4 | Henry

2.9K 542 93
                                    


Seperti yang dijanjikan, Henry menuju pejabat forensik setelah solat asar. Dia sampai di pejabat itu jam 5.45 petang, agak lewat daripada waktu yang dia janjikan dengan Wasim. Jalan terlalu sesak di petang begini.

Wasim sudah menunggunya di perkarangan pejabat forensik ketika dia tiba. Mereka sama-sama masuk ke dalam menuju aras empat, di sana mayat Wahid dan Wati sedang dibedah siasat. Pastinya barang-barang berkaitan kes ini juga terdapat di sana.

"Saya tak tahu nak jelaskan bagaimana melalui telefon, tuan. Saya rasa tuan memang kena tengok sendiri semua yang kami temui ini." Wasim bersuara ketika mereka di dalam lift.

"Ada bahan bukti?" Soal Henry. Sehingga sekarang Wasim belum jelaskan apa yang ditemui dan di mana perkara itu ditemui.

"Saya pun tidak tahu nak panggil barang-barang itu sebagai bahan bukti atau tidak, tuan. Tapi yang pasti semua itu ditemui bersama Wahid. Disimen bersama-sama. Mula-mula kami cuma bongkarkan simen sekitar Wahid, tapi pihak bomba dapati ada banyak barang di dasar kolah itu yang turut disimen sama. Mereka yakin itu bahan bukti yang disembunyikan. Jadi mereka bongkarkannya selepas mayat Wahid dipindahkan, dan ya memang banyak barang di situ yang ditanam bersama."

Henry terdiam mendengar penjelasan itu. Mereka sudah sampai di bilik bedah siasat unit 304. Beberapa pegawai di situ mengangkat tabik sebaik berselisih dengan Henry.

Sebaik pintu dibuka, mereka dapat lihat beberapa pegawai forensik sedang berbincang di sebuah meja. Salah seorang mereka ialah Dr Zain, pegawai perubatan forensik yang bertugas di bawah unit 304. Henry sangat mengenali lelaki itu.

"Kapten." Dr Zain menyapa Henry. Terus pegawai forensik lain turut memandang Henry yang baru tiba.

"Jom masuk dalam. Banyak benda aku nak tunjuk." Dr Zain hela nafas berat.

.
.
.

Terdiam Henry melihat semua bahan bukti di atas meja. Bukan sedikit. Ianya dalam jumlah yang banyak. Mengikut bilangan nombor yang ada, sudah mencapai 50 lebih barang di sini. Dan semua bahan bukti itu benar-benar tiada kaitan dengan cara pembunuhan jauh sekali gudang lembu!

Henry memejam mata pening. Patutlah Wasim kata dia sendiri perlu lihat semua ini. Memang tak boleh diceritakan kepada siapa-siapa. Laju saja lidah mahu beristighfar sebaik melihat bahan-bahan bukti yang terkumpul ini.

"Kami pun tak sangka, tuan." Wasim bersuara.

Memang tiada siapa akan sangka.

Ianya ialah barang-barang pemujaan khurafat yang entah dari mana datangnya.

Kemenyan. Kain berwarna kuning. Tempayan kecil yang menempatkan abu. Mancis. Uncang hitam berisi pasir sungai. Dan pelbagai lagi yang Henry sendiri tidak mengenalinya.

Paling menyakitkan di antara semua itu ialah halaman al-Quran yang dikoyak-koyak dengan sedikit tanda dibakar di hujungnya. Itu paling banyak dan paling kesal bila dilihat. Setakat apa Henry nampak, ada lebih 20 bahan bukti terdiri daripada halaman Quran yang dikoyak dan dibakar itu sahaja. Memang membangkitkan istighfar di lidah Henry sebaik melihatnya.

Tidak cukup Wati, Wahid dan lembu - kini bertambah lagi satu rantaian memeningkan iaitu bahan-bahan pemujaan khurafat!

"Wahid dibunuh bagaimana?" Henry bertanya selepas lama mendiamkan diri kebingungan melihat bahan-bahan bukti aneh ini.

"Ditanam hidup-hidup juga, tuan. Sama dengan cara kematian anaknya."

Henry melepas nafas. Bermakna pembunuhnya orang yang sama.

"Tiada tanda cedera pada badan Wahid mahupun Wati. Mereka cuma pengsan ketika ditanam hidup-hidup." Ujar Dr Zain, memeluk tubuh dalam bilik sejuk ini. Dia menyelidik dan membuat bedah siasat untuk kedua-dua beranak itu, memang pattern kematiannya sama. Kedua-duanya mati lemas kerana ditanam di dalam simen.

FALAH | Cinta AgungWhere stories live. Discover now