpa perlu berfikir banyak, Mat Deris sudah menduga bahawa suara itu tidak lain daripada suara lelaki yang muncul di dalam mimpinya semalam. Suara lelaki yang bertubuh sasa dan tegap yang telah membunuh gadis cantik berambut panjang itu. Mat Deris begitu terkejut dan terpegun kaku di atas kerusinya.

"Mat Deris bercakap! Siapa di sana?" Tanya Mat Deris memberanikan hatinya. Jantungnya berdegup semakin kencang.

"Itu tak penting! Yang penting ialah, pada malam Jumaat depan, kau harus menggosongkan bilik sewaanmu! Bilik itu adalah bilik aku. Aku mahu tinggal di bilik itu semula!"

"Apa?" Mat Deris berteriak lantang. "Hallo!!! Hallo!!!

Ternyata hanya itulah yang diucapkan oleh suara yang muncul melalui telefon itu. Hanya itulah perkara yang hendak disampaikan olehnya kepada Mat Deris.

Mat Deris menjadi semakin hairan dan bingung. Seluruh tubuhnya terasa menggeletar. Nafasnya mencungap-cungap manakala peluhnya memercik keluar membasahi seluruh tubuhnya.

"Ancaman gila yang aneh dan tak masuk akal!" Rungut Mat Deris dalam hati.

"Ada apa Abang Mat?" Tanya Munah, kerani akaun di pejabat Mat Deris.

Jimmy Yee yang mejanya bersetentangan dengan meja Mat Deris turut memandang Mat Deris dengan pandangan penuh kehairanan. Disebabkan oleh teguran Munah dan pandangan kehairanan dari Jimmy Yee, akhirnya Mat Deris malu sendiri.

"Tak ada apa-apa," kata Mat Deris tak mahu beterus terang, "dia salah nombor!"

"Siapa?" Tanya Jimmy Yee.

"Tak tahu!"

"Apa katanya?" Tanya Jimmy Yee lagi.

"Tak ada apa-apa, salah nombor agaknya," ujar Mat Deris cuba berselindung.

"Kenapa pula sikap awak berlainan sekali?" Tekan Jimmy Yee. Mat Deris tidak menjawab.

"Kau kurang sihat?" Munah pula bertanya.

"Ya! Aku memang kurang sihat!" Balas Mat Deris. Walaupun Mat Deris menipu tetapi hanya itulah saja alasan yang difikirkan sebagai alasan paling munasabah untuk diterangkan kepada rakan-rakan sepejabat dengannya itu.

"Berehatlah kalau kau kurang sihat," Jimmy Yee memberikan nasihat.

Jimmy Yee mahupun Munah tidak bertanya lagi. Kedua mereka kembali menjalankan tugas masing-masing. Suasana di pejabat itu kembali sunyi.
Kembali sepi. Mat Deris tidak dapat menumpukan perhatiannya kepada pekerjaannya. Fikirannya lebih banyak dihalakan kepada suara yang bergema dari telefon sebentar tadi. Mat Deris cuba menggabungkan suara yang didengarnya melalui telefon sebentar tadi dengan mimpinya pada malam semalam. Dia cuba memikirkan siapakah lelaki itu
sebenarnya.

Melalui suara yang didengarnya melalui telefon itu, Mat Deris percaya bahawa lelaki yang dilihatnya di dalam mimpinya itu sebenarnya memang wujud. Orangnya pasti ada. Tetapi, siapakah orangnya? Di
mana tempat tinggalnya? Kenapa pula lelaki itu menyuruh Mat Deris keluar dari bilik sewaannya? Kalau lelaki itu benar-benar inginkan bilik itu kenapa pula dia tidak menghubungi Pak Cik Ahmad sedangkan Mat Deris hanyalah sebagai penyewanya sahaja.

Berkasih Dengan PontianakWhere stories live. Discover now