BAB 1

474 7 0
                                    

LAMPU neon dimatikan suisnya yang terletak bersebelahan dengan pintu bilik. Dalam kelam Mawar perlahan-lahan berjalan menuju ke arah katilnya di hujung almari pakaian yang sudah tidak berpintu.

Buk!

Mawar menghempaskan dirinya di atas katil beralaskan tilam nipis bercadarkan kain yang sudah luntur warnanya. Matanya terkebil-kebil di dalam gelap. Buat seketika dia memejamkan matanya. Terasa panas air mata menurun perlahan ke pipi. Sunyi. Dia berasa sunyi. Rumah ini sudah menjadi sunyi.

Tiada lagi bunyi batuk yang keluar dari kerongkong ibunya. Tiada lagi bunyi ibunya yang sedang mengerang kesakitan akibat kekejangan otot di bahagian kaki tuanya. Tiada lagi bunyi keriuk papan yang menjadi alas rumahnya akibat larian kecil Mawar sewaktu dia cuba mendapatkan ibunya yang termuntah di bilik sebelah.

Mawar memasukkan selimut ke dalam mulutnya lalu menjerit kuat.

"Arghhh!"

Mawar betul-betul tertekan saat ini. Dia kini sudah tidak mempunyai sesiapa. Hidupnya kosong.

"Ibu, kenapa ibu? Mawar takut ibu," rintih Mawar dengan air matanya yang semakin lasak membasahi sebahagian kecil selimut dan bantal tidurnya. Dia menangis semahunya sehingga terlelap bersama sisa tangisan yang semakin mengecil.


TIKA ini dia dapat merasakan seolah-olah waktu itu berjalan dengan perlahan. Melihat air sungai yang bergenang ditiup angin bersama keluh yang menyeksa dirinya. Menanti perahu yang bakal membawa diri ke sebuah tempat yang begitu asing baginya. Tiada pilihan yang perlu dia buat. Tiada pengiraan yang perlu dia selesaikan.

Di sana sahajalah yang dia akan berunding tentang masa hadapannya. Dia tidak pernah ke sana sebelum ini. Kali ini dia nekad membawa diri tanpa ibu di sisi membuatkan Mawar berasa sebak dan sepi. Air matanya sudah lama kering sejak semalam lagi.

"Aku harap semuanya baik-baik saja," doa Mawar tanpa sedar.

Perahu yang ditunggu-tunggu sudah tiba bersama dua orang penumpang dari seberang sana. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Barangkali mereka ialah sepasang suami isteri ataupun abang dan adik. Mawar tidak begitu pasti dan tidak perlu sebenarnya untuk dia berfikir akan hal itu. Selesai sahaja bertukar tempat, tanpa disuruh perahu itu berlayar perlahan meninggalkan jeti kayu yang sudah uzur itu. Menyusuri sungai yang memisahkan dua buah kampung yang dahulunya bersatu tetapi kini berpisah dek ditimpa badai.

Wajah sunggul yang dipamerkan oleh Mawar membuatkan pak cik perahu kehairanan.

"Kamu mahu ke mana seorang diri? Tak elok anak gadis macam kamu merayau-rayau lewat petang macam ni. Bahaya," tanya pak cik perahu itu.

Pertanyaan itu tidak disambut mesra oleh Mawar. Pandangannya menjadi sayu. Dia terasa hati dengan telahan pak cik itu. Layakkah dia dilabel sebagai 'gadis rayau' sedangkan dirinya sedang ditimpa seribu satu rasa kesedihan. Atau mungkinkah soalan pak cik itu hanya ingin menunjukkan rasa prihatin terhadap dirinya yang naif. Mawar tidak mampu merungkai segalanya. Jiwanya kacau ketika ini.

"Saya mahu ke rumah saudara saya di Kampung Ulu Jawa. Sebenarnya saya baru sahaja kehilangan ibu. Jadi saya mahu ke kampung sana untuk tumpang bermalam." Mawar berterus terang setelah sekian lama dia berdiam diri.

"Maafkan pak cik ya, nak. Kuat betul hati kamu. Kamu memang seorang diri dari tadi? Ayah kamu ke mana?" Sengaja dia melanjutkan perbualan agar suasana tidak menjadi begitu sunyi.

"Ya, saya datang sini seorang diri. Saya anak tunggal pak cik. Ayah saya sudah lama meninggal dunia. Sekarang ni saya hanya ada Kak Surti saja di kampung sana."

MAWARWhere stories live. Discover now