BAB 04

2 0 0
                                    

KETIGA-TIGA manusia itu memandang dia dengan wajah yang jelas terkejut. Pulang dari tempat kerja petang tadi, dia terus ke rumah Puan Noreen. Mereka semua sedang berada di ruang tamu. Bunyi suara di televisyen tidak lagi menjadi tujuan. Sekarang ini tiga pasang mata tertumpu kepada dirinya.

Dia, Sara masih berlagak tenang di situ.

“Sara dah buat keputusan betul-betul ke ni?” tanya Puan Noreen.

Dia angguk perlahan.

“Serius Sara?”

Fathea yang berada di tepinya seakan masih tidak percaya dengan perkhabaran yang baru disampaikan olehnya sebentar tadi.

“Ya, Thea. Maaf sebab tak beritahu kau awal-awal. Sebenarnya, aku dah mohon jawatan kosong tu lama. Ingat tak temuduga yang aku cakap dengan kau di Terengganu tu?”

Fathea angguk. “Aku ingat, tapi tak sangka kau betul-betul pergi temuduga tu. Dapat pula tu!”

Sara pun sebenarnya tak sangka. Namun, memang sudah rezeki dia dipermudahkan oleh Tuhan dan dia ada tujuan untuk pulang ke sana.

“Tapi tempat tu jauh dari kami, Sara.”
Setelah lama bungkam, suara Nasrin kedengaran. Lama anak mata lelaki itu memandangnya tak beralih. Raut wajah Nasrin mula berubah.

Padahal baru semalam mereka berdua bercakap di telefon. Dan gadis itu tak menceritakan kepada dia apa-apa pun tentang hal ini.

“Betul kata Nas tu, Sara. Terengganu jauh dari KL. Sara dah fikir betul-betul dengan keputusan Sara?” Sekali lagi Puan Noreen bertanya, mengambil berat.

Sungguh! Sara pula yang menjadi serba salah dengan tiga beranak itu. Bukannya Sara mengambil keputusan tidak memikirkan mereka atau diri sendiri, tetapi dia tidak mahu terus menyusahkan keluarga itu.

Air liurnya ditelan kesat.

“Maafkan Sara sebab baru beritahu tentang keputusan Sara. Sara pun rasa semua benda ni tiba-tiba.” Liur ditelan seketika. “Tapi umi, Thea dan Nas jangan risau. Sara dah fikir betul-betul. Sara tahu Terengganu jauh dari… tapi,” dia menghentikan bicaranya seketika.

“Tetapi?” Laju pula Nasrin mencantas.

“Tetapi Sara nak balik ke kampung kelahiran arwah ayah.”

Semua mata kembali tertumpu kepada dirinya. Jelas nampak semuanya terkejut dengan apa yang baru diberitahu. Ya, memang selama ini mereka semua tidak pernah tahu tentang asal usul tempat kelahiran arwah Encik Saifuddin.

“Sara ada saudara mara atau keluarga di sana?”
Puan Noreen bertanya sekali lagi. Pasti selama ini arwah Puan Nafisah tidak pernah menceritakan tentang asal ayah dia dan keluarga mereka kepada wanita itu. Malah sepanjang waktu itu pun, mereka sekeluarga tidak pernah pulang ke kampung sekepas Che Aminah menghalau mereka waktu itu.

Sara tidak mengangguk. Dia masih mengingati peristiwa pahit itu. Wanita itu sudah membuang mereka sekeluarga dari hidupnya.

“Ada, tapi kami tak rapat pun.” Hanya itu yang diberitahu.

Selebihnya biarlah menjadi rahsianya seorang. Tentang rancangan dia untuk kembali ke sana atas tujuan apa, juga Sara tidak ceritakan kepada mereka bertiga. Sara mahu melunaskan semuanya yang terpenjara dalam hatinya sendiri.

“Habis tu Sara nak tinggal dengan siapa di sana nanti? Umi risaukan Sara.” Masih Puan Noreen tidak puas hati.

“Jangan risau, umi. Sara akan tinggal dengan keluarga Sara. Sara yakin mereka akan terima Sara. Insya-Allah, mungkin ini lebih baik untuk Sara,” pujuk dia sekali lagi.

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Feb 20 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

AKSARA LUKAWhere stories live. Discover now