1 | Henry

4.2K 664 60
                                    





Kenderaannya berhenti betul-betul di depan kerumunan orang ramai yang berdiri hampir dengan pita kuning. Seperti kebiasaan orang awam, pastinya pita kuning yang terentang begitu menarik perhatian mereka. Apatah lagi beberapa buah kenderaan polis terlihat di luar flat murah ini menjelaskan lagi bahawa ada kes jenayah baru sahaja berlaku. Bukan kenderaan polis sahaja, jentera bomba juga ada melengkapkan lagi rasa ingin tahu orang kejiranan.

Henry keluar selepas mematikan enjin. Tag nama disangkut ke leher. Sekadar mengambil syarat untuk melepasi pita kuning bertulisan 'dilarang melintas' itu. Seorang polis muda dari jauh ternampak kelibatnya, langsung bergegas menghampirinya.

"Tuan," Polis muda itu mengangkat tabik hormat sebaik berdiri di hadapannya.

"Apa situasi terkini?" Henry mengunci pintu keretanya. Mereka kemudian sama-sama berjalan melepasi kerumunan ramai orang, pita kuning diangkat seorang pegawai polis di situ memudahkan langkah Henry.

"Dinding sudah berjaya dipecahkan sepenuhnya, tuan. Mayat kanak-kanak itu belum dikeluarkan lagi. Forensik sedang ambil bahan bukti." lapor polis muda yang mengiringi Henry itu. Lans Koperal Hazim namanya.

"Tiada cap jari ditemui, tuan. Darah kanak-kanak itu juga tidak ditemui di mana-mana. Menandakan kanak-kanak itu memang ditanam hidup-hidup."

Henry memanjat tangga bersama Hazim yang menyusulnya. Berselisih dengan mana-mana pegawai polis, semua langsung mengangkat tabik hormat.

"Siapa bertugas?"

"Inspektor Wasim, tuan." Beritahu Hazim.

Mereka tiba di aras tiga flat murah ini, tapak jenayah berlaku. Terlihat lebih ramai pegawai polis sedang membuat pemeriksaan di sekitar rumah bernombor 306 yang merupakan tempat ditemui mayat.

Henry menyambut huluran sarung tangan plastik dan kasut plastik dari salah seorang ahli forensik di situ. Ianya penting untuk tidak mencampur-adukkan bahan bukti. Selesai memakainya barulah Henry melangkah masuk ke dalam rumah bernombor 306 itu.

Hazim sudah berpergian ke bawah kembali, tidak mengiringi Henry masuk ke dalam kerana Inspektor Wasim akan mengambil alih kerja itu. Sekejap sahaja Inspektor Wasim muncul dari bilik utama rumah ini, lengkap bersarung tangan, bersarung kaki malah memakai topeng muka.

"Kapten," Inspektor Wasim menegur sang kapten yang kelihatannya baru masuk ke dalam rumah tapak jenayah ini.

"Bau cukup kuat." Henry memberi komen.

"Betul, tuan. Mayat sudah dibiarkan tiga bulan. Tak hairan sudah mereput dan membusuk." Beritahu Inspektor Wasim.

"Siapa yang sedar?"

"Penyewa baharu di rumah sebelah, tuan. Pasangan suami isteri, Encik Malik dan Puan Hajar. Mereka baru pindah ke rumah sebelah minggu lepas, tapi tiap malam mereka mengadu dengar tangisan budak kecil dari rumah ini. Disebabkan terlalu kerap bunyi itu kedengaran, mereka buat laporan polis untuk pecah masuk rumah ini." Inspektor Wasim diam sejenak mengambil nafas. Meremang juga bercerita tentang hal mistik begini.

Henry pula serius menanti cerita dihabiskan.

"Polis tempatan awalnya tidak ambil peduli sebab rumah ini kosong. Tiada hak untuk kita pecah masuk. Tapi semalam, Encik Malik tidak tahan sangat dengan tangisan budak kecil itu... Dia beritahu pemilik bangunan. Mereka masuk menggunakan kunci dan terus mendapati bau sangat busuk."

"Bagaimana tahu ada mayat dalam dinding?" Soal Henry, makin serius mendengar.

"Bila mereka bau busuk itu, mereka buat laporan kedua. Malam semalam unit 190 datang pantau keadaan. Bila bau tu terlalu kuat, mereka cuba cari punca. Mereka perasan, dinding bahagian bilik utama tebal berbanding dinding lain. Lagipula bau busuk itu datang dari situ. Unit 190 terus panggil bomba untuk pecahkan dinding dan... Itulah, ada mayat kanak-kanak di dalamnya." Inspektor Wasim hela nafas.

FALAH | Cinta AgungWhere stories live. Discover now