BAB 4

219 3 0
                                    

MATAHARI baru sahaja membiaskan cahaya jingga di gigi langit. Mawar dan Surti sudah bersiap-siap mahu ke hutan hari ini. Berpakaian yang agak tidak sesuai jika mahu ke sana kerana masing-masing berkebaya ketat dan berkain songket. Rambut bersanggul tinggi berbibir merah kilat.

Lagak seperti mahu ke kenduri kahwin ataupun mahu beraya ke rumah saudara-mara. Surti yang memilih untuk berpakaian seperti itu dan semestinya dia telah berjaya memujuk Mawar untuk berkebaya juga. Menjaga imej yang sudah lama orang tidak pandang dan hina akan dirinya. Surti langsung tidak kisah tentang hal itu.

Berlenggang-lenggok berjalan berdua sedikit mencuit pandangan jejaka-jejaka di warung Pak Wan. Surti tersenyum bangga kerana masih ada yang mahu perhatikannya sedangkan dia tidak tahu yang dipandang oleh mereka ialah Mawar. Seorang gadis ayu yang belum mereka jumpa sebelum ini. Mawar tidak tahu dirinya menjadi bualan hangat di warung itu.

"Siapa tu? Tak pernah pun nampak sebelum ni?" tanya Johan yang tidak lepas memandang Mawar.

Johan ialah antara pelanggan tetap yang tidak pernah berpaling tadah ke warung-warung kopi yang lain. Setia pada yang satu adalah prinsip yang dipegang kuat olehnya.

"Bini aku kata tu anak saudaranya si Surti. Dah lebih dua minggu dia ada dekat kampung ni." Encik Borhan yang turut ada di situ menjawab.

"Kamu ni kalau bab-bab yang berkaitan dengan Surti laju saja menjawab. Semua benda tahu. Tahulah aku yang kamu tu dah lama berminat dengan Surti kan?" Pak Wan mengusik.

"Apa yang Wan merepek ni? Tak ada hatilah saya dekat si bomoh tu," nafi Encik Borhan.

"Yang kamu selalu meronda depan rumah Surti tu buat apa kalau bukan kamu nak usyar dia?" tanya Pak Wan.

Pelanggan lain yang turut berada di warung itu serentak memandang Encik Borhan. Mereka turut teruja mendengar tuduhan Pak Wan itu.

"Ermm... Sekarang ni saya fahamlah kenapa Mina selalu merajuk dengan saya kalau setiap kali saya sebut nama Surti, rupa-rupanya ada salah faham. Saya selalu ke rumah Surti tu sebab saya ada perasan dekat pokok jambu Surti tu ada sarang lebah. Saya nak periksa kalau-kalau sarang lebah tu okey ke tidak. Saya kan peniaga madu lebah. Dah lupa ke Wan?" terang Encik Borhan panjang lebar.

"Oh..." Serentak itu juga mereka menjawab.

"Macam tu ke ceritanya. Sekarang ni aku fahamlah. Bab anak saudara si Surti tu pula betullah apa yang Borhan cakapkan tadi. Aku pernah nampak dia naik sampan si Syam datang dari kampung sebelah. Entah siapa-siapa ajelah budak tu. Jangan tengok sangat dia tu. Kau orang bukannya tak tahu Surti tu macam mana. Entah-entah anak buah dia tu pun macam dia juga," sampuk Mak Tijah, isteri Pak Wan.

Pak Wan pula hanya berdiam diri. Dia sudah tidak berminat mengambil tahu tentang hal itu. Di kepalanya hanya memikirkan bagaimana mahu menyewa tapak baru di kampung seberang. Mahu menambah cawangan katanya.

"Mak Tijah ni mulut tu jaga sikit. Kalau-kalau saka si Surti tu dengar macam mana? Habislah niat Pak Wan nak buka lagi warung dekat Kampung Selam Darat tu." Zuki membidas kata-kata Mak Tijah.

"Hutang keliling pinggang ada hati nak buka warung yang lain. Sudah-sudahlah bang oi. Jangan nak berimpian tinggi sangat. Kita langsaikan dulu hutang-hutang yang ada sekarang ni dulu barulah kita fikir perancangan masa depan nanti," seloroh Mak Tijah membalas.

Orang kampung yang lain hanya ketawa dan meneruskan kegiatan mereka seperti biasa. Bermain catur, minum kopi sehingga lewat petang dan akhirnya semua masuk buku 555. Mereka sudah terbiasa begitu. Tiada kerja yang berfaedah di dalam hidup mereka. Hanya menunggu YB yang terlantik menghulur bantuan sahaja setiap tahun.

MAWARWhere stories live. Discover now