TDLM - bab 15

13.6K 634 2
                                    

Lauk ayam masak merah yang baru sahaja masak dipindahkan masuk ke dalam pinggan kaca jernih. Kasyaf yang berada di meja makan membantu Medina dengan menuangkan air oren ke dalam gelas, hanya makan ala kadar.

Iman yang sedang menuruni anak tangga diperhati sehingga akhirnya menarik kerusi kosong di meja makan dengan muka yang kosong.

"Dhiya dah makan?" sepatutnya tengahari ini dia dan Kasyaf pulang ke Kuala Lumpur tapi disebabkan kejadian yang berlaku hari ini, terpaksa mereka tangguh niat itu kepada esok. Keadaan Dhiya masih belum stabil.

Persandingan mereka berbaki 2 hari lagi tapi Medina langsung tiada keterujaan untuk bersanding. Ingin sahaja dia tangguh tapi semua persediaan sudah hampir siap sepenuhnya.

Itu pun tadi Dhiya tidak mahu dihantar ke hospital. Katanya dia baik-baik sahaja dan ingin berehat di rumah. Mereka malas mahu paksa-paksa.

"Dah, tapi tak habis. Dia kata nanti dia habiskan." Iman hanya menyenduk sedikit nasi ke dalam pinggan. Hari ini dia penat dan tidak mempunyai selera untuk makan.

"Sekarang dia tengah buat apa?" Medina tanya lagi. Tadi dia dan Kasyaf sibuk membeli barang dapur untuk memasak jadi mereka tidak sempat menjenguk keadaan Dhiya sejak dari petang tadi.

"Berehat. Lepas isyak tadi dia terus tidur."

Suasana di meja makan sunyi. Hanya bunyi perlanggaran di antara pinggan dan gelas kaca memecahkan kesunyian di antara mereka.

"Tahlil buat ke?" saja Kasyaf tanya, suasana di meja makan agak kekok saat ini.

Kepala yang dari tadi menunduk sahaja diangkat. "Pak su kata buat, tapi buat dekat masjid je." Tadi pak su ada memberitahu Iman akan niatnya memandangkan jika buat di rumah, banyak kerja yang perlu dibuat. Jika buat di masjid, ada orang masjid yang akan tolong.

Kasyaf hanya angguk faham, sekali lagi meja makan menjadi sunyi.

Pinggan yang tidak licin dengan separuh nasi masih berbaki ditolak ke tepi. Iman bangun dari duduk dan membawa pinggan itu ke sinki untuk dibasuh.

"Dina, Kasyaf, maad tau tapi aku rasa aku tak pergi majlis sanding korang. Sorry-" pinggan yang sudah dicuci tadi disusun pada rak.

Iman kembali ke meja makan. Air oren tadi diteguk untuk menghilangkan dahaga. "Sebab aku rasa aku nak duduk sini sehari dua. Dhiya belum okay, so aku tak yakin untuk tinggalkan dia." Satu helaan nafas panjang dilepaskan.

Diam sahaja Medina pandang Iman. Jujur dia agak kecewa, hari itu sepatutnya menjadi hari bahagia mereka kerana dapat berkumpul setelah sekian lama.

Tapi siapa dia untuk menidakkan perkara yang berlaku. Medina perlu faham keadaan Dhiya sekarang. "It's okay, aku faham." Senyuman palsu diukir.

Apabila Iman bangun dari duduk untuk membasuh gelas, segera Medina halang. "Tak apa, biar je. Aku basuh." Medina bangun dan ambil pinggan lauk pauk yang sudah kosong ke sinki yang bersebelahan dengan kerusinya.

"Sikit je ni. Gelas je pun."

"Tak apa, alang-alang."

"Thank you."

"Welcome." Medina mula basuh satu persatu cawan dan gelas.

Kerusi ditolak masuk ke dalam meja. "Aku naik dulu tau. Nak rehat, penat."

"Okay."

APABILA Iman memberitahu Dhiya tidak berada di bilik dan mungkin berada di balkoni, Medina berjalan ke sana. Angin malam dingin menerbang masuk langsir putih kerana pintu sliding yang tidak ditutup.

[C] Tertulis Di Luh MahfuzWhere stories live. Discover now