4. Dirasuk

238 3 0
                                    

Apa yang dialami oleh Mat Deris pada malam semalam tidak lagi diceritakan kepada Pak Cik Ahmad dan isterinya, Mak Cik Lijah. Dia juga tidak akan memberitahu Ripin atau Baharum.
Dia berpendapat, kesemua orang yang berada di rumah itu pasti tidak akan faham dengan apa yang dikatakan olehnya.

"Tak bekerja hari ini?" Tanya Mak Cik Lijah sebaik sahaja Mat Deris keluar dari biliknya. "Ripin dah lama pergi!"

"Saya tak sedap badan, mak cik," balas Mat Deris sambil terus menuju ke arah meja makan di dapur. Sampai di meja makan tangannya terus mencapai cawan lalu menuangkan kopi dan terus menghirupnya.

"Kau sakit?" Tanya Mak Cik Lijah lagi.

"Cuma pening kepala saja. Mungkin saya perlu berehat," balas Mat Deris.

"Baharum dah pergi ke seminar?" Mat Deris bertanya sambil memandang wajah Mak Cik Lijah.

"Dialah yang paling awal keluar. Keretamu dia pakai. Katanya dia dah beritahumu tentang perkara itu," balas Mak Cik Lijah.

"Memang dia dah cakap dengan saya, mak cik."

"Dia hendak ke mana?

"Hendak ke Seremban, katanya. Dia ada seminar di sana!".

"Ohhh..." Mak Cik Lijah menjuihkan bibirnya tanpa ingin tahu lebih lanjut tentang seminar yang akan disertai oleh Baharum.

"Oh ya! Saya nak tanya mak cik sikit," Mat Deris mengerutkan dahinya, "Siti Zulaiha yang menyewa di bilik saya tu dulu bersekolah di mana?"

"Mak Cik Lijah menatap tepat wajah Mat Deris. Kemudian dia bersuara: "Kenapa pula dengan dia? Adakah kamu masih bermimpi tentan dia?"

"Tidak!" Mat Deris cuba berbohong, "saya cuma ingin tahu saja,"

"Dia belajar di salah sebuah maktab swasta," balas Mak Cik Lijah.

"Adakah mak cik mengenali teman-temannya? Ataupun mak cik turut mengenali kekasihnya?" Tanya Mat Deris lagi.

"Dia adalah seorang gadis yang sangat baik tetapi tidak terlalu pandai bergaul. Aku rasa dia tidak mempunyai rakan-rakan yang rapat kecualilah keluarganya sendiri. Tentang kekasih pula, mak cik tak berapa tahu tetapi rasanya tak ada," terang Mak Cik Lijah.

"Apakah sehingga sekarang pihak polis masih gagal mengesan pembunuh gadis itu?

"Belum!"

Mat Deris terdiam tetapi fikirannya terus berputar.

"Sepatutnya kau tak perlu memikirkan sangat tentang perkara itu," ujar Mak Cik Lijah yang pencen dari jawatannya sebagai guru sekolah rendah. "Mimpi sebenarnya hanyalah mainan tidur. Mungkin kau terlalu banyak berfikir sehingga menyebabkan apa yang kamu fikirkan itu terbawa-bawa ke dalam tidur."

"Maksud mak cik?"

"Seperti peristiwa semalam. Kau mengatakan bahawa kau ternampak wajah gadis itu di dalam cermin kecil tersebut tetapi kami semua tidak dapat melihatnya!"

Mat Deris terdiam sambil mengela nafas panjang. Memang dia tidak sependapat dengan Mak Cik Lijah namun begitu Mat Deris mengakuinya dan berazam untuk tidak lagi menceritakan kepada sesiapa tentang pengalaman aneh yang dialaminya itu.

"Mungkin," ujar Mat Deris sambil bangun. Dia kemudian menuju ke arah biliknya. Dia ingin mandi dan keluar meninggalkan rumah itu.

Oleh kerana keretanya telah dipinjamkan kepada Baharum, Mat Deris terpaksalah menggunakan teksi untuk pergi ke Kuala Lumpur. Tujuannya adalah untuk pergi ke pejabatnya tetapi dia hanya sebentar
sahaja di situ. Cuma untuk mengisi borang permohonan cuti. Sejak dari semalam lagi dia sudah berniat untuk mengambil cuti. Memang kadangkala
bekerja secara berterusan amat membosankan. Mat Deris memerlukan rehat yang agak panjang supaya dia dapat menumpukan perhatiannya kepada masalah yang sedang dihadapinya itu.

Berkasih Dengan PontianakWhere stories live. Discover now