FILE 01

305 13 0
                                    


RADHI

Rintik-rintik hujan yang jatuh dari atas langit, kelihatan seperti sedang menari-nari di atas lantai bumi. Nyaman dan damai. Namun pandangan mata yang menangkap dua jasad yang sedang berdiri di hadapan pagar rumah dengan payung yang dipegang pada tangan masing-masing, membuatkan jantung yang berada di dalam tubuh saat ini, mulai bertukar rentak. Terasa ingin sahaja seketul daging itu keluar dari tubuh dan cuba bersembunyi di ruangan yang paling sukar untuk ditemui. Sebabnya, aku tahu, sebentar lagi, aku akan terima 'ganjaran' dari ibu Keena. Sama ada aku yang berada di pihak yang benar ataupun salah, aku tetap akan menerima hukuman!

Kadang-kala aku merasakan takdir begitu kejam padaku!

"Larilah Radhi. Bersembunyi je kat mana-mana!" suara itu menyapa gegendang telinga. Apabila aku berpaling ke belakang, kelihatan Kim sedang duduk di tangga dengan memberikan pandangan yang kosong.

Aku berkenalan dengan Kim, sewaktu aku berada di taman permainan beberapa bulan yang lalu. Detik itu, aku sedang duduk di bangku taman permainan bersendirian tanpa ada sesiapa yang ingin bermain denganku. Mereka kata aku pelik. Padahal, aku hanya seorang budak biasa yang perlu dilayan seperti yang lain. Kim yang baru datang lalu duduk bersamaku petang itu, menguntumkan senyuman ke arahku apabila aku pandang ke wajahnya yang kelihatan comot. Aku tahu saat itu, dia memang sangat berbeza dari yang lain. Dan mengenalinya, membuatkan aku rasa bahawa dunia kegembiraan sebenarnya memang wujud. Dia buat aku rasa dihargai. Dia selalu ajak aku buat sesuatu yang menyeronokkan, menggembara ke alam fantasi ciptaan kami sendiri dan bergelak-tawa. Aku mula selesa berkawan dengan Kim sehinggakan aku cuba untuk memujuk papa agar membenarkan Kim untuk tinggal bersama kami. Aku kasihan pada Kim kerana katanya dia hanya tinggal seorang diri di hujung taman perumahan ini. Tapi apabila aku cuba memperkenalkan Kim pada papa dan ibu Keena, riak wajah mereka berubah serta-merta. Papa dan ibu Keena kata, aku sedang bergurau dan buat mereka berdua rasa seperti orang yang bodoh. Aku tak pasti kenapa mereka berkata sebegitu. Dan detik itu juga, ibu Keena mencubit pipiku dengan kuat walaupun papa masih berada di hadapanku dan Kim.

"Aku takutlah Kim. Kalau aku bersembunyi, lagilah ibu Keena tambah marah. Aku tak berani..." tuturku perlahan kepadanya. Tubuhku mulai menggigil dengan kuat. Tangan kanan dan kiriku tergenggam sesama sendiri. Diri semakin gelabah. Kepala otak langsung tidak mampu untuk berfikir.

"Kemon Adi! Sembunyi je lah," ujar Kim. "Nak aku tolong tak? Aku boleh carikan tempat yang paling tersorok kalau kau nak lari dari nenek sihir tu," sambungnya lagi. Aku pandang lama ke arahnya.

Aku menarik nafas panjang. Apabila aku buang pandangan ke luar rumah, masih lagi ibu Keena dan makcik Timah khusyuk dengan perbualan mereka yang kadang-kala diikuti dengan gelak kecil sebagai tempelan untuk menceriakan komunikasi mereka. Namun apabila aku menoleh semula ke arah Kim, kelibatnya sudah tidak kelihatan. Seperti biasa, Kim memang suka lesap tiba-tiba dan muncul dengan sesuka hatinya.

"Nak aku tolong tak?" aku terkejut dengan sapaan yang diberikannya dari belakangku. Tidak pun aku sedar bila dia duduk di sofa yang berada di belakangku bersama dengan patung superhero Batman yang papa belikan dua bulan lepas.

"Nak..." jawabku dengan nada yang lemah.

Dia bangkit dan menarik tanganku. Baru sahaja aku mula melangkah mengikuti langkahan Kim, teriakan ibu Keena dari luar rumah membuatkan aku terkaku di posisi yang sama. Pegangannya yang kejap tadi, hilang dengan semerta. Keluhan lemah terlepas di bibir. Hanya bisik-bisik lemah yang mampu aku tuturkan kepada sang Tuhan agar Malaikat membawa terus doa-doa yang aku titip ke atas langit dan diperkenankan oleh Yang Maha Berkuasa.

RADHI (Teaser)Where stories live. Discover now