BAB 01

6 0 0
                                    

URUSAN majlis tahlil di masjid tadi berjalan lancar. Semuanya dipermudahkan oleh ahli-ahli masjid yang banyak membantu dan jiran-jiran sekampung mereka yang ringan tulang menolong. Selepas semua jemaah pulang, dia mengambil tempat di ruang masjid utama untuk duduk dan berteleku di situ sendirian.

Membawa anak mata lelakinya ke arah tulisan ayat al-Quran yang tergantung di dinding masjid itu. Surah Ali-Imran, ayat 185. “Setiap jiwa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari Kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka sungguh dia telah berjaya. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdaya.”

Aksa menghembus nafas perlahan.

“Kau tak balik lagi?” Soalan dari seseorang di belakang memalingkan wajah Aksa. Tubuh itu sedang menghampiri dia yang sedang duduk bersila.

Rashad turut sama-sama meletakkan punggungnya di sisi Aksa. Tinggal mereka berdua di ruang masjid. Tiada suara lain yang kedengaran. Hanya bunyi kipas di siling yang berpusing perlahan.

Aksa menggeleng. “Tak balik lagi. Kau pula kenapa tak balik lagi?” soal Aksa kembali, memandang Rashad di sebelahnya.

“Aku dah nak balik tadi. Pergi balik air sekejap. Tengok lampu kat atas ni masih menyala. Tu yang naik balik.”

Seraya itu, Rashad turut memandang Aksa di sebelahnya. Nampak jelas wajah Aksa yang kepenatan dan lesu. Rashad tahu mungkin sebenarnya Aksa penat. Yalah, Aksa itu satu-satunya ahli keluarga lelaki yang tinggal dalam keluarga Che Aminah.

Mengambil tugas menjaga wanita itu dan syarikat mereka sekeluarga, pasti bukan sesuatu yang mudah buat Aksa. Dan Rashad tahu pasti ada perkara sekarang ini yang sedang membelenggu Aksa. Dia bukan baru hari ini mengenali Aksa.

Mereka sudah berteman dari zaman sekolah. Sehinggalah sekarang.

“Itulah. Aku pun dah nak balik sebenarnya, tapi sengaja duduk kat sini sekejap. Ambil nafas dan tenangkan diri dulu.”

“Yalah. Aku faham.” Rashad angguk.

“Apa pun aku nak ucap terima kasih Chad pada kau sebab banyak tolong aku untuk majlis tahlil malam ni.”

Aksa benar-benar berterima kasih kepada Rashad. Rakannya itu yang banyak membantu dia dalam urusan di masjid dan juga syarikat keluarganya. Jika nak mengharapkan dia seorang, entahlah Aksa tak tahu apa yang akan jadi.
Kelam-kabut dibuatnya nanti.

“Tak ada apalah, Aksa. Aku tolong mana yang mampu aje. Lagi pula kita tinggal sekampung. Aku pun bukan baru kenal kau,” ujar Rashad, tersenyum.

Majlis tahlil hari ini dibuat sempena seratus hari kematian arwah bapa Aksa, Encik Ibrahim. Bapa lelaki itu meninggal dunia kerana kompilasi buah pinggang. Setelah hampir setahun berulang alik keluar masuk hospital kerana rawatan dialisis.
Aksa turut senyum kecil.

Rashad yang dia kenal tak pernah berubah. Walaupun hubungan mereka sudah berbeza. Tidak lagi menjadi seperti dahulu. Lelaki itu tetap sama.

“Alhamdulillah. Nasib baik aku ada sahabat yang baik macam kau.” Pujian dan penghargaannya diberikan kepada Rashad. Ikhlas.

Rashad sekali lagi angguk dengan senyuman. Sebelum kembali bersuara. “Jadi macam mana? Kau dah jumpa dia balik?” Tidak semena itu pula yang terlintas di bibir Rashad.

Aksa berpaling kepada Rashad di sisinya sekali lagi.

Lelaki itu sedang bertanyakan dia tentang seseorang yang sudah lama menghilang dan pergi dari hidup mereka sekeluarga. Kali terakhir dia bertemu gadis itu adalah lima belas tahun lepas. Ketika mereka berdua sama-sama masih anak kecil dan remaja.

Aksa tidak mahu mengingati kejadian hari itu. Namun, semuanya seakan kembali datang dan menjenguk ruang fikirannya beberapa hari ini. Hati dia semakin tidak tahan mengusung rasa di dada.

Dia benar-benar perlu temukan gadis itu.

“Tak ada maklumat tentang dia, Chad. Aku pun tak tahu macam mana nak cari dia lagi.”

“Itulah. Sudah lima belas tahun berlalu. Dia dan keluarga dia memang hilang tanpa khabar. Aku rasa mereka betul-betul berjauh hati kut.”

Betullah kata Rashad itu. Siapa je takkan pergi jika dilayan dan dihalau sebegitu rupa oleh ahli keluarga sendiri.

“Aku harap mereka sekeluarga akan balik ke sini suatu hari nanti. Dan aku yakin dia akan balik juga nanti. Aku dapat rasakannya, Chad.”

“Kalau dia betul-betul balik, kau dah bersedia untuk jumpa dia?” duga Rashad.

Aksa memaku bebola matanya pada dinding di hadapan. Lama. Cuba mengingati wajah itu. Wajah itu ketika berusia 10 tahun.

“Kami dah lama tunggu mereka, Chad. Aku nak sangat jumpa dia. Aku harap sangat mereka akan balik ke pangkuan Wan Che. Tak terus menghilang macam ni.” Aksa tenang meluahkan bicara itu dari hatinya yang paling dalam dan tulus. Dia hanya mahu mereka pulang kepada keluarga. Tidak pergi seperti dahulu. Menghilang jauh meninggalkan keluarga. Dan terutama sekali Che Aminah.

Rashad turut memerhati dinding masjid yang berwarna putih itu. Tulisan kaligrafi ayat-ayat al-Quran yang indah.

“Kalau dia muncul di depan kau nanti, kau rasa kau akan kenal dia? Cam dia tak?”

Soalan yang agak lain dari Rashad. Selepas berbelas tahun. Mungkin Aksa akan mengenali dan mungkin juga tidak mengenali gadis itu. Namun hati Aksa tetap kuat mengatakan yang dia akan mengecam wajah itu dengan pandangan pertama. Aksa percaya pada kata hatinya.

“Insya-Allah. If she’s really coming backI will know her at first glance.” Aksa tenang menyebut kata-kata itu. Dia yakin dengan apa yang diucapkan oleh bibirnya. Mata Aksa kembali terang dan bersinar.

Dia akan kembali. Intuisi hatinya kuat mengatakannya. Kalisha akan pulang! Walaupun tak bersama keluarganya, gadis itu akan pulang ke pangkuan mereka sekeluarga.

Rasa letih dan penat yang sedari tadi meneman juga kian menghilang. Rasa di dadanya mula berkobar-kobar. Aksa akan menunggu untuk gadis itu kembali dan membetulkan semula kesilapan dan kesalahan mereka kepada keluarga gadis itu.

“Insya-Allah, Aksa! Aku pun yakin yang dia akan balik ke sini.” Rashad menepuk bahu Aksa lembut. Turut memberi semangat kepada lelaki itu.

Dia yang pernah pergi, akan pulang!

AKSARA LUKAWhere stories live. Discover now