BAB 3 (NEW EDITION)

843 24 1
                                    

"TAHNIAH encik. Berdasarkan pemeriksaan sebentar tadi, isteri encik telah disahkan hamil dua bulan," ujar doktor wanita yang merawat Hamidah. Riak wajah Hussein berubah ceria dan kelihatan amat bahagia mendengar keputusan pemeriksaan tersebut. Dia memandang isterinya dengan gembira.

"Alhamdulillah. Betul ke, doktor?" Hussein meminta kepastian sekali lagi. Dia seperti tidak percaya dengan berita gembira yang baru sahaja didengarinya tadi walau sudah pasti jelas itulah kenyataannya.

Perlahan Hamidah menghampiri suaminya dan duduk di samping Hussein. Berbeza dengan suaminya, wajah Hamidah tidak beriak. Seolah-olah berita gembira ini tidak menyentuh hatinya.

"Saya nasihatkan puan untuk jaga kandungan dengan baik. Jaga makan, jaga diri... Setiap bulan jangan lupa datang check-up kandungan."

Hanya anggukan kepala sebagai jawapan mengiyakan nasihat doktor tersebut. Hamidah benar-benar seperti tidak berperasaan ketika ini.

"Kalau macam itu, terima kasih doktor."

"Sama-sama."

Mereka berdua keluar dari bilik rawatan. Wajah Hussein yang ceria tadi masih tidak berubah. Dia sungguh bersyukur dengan kurniaan Allah ini untuknya dan keluarganya sebagai penambah seri dalam kehidupan mereka. Ternyata masih ada lagi rezeki cahaya mata buat mereka.

"Midah, abang rasa gembira sangat dengar Midah mengandung lagi. Ya Allah, bahagianya abang rasa." Hussein mengukir senyuman paling manis. Senyuman seperti itu kelihatan benar-benar ikhlas dan kerana keikhlasan tersebut, perkara itu membuatkan Hamidah lebih serba-salah.

"Kenapa sayang abang ini? Muka masam aje daripada tadi. Sakit lagi, ke?"

"Abang..."

"Ya?"

"Midah tak rasa Midah bersedia dengan semua ini."

Hussein tersentak dengan kata-kata isterinya.

"Apa maksud, Midah?"

"Midah... Midah cuma rasa belum sampai masa yang sesuai untuk ini. Midah takut."

"Ya Allah, Midah... Bawa mengucap. Rezeki Allah ini. Apa Midah cakap?"

Hamidah menundukkan kepalanya. Perasaan serba-salahnya semakin mendalam. Dia tahu kata-katanya itu seperti menolak rezeki, tetapi apa gunanya jika menipu diri seakan bahagia jika dia takut menderita?

"Midah... Abang faham perasaan Midah tapi abang janji, kali ini semua perkara itu tak akan lagi berulang. Abang janji, Midah. Percayalah dengan janji abang." Hussein menabur janji terhadap isterinya supaya isterinya dapat menerima dengan hati yang lebih terbuka dan berasa lebih tenteram.

"Abang..."

"Dengar sini, Midah. Abang akan kotakan janji abang dan abang akan sentiasa menjaga Midah. Jangan dirisaukan sangat. Terkesan pula pada kandungannya nanti."

Mahu tidak mahu, Hamidah hanya akur sebagai seorang isteri. Dia tidak mahu menghampakan suaminya hanya kerana traumanya pada masa silam. Kebahagiaan ini tidak boleh dihancurkan hanya gara-gara perkara itu. Mungkin, ini adalah pemberian untuknya bagi menggantikan yang telah pergi.

Ya Allah, kuatkanlah hati hamba dan teguhkanlah hati hamba untuk keputusan hamba menyimpan kandungan ini.

"MACAM mana, Hussein? Doktor cakap apa tadi?" tanya Zainun sejurus anak dan menantunya pulang daripada klinik. Azyah yang baru pulang dari sekolah terus meluru ke ibunya itu lalu memeluknya.

"Ibu pergi klinik, ke? Ibu sakit apa?" tanya Azyah risau dengan keadaan ibunya. Hamidah hanya tersenyum tanpa menjawab soalan anaknya.

"Azyah, Rayyan... Ayah nak tanya sesuatu ini."

TATKALA CINTA TERUJIWhere stories live. Discover now