BAB 02

6 0 0
                                    

ALUNAN lagu yang perlahan keluar dari corong radio itu tidak menarik minat Sara untuk menikmati. Iris matanya jauh meneroka ke sisi jalan di tepi. Bangunan-bangunan tinggi yang mencakar langit itu dipandang sepi. Mereka bertiga tidak berbual seperti selalu. Fathea juga kelihatannya memahami dirinya yang tidak mahu banyak bercakap dan bersuara.

Begitu juga dengan Nasrin.

Lelaki yang datang selepas ayahnya. Abang kepada Fathea itu menjadi salah seorang manusia yang banyak membantu dan selalu ada ketika dirinya dalam keadaan susah dan senang. Mengenali keluarga Puan Noreen adalah satu rahmat buat Sara dan Puan Nafisah. Setelah tinggal mereka berdua selepas kematian Encik Saifuddin.

Dan kini, Puan Nafisah juga pergi meninggalkan dia. Untuk waktu ini, Sara hanya ada mereka sekeluarga. Air mata yang ingin menitis cuba ditahan buat sekian kalinya. Dia tidak mahu terus menangis.

“Sara,” Nasrin yang memanggil lembut itu memalingkan pandangannya ke wajah Nasrin yang sedang memandu di tepi. Wajah berkumis nipis itu memandang dia sekejap sebelum kembali dengan pemanduan di hadapan.

Kereta-kereta yang banyak di antara mereka. Di mana masing-masing dengan tujuan dan perjalanan mereka. Antara laju dan perlahan.

“Nas.”

“Saya bawa awak makan malam dahulu. Nanti kita balik rumah awak boleh?” aju Nasrin, menanyakan dia terlebih dahulu. Meminta keizinan dari dia.

Sebenarnya, sejak beberapa hari ini Sara kehilangan nafsu dan selera makannya. Dia hanya sekadar makan untuk bertenaga. Sungguh tiada selera untuk benar-benar menjamah dan menikmati makanan. Semuanya yang dimakan oleh dia seakan menjadi tawar dan tidak berperasa. Tiada nikmat.

“Saya tak lapar, Nas. Rasa macam nak balik rumah terus.” Cuba menolak. Dia tidak mahu singgah ke mana-mana sebenarnya kalau boleh.

“Sara, janganlah macam ni. Sejak beberapa hari ni, awak tak benar-benar makan dan jaga diri awak. Saya risaukan awak, Sara.” Suara Nasrin kedengaran mengambil berat dan cuba memujuk.
Nasrin betul-betul merisaukan gadis di tepinya. Dari hari pertama sehinggalah hari ini selepas kematian Puan Nafisah, gadis itu benar-benar nampak tidak berdaya dan lemah. Jasad itu sudah seperti hilang separuh nyawa.

“Saya memang tak ada selera, Nas.”

“Kalau awak makan sedikit pun tak apa, Sara. Saya cuma nak tengok awak makan dan kembali macam dulu. Kita pergi makan sekejap ya.”

Nasrin tidak berputus asa.

“Betul cakap Abang Nas tu, Sara. Kau patut jaga diri. Kami risau tengok keadaan kau macam ni. Sudah berapa hari kau tak jamah nasi.”

Begitu juga Fathea yang berada di belakang. Gadis itu turut menyokong rancangan abangnya, Nasrin. Dia mahu Sara kembali seperti dahulu. Fathea tahu melalui proses kehilangan seperti Sara itu tidak mudah, tetapi hidup harus tetap berjalan.

Jalan harus tetap ditempuhi. Sesakit, sesukar dan sepahit mana pun.

“Janganlah risau! Aku tak ada apa-apa, Thea. Saya okey, Nas. Jangan risau sangat.”

Bibir cuba tersenyum. Cuba untuk mengambil hati dan menghilangkan kerisauan dua beradik itu. Wajah Fathea di belakang dipandang sekejap sebelum kembali ke sisinya. Mahu kedua-duanya tahu bahawasanya, dia benar-benar okey.

Kereta milik Nasrin berhenti di salah satu lampu isyarat. Nasrin kembali memandang wajah dia lama. Masih dengan riak penuh perhatian.

“Sudah tentu saya risau, Sara! Dah jangan nak menolak lagi. Saya dah janji dengan umi, saya akan bawa awak makan terlebih dahulu sebelum balik rumah. Saya dah tempah restoran kesukaan awak,” beritahu Nasrin sebelum sempat Sara menolak.

AKSARA LUKAWhere stories live. Discover now