FILE 02

148 4 0
                                    


 RADHI

Apabila daun pintu bilik dikuak, semerta bau makanan dari ruang makan mencucuk rongga hidung. Lantas membuatkan perut semakin memberontak. Beg yang melekat di bahu, aku perbetulkan sebelum melangkah ke dapur untuk membasahkan tekak yang terasa perit.

Aku pandang sekilas ke arah meja makan. Tiga beranak itu sedang khusyuk bersarapan bersama. Seperti biasa, si anak kesayangan akan makan seperti orang yang kebulur dan lagaknya juga seperti budak yang baru hendak belajar menjamah makanan apabila kelihatan butir-butir nasi bertaburan di atas meja di sekitarnya. Situasi itu sangat menjengkelkan. Ternyata makcik Keena dan suaminya itu gagal untuk mendidik anak kesayangan mereka. Apa yang pasti, lelaki yang duduk di meja makan itu, bukan papa! Sebab papa sudah lama hancur reput di dalam tanah.

"Tak nak sarapan dulu ke Adi?" sapa lelaki itu basa-basi.

Aku pandang sekilas ke arahnya. Terukir senyum sinis pada bibirnya. Mungkin baginya agak lucu apabila cuba mempelawa aku untuk makan bersama mereka sebentar tadi yang selama ini tidak pernah dilakukannya. Damn it! Lagipun, kalau aku terima pelawaannya untuk sarapan bersama, apa yang aku ingin makan setelah hampir semua pinggan di hadapan mereka telah kosong dan hanya tinggal sisa-sisa makanan sahaja. Ternyata, pelawaan itu sangat plastik!

"Jangan lupa duit sewa rumah ni. Kalau takde jugak, kau dah dengarkan apa yang aku pesan tadi? Rumah ni perlukan barang-barang keperluan dapur. Bukannya kita tak makan. Beras pun dah nak habis. Minyak, garam, gula, semuanya tinggal sikit. Bil elektrik pun belum bayar," tegur makcik Keena apabila aku sedang meneguk segelas air. Hampir saja aku tersedak apabila mendengar kata-kata wanita itu. Bukannya dia berpesan supaya aku agar berhati-hati di jalan raya agar petang nanti boleh bagi duit sewa yang dimintanya. Ataupun berpesan supaya makan sarapan dan lunch supaya tak mati kebulur sewaktu kat tempat kerja. Perempuan itu, memang menjengkelkan! Lagipun, duit sewa aku tu bukannya sampai rm1000 pun untuk dia tagih macam aku ni orang yang dia baru kenal!

Saat ini, hati betul-betul menyumpah makcik Keena yang kelihatan sedang mencicip air kopi dengan ekspresi yang sangat enak.

Usop, anak kedua-dua bangsat itu, kelihatan sedang tersandar kekenyangan pada kerusi. Matanya memandang ke arahku dengan bibirnya mengulaskan senyuman lebar sebelum menjelir lidah ke arahku. Perutnya yang kelihatan boroi itu, seperti ingin saja aku rodok dengan sebilah pisau. Biar makanan itu semua keluar meloloskan diri dari perut budak useless macam Usop! Sendawa kuat beberapa kali yang sengaja didengarkan kepadaku, menambahkan lagi rasa sakit hati untuk melenyapkannya dari dunia ini.

"Kau dengar tak apa aku cakap?" ujar makcik Keena lagi dengan suaranya yang semakin meninggi. Namun aku hanya lalu di tepi mereka dan terus keluar dari rumah neraka ini. Banyak carutan yang keluar dari mulut nenek sihir itu lagi apabila aku tidak melayannya. Tapi apa yang aku perlu kisah dengan mulut perempuan macam dia? Lali!

***

Skrin telefon Nokia zaman kuno, aku pandang sekilas. Manusia yang aku tunggu, belum menampakkan lagi kelibatnya. Lalu, aku melabuhkan punggung pada kerusi di taman permainan. Penduduk di taman perumahan ini kelihatan bertebaran di merata tempat. Ada yang sedang berekreasi, tidak kurang juga yang bergerak laju untuk mencari destinasi diri. Kereta tidak putus-putus melalui jalan di hadapan taman. Sang gagak yang bertenggek di atas dahan pokok pula, saling bersahut-sahutan sesama mereka.

Tidak jauh dari tempatku melabuhkan punggung, kelihatan seorang lelaki yang sedang duduk bersama anak lelakinya. Kelihatan mereka gembira menikmati nasi lemak bungkus bersama. Mengingatkan aku pada papa yang punya tabiat sama seperti lelaki itu. Suka membungkus makanan di waktu pagi dan makan di taman berdekatan. Kata papa, dia tidak mahu menyusahkan bini barunya itu.

Sepasang tangan melekat pada wajahku. Tangannya menutup kedua belah mataku. Bertaburan layar minda di ruangan sekitar. Bau minyak wangi yang menyapa hidung, sudah menjelaskan siapa pemilik tubuh itu. Tangan halus itu aku pegang dengan rapi tapi perlahan-lahan dia melepaskan semula tanganku lalu mengusap wajahku yang ditumbuhi dengan jambang nipis.

"Morning darling..." ucapnya manja. Dia duduk di sebelahku lalu mengucup bibirku dengan manja. Aku tidak tahu apa ekspresi yang patut aku berikan untuk gadis ini detik ini.

Nasi lemak dan teh ais yang berada di dalam plastik, aku hulurkan kepadanya. Pantas saja dia menguntumkan senyuman lebar.

"Makanlah. Aku dah makan tadi kat warung hujung taman," tuturku dengan nada yang datar.

"Hurmm, tenkiu bebeh!" balasnya dengan suara terharu.

Sofea. Gadis yang biasa-biasa sahaja pada pandanganku. Bukanlah seorang gadis melayu yang menjadi pujaan ramai. Dia gadis yang sempoi, seksi dan punya kehidupan sosial yang bagiku sangat menyesakkan hidup. Kerjanya setiap hari, adalah harus berjumpa dengan orang ramai untuk mempromosi barang jualan kompeninya. Dan sampai sekarang aku masih tidak tahu sama ada aku mencintai gadis ini. Tapi, itu tidaklah merunsingkan hidup ini. Sebab aku tahu, cinta boleh dipupuk perlahan-lahan. Tidak perlu gelabah. Ada jodoh takkan ke mana.

Tapi apa yang pasti, aku mula selesa dengannya. Hampir setiap hari, kami akan berjumpa untuk dinner dan yang paling penting, akan cari port – bukan di rumah makcik Keena dan rumah sewanya, untuk kami melampiaskan nafsu masing-masing yang sedang terpendam. Katanya, dia suka bagaimana aku melayannya ketika di ranjang. Dia puas. Entah, aku pun tidak ingat apa yang aku lakukan kepadanya sewaktu momen itu sedang berlaku.

"Ada tak bawa duit tu Fea?" tanyaku kepada Sofea yang sedang cuba membuka ikatan tali pada plastik teh ais di tangannya. Perlahan dia mengangkat mukanya lalu mata kami bertembung buat seketika.

"Aku suka pandangan mata kau Adi. Pandangan itu yang buat hati aku cair. Melihat anak matamu yang berwarna hazel tu, buat jantungku berdegup laju..." balasnya. Lain yang aku tanya, lain yang dia tuturkan. Aku melepaskan nafas berat.

"Sofea..." nafas terhembus lemah.

"Owhh, sorry, sorry. Mestilah ada bawa. Kan encik hubby dah pesan yang dia nak pinjam duit. Takkanlah kekasih dia tak boleh nak tolong. Kan..." tutur Sofea dengan suaranya yang manja. Duit dari dalam purse-nya, dia keluarkan lalu dihulurkan kepadaku. Aku senyum nipis dan mengucup dahinya. Perbuatan itu sangat spontan.

"Nanti bila aku dah gaji, aku bayar balik ya..." dia angguk perlahan dan menghirup teh ais. Subang yang melekat pada hidungnya, menjadi tumpuan mataku.

"Aku tak suka subang yang melekat kat hidung kau tu Fea. Aku nampak kau macam kerbau..." dia tergelak kecil seraya membuka subang tersebut lalu dibaling ke dalam longkang.

"Macam ni dah tak macam kerbau ke?" dia cuba berseloroh.

"Macam tu, dah ok. Dah macam kekasih aku yang baru bangun dari tidur. Mukanya yang comot dengan liur basi yang melekat kat tepi bibirnya, buat aku kenal siapa yang berada di tepiku sekarang ni..." balasku. Laju dia tergelak dan memukul bahuku manja.

"Adi, kenapa tak nak pindah kat bilik sewa Fea je? Kan lagi senang..." Sofea mengangkat keningnya berulang-kali. Mungkin dia merasakan, cadangannya itu agak bernas. Aku tarik nafas panjang.

"Tak manislah sayang bila housemate Fea tengok nanti. Dorang pun ada kapel jugak. Tapi takdelah sampai nak stay sesama kan?" balasku untuk pertanyaan sang gadis itu.

Dia hanya angguk kepala dan menunjukkan ekspresi muka yang dia sangat bangga dapat pasangan seperti aku. Mampu berfikir sesuatu perihal dengan matang (kata Sofea suatu ketika dulu).

"Jom," tuturku lagi.

"Tapi aku tak makan lagi..." muncungnya memanjang.

"Ala, makanlah kat rumah nanti. Fea kan kerja lewat hari ni? Aku dah lewat nak pergi kerja ni sayang oii..." balasku seraya menarik tangannya.

"Yalah... yalah..." dia akur.

Kami berdua naik motor lama milikku dan aku hantar dia ke depan pintu pagar rumahnya. Dia masuk ke rumahnya dengan lenggang-lenggok yang sangat menggoda. Seluar pendek yang dipakainya membuatkan nafsu yang satu ini menguasai sembilan akal yang sedia ada.

RADHI (Teaser)Where stories live. Discover now