FILE 03

91 3 0
                                    



RADHI

"Radhi..." panggil bos Leong yang sedang duduk mengira duit dari cash drawer. Aku menoleh sejenak ke arahnya. Namun dia kembali fokus melakukan kerjanya semula. Membiarkan aku terkulat-kulat lama memandang ke arahnya. Entah, perangai orang tua cina itu kadang-kala agak menyakitkan hati.

Sisa-sisa ais di atas meja, aku masukkan ke dalam baldi. Baki potongan daging yang berada di atas meja sebentar tadi, semuanya sudah selesai dimasukkan ke dalam fridge. Waktu operasi kedai ini, bakal berakhir sebentar lagi.

Malam ini, hanya aku seorang diri yang membersihkan depan kedai ini. Dean, awal-awal lagi sudah lesap. Aku sudah lali dengan perangainya itu.

"Radhi!" suara bos Leong memecahkan suasana yang agak sunyi. Nafas terhembus berat. Konsentrasi serentak bertaburan di udara.

"Ada apa bos?"

"You talak dengarkah saya panggil sama you tadi?" tanyanya dengan muka yang bengis. Orang tua ni, dah buat perangai lagi. Semalam bukan main lagi cakap kerja aku yang paling tip-top kat dalam kedai ni!

"Saya dengarlah bos. Tapi bos yang diam tak cakap apa-apa pun..." balasku datar. Aku meneruskan pekerjaan yang aku lakukan. Penat mulai merajai tubuh. Peluh juga semakin deras membasahi tubuh.

"Aiyakk, you ni ah Radhi, kalau menjawab memang nombol satu. Sekalang ini, siapa yang bos di sini? You jangan mahu kulang ajar ah sama saya..." balasnya dengan slang bahasa melayu yang buat aku rasa nak lempar saja dengan sisa ais daging ini ke mukanya!

Aku mengeluh lemah. Malas hendak melayan karenah bos Leong. Aku tahu kalau aku jawab lagi akan tuturnya, pasti situasi ini akan berlanjutan.

"Sorry bos."

"Hurmm... Hali ni, you overtime sama Harry ok. Itu daging yang baru sampai, masih banyak lagi yang belum kena potong..." aku diam mendengar arahan yang menjengah ke dalam gegendang telinga. "Kunci, saya simpan kat dalam drawer ini..." walaupun aku tahu badanku kini sudah terlalu penat, tapi arahan itu harus dipatuhi.

Mendengar nama Harry, membuatkan aku mengeluh lemah. Aku paling tak suka buat kerja bersama Harry. Pandangan matanya kepadaku, penuh dengan makna. Senyumannya juga sedikit menakutkan. Pernah suatu hari, dia memukul lembut punggungku apabila dia lalu di tepiku. Maka detik itu, bermacam andaian yang bermain di dalam benak minda mengenai lelaki itu. Tapi semua andaian itu, aku cuba ketepikan. Mungkin, itu saja caranya untuk bermesra dengan aku yang memang jarang berbual dengan mereka. Lagipun, takkan, lelaki macho- berbadan sado- selalu ke hulur-hilir dengan perempuan seksi, adalah lelaki yang...

Ugh!

"Selamat ber-overtime Adi! Moga kau gembira dengan Harry kat belakang nanti..." bahuku ditepuk dengan kuat oleh Leman yang baru ingin pulang. Kamal pula memberikan satu senyuman senget kepadaku. Mereka berdua bergerak ke arah pintu utama. Pintu yang ditolak kasar, membuatkan loceng yang berada di tengah pintu itu, berdenting dengan kuat. Encik Leong juga sudah hilang dari dalam ruangan kedai. Apa maksud mamat tu dengan perkataan gembira yang diucapkannya tadi?

***

Bunyi mesin pemotong daging, terus bergema di dalam ruangan bilik ini. Masih ada beberapa ekor lembu lagi yang harus dipotong ke bahagian kecil. Sedari tadi, Harry hanya terus duduk di atas baldi yang diterbalikkan bersama rokok yang terus disedut masuk ke dalam peparunya. Matanya kerap kali mengerling ke arahku.

RADHI (Teaser)Where stories live. Discover now