BAB 9

296 4 1
                                    

KALAU ini sudah menjadi suratan di dalam kamus hidupnya, dia sudah tidak punya alasan untuk melarikan diri lagi. Tetapi, segalanya semakin gawat. Semakin gila, semakin hitam dan sudah tamat buat dirinya. Keluhan menjadi teman, hiba menjadi kawan.

Kenapa perlu terjadi perkara macam ni? Aku tahu di mana salah aku, tapi mengapa sampai macam ni sekali balasan yang harus aku tempuhi? Berdosa sangatkah tindakan aku selama ni? rintih pemuda itu bersama angin lembut di sawah padi yang hidup segan mati tak mahu. Tidak nyaman mana angin itu, malah hanya bau lumpur yang menjadi tumpuan. Tetapi suasana itu langsung tidak mengubah perasaan hiba yang sedang dialami Zulkipli ketika ini.

"Termenung jauh nampak," tegur satu suara asing yang menyapa gegendang telinganya.

Zulkipli memandang sekilas gadis itu yang sedang tersenyum manis memandang tepat ke arahnya.

"Ada masalah? Dari wajah awak saya dapat rasakan beban masalah yang awak ada sekarang. Kalau awak tak keberatan, kongsilah dengan saya. Saya pun tengah bosan sekarang ni. Manalah tahu, kalau lepas awak cerita dekat saya, perasaan awak bertambah baik," jamin gadis itu.

"Terlupa pula saya, saya Mawar. Orang kampung sini juga. Siapa nama awak?" Mawar tidak malu untuk memulakan perbualan.

Masih tiada jawapan daripada Zulkipli. Di fikirannya sekarang sangatlah kusut. Dia kembali memandang sawah padi. Perlukah dia berkongsi rasa dengan seseorang yang tidak pernah dia bertemu malah berbual-bual tentang hal peribadi sebegini?

Mawar hanya menunggu jika Zulkipli tidak segan untuk berkongsi masalah dengannya. Kakinya yang putih menguis-uis tanah seperti ayam yang sedang mencari cacing terhenti apabila dirinya disoal oleh Zulkipli.

"Kalau awak diberi pilihan, pilihan mana yang menjadi keutamaan?"

"Bergantung kepada keadaan. Pilihan yang macam mana awak maksudkan?" Mawar kembali menyoal Zulkipli agar dia dapat memberi jawapan yang lebih tepat.

"Masa hadapan atau masa lampau? Apa pilihan awak?" raut wajah Zulkipli jelas menunjukkan dia mahukan jawapan yang ikhlas daripada Mawar.

"Dua-dua bukan pilihan saya." Ringkas.

"Itu bukan pilihan." Zulkipli kecewa apabila mendengar jawapan daripada Mawar.

"Saya memilih untuk tidak memilih kedua-duanya. Itu juga adalah pilihan." Mawar menjelaskan maksudnya agar tidak menyinggung perasaan Zulkipli.

"Begini, saya tidak memilih masa lampau kerana tiada apa yang perlu saya buat pada masa itu. saya tidak dapat mengubah apa-apa pun kerana pada waktu itu, segala pilihan saya adalah tepat kerana itulah saya berada di sini. Jika saya mengubah takdir yang telah ditentukan pada waktu tu, sudah pasti saya tidak bertemu dengan awak sekarang ni.

"Saya juga tidak memilih masa hadapan kerana saya tahu segala apa yang bakal berlaku nanti adalah cerminan tindakan saya dan pilihan saya pada ketika ini. Jadi, saya lebih memilih masa kini. Waktu inilah saya perlu berfikir apakah perkara bodoh yang pernah saya buat dulu, benda-benda yang tak munasabah yang dah saya buat dan semua tu saya perlu atasi sekarang ini demi masa hadapan kelak" Mawar ketawa kecil apabila melihat wajah Zulkipli yang begitu tekun mendengar syarahannya.

"Jauh betul pemikiran awak." Zulkipli kagum dengan kata-kata Mawar sebentar tadi.

"Tiada apa yang perlu untuk membuatkan awak berasa begitu pada diri saya. Saya ni orang biasa-biasa saja, macam awak juga. Pengalaman dahulu mengajar kita untuk lebih bijak pada masa akan datang."

"Hari macam nak hujanlah. Saya balik dululah ya," pamit Mawar apabila langit sudah bertukar warna.

Tidak sempat Zulkipli berkata apa-apa kerana Mawar terlebih dahulu meninggalkan dirinya.

Sehingga kita bertemu lagi, bisik Zulkipli.


"MAK ILLY... ooo Mak Illy," jerit Wana memanggil ibu tirinya yang sibuk membuat kek lapis di dapur.

"Isy! Mana pulaklah si Mak Illy ni. Aku dah tak sabar nak cerita ni," omel Wana sambil tercari-cari kelibat Mak Illy.

"Apa yang kamu cari tu Wana?" tanya Mak Illy.

"Hah! Ada pun Mak Illy. Nak dengar cerita hangat tak?" Wana semakin teruja.

Mak Illy hanya mengangguk malas.

"Tadi masa Wana balik dari kedai, Wana terjumpa si Zul."

"Zul mana pula ni?"

"Zulkipli bin Haji Taib."

"Oh! Zul yang tetiba hilang masa dia dapat tahu yang mak dia mengandung tu?"

"Tepat sekali! Dialah tu. Makin kacak, makin lawa, makin tinggi. Berdebar-debar hati ni bila terserempak dengan dia tadi."

"Kamu ni macam-macamlah. Buat apa dia balik sini?"

"Buat apa lagi? Mak ayah dia kan baru aje meninggal dunia. Mestilah nak ziarah pusara arwah. Lagipun kan tadi, Wana tengok muka dia memang sayu habis. Sedih sangat tu. Sampai dah tak nampak cahaya kehidupan dekat muka dia." Wana menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Betul juga. Terlupa pula Mak Illy. Kamu ada sembang dengan dia tak tadi?" Mak Illy masih sibuk mengadun bancuhan keknya.

"Tak, sebab dia elok sangat sampai terkelu lidah ni." Wana sudah tergedik-gedik.

"Kamu ni dah angau dekat dia ke?"

"Rasa macam ya. Hahaha. Doakan yang terbaik untuk kami."

"Gatal." Sempat Mak Illy mencubit paha Wana.

"Amboi sembang apa yang seronok sangat ni?" Pak Shad menghampiri dua wanita itu.

"Zulkipli dah balik bang," jawab Mak Illy.

"Orang tua tu dah tak ada baru pandai nak balik. Dah tak ada guna dah. Nasi kalau jadi bubur boleh makan lagi, tapi kalau dah basi memang ke tong sampah la tempatnya."

"Kita tak tahu bang apa yang berlaku sebenarnya. Mungkin si Zul tu ada alasan sendiri." Mak Illy cuba menjernihkan keadaan agar tidak berlaku sebarang debat yang mungkin tercetus sebentar lagi.

Mak Illy walaupun baru sahaja berkahwin dengan Pak Shad dua bulan yang lalu, dia sudah kenal benar dengan sikap Pak Shad yang sering mengeluarkan pandangan-pandangan hebat sehingga boleh menyakiti hati orang lain. Demi menyelamatkan hati sendiri, lebih baik Mak Illy menamatkan perbincangan itu.

"Kamu tu ada saja yang nak membangkang. Wana, mana rokok yang ayah pesan tadi?"

Wana segera menghulurkan dua kotak rokok yang selalu dipesan oleh ayahnya setiap kali dia ke kedai. Malu jugalah dibuatnya apabila dia hampir dipandang sinis oleh pelanggan-pelanggan Pak Tam. Mujur saja Pak Tam tahu untuk siapa rokok itu dibeli. Kalau tidak, pasti perkara itu menjadi bualan mak cik-mak cik kaki gosip di kampungnya itu.

"Kenapa beli dua kotak? Satu kotak saja pun dah cukup."

"Sengaja Wana belikan siap-siap dua kotak. Nanti tak payah belikan lagi."

Pak Shad hanya mengangguk dan terus mencucuh puntung rokoknya dengan penuh bergaya. 48 tahun menjadi perokok tegar sudah pasti dia mempunyai gaya yang tersendiri. Cukup hebat!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 17, 2019 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

MAWARWhere stories live. Discover now