BAB 8

160 3 0
                                    

MAWAR sedang menyapu sampah di halaman rumahnya yang sudah semak dengan daun-daun kering dan rumput panjang yang sudah ditebasnya tadi. Terbongkok-bongkok dia menyusun kayu api untuk membuat unggun api. Dia mahu membakar semua sampah sarap yang ada.

Penat dibuatnya apabila melakukan aktiviti seperti itu seorang diri. Namun, dia tetap berasa bangga kerana dia berjaya mendapatkan semula rumah pusaka miliknya kini. Masih segar di ingatannya bagaimana dia menuntut rumah itu di hadapan Haji Taib dan isterinya, Hajah Hasnah.


"SAYA mahu rumah saya dikembalikan." Tiada kata salam yang menjadi mukadimah.

"Apa yang kamu cakap ni? Mana boleh Mawar. Rumah tu kamu dah beri kepada aku untuk langsaikan hutang arwah ibu kamu dulu. Aku takkan berikan rumah tu semula kepada kamu," bantah Haji Taib.

"Haji Taib, saya datang secara aman. Saya tak nak buat bising dekat dalam rumah orang. Jangan sampai saya gunakan kekerasan," ugut Mawar dengan yakin.

"Jangan mengarutlah Mawar. Kau ni memang tak tahu malu ya? Baliklah. Jangan buat kacau dekat dalam rumah aku ni." Hajah Hasnah menyampuk.

Mawar menjulingkan matanya apabila mendengar suara Hajah Hasnah yang begitu merimaskan halwa telinganya. Mawar meluat dengan wanita itu sedari dulu lagi. Sudah pun bergelar hajah tapi masih saja menayang rambutnya yang sudah putih itu.

Tidak sedar diri orang tua itu. Umur pun dah menghampiri tarikh luput masih ada hati mahu melibatkan diri dalam program-program anak muda di kampungnya. Malu apabila memikirkan seorang wanita lanjut usia sedang berzumba sakan di tengah-tengah padang bola.

"Mak Cik Hasnah, boleh tak jangan masuk campur dalam urusan saya dengan Haji Taib. Mak cik masuklah ke dapur buat kopi ke teh ke, saya haus ni." Selamba Mawar cuba menghalau Hajah Hasnah daripada sibukkan diri dalam perbincangan penting ini.

"Kurang ajar!" tengking Hajah Hasnah. Tangannya hampir sahaja menampar pipi Mawar tetapi dihalang oleh suaminya.

"Sudah! Hasnah, baik awak masuk ke dalam bilik. Ni urusan abang dengan budak perempuan ni." Haji Taib berang melihat kelakuan isterinya yang agak memalukan.

Hajah Hasnah menjeling tajam Haji Taib dan Mawar bersilih ganti. Terbit rasa tidak puas hati dan geram dalam hatinya. Hajah Hasnah akur lalu masuk ke dalam bilik. Dihentak-hentak kakinya seperti budak kecil.

"Kita berhenti di mana tadi? Oh ya, macam mana? Boleh tak kalau Haji serahkan semula rumah tu kepada saya. Saya akan gantikan dengan benda yang lain. Katakan saja pada saya." Mawar sedang membuat rundingan.

"Tak boleh. Rumah tu dah ada yang nak beli." Haji Taib masih tetap dengan pendiriannya tidak mahu kalah.

Apa yang susah sangatlah orang tua ni, geram Mawar.

Nampaknya terpaksalah dia menggunakan cara yang lebih berkesan. Mawar bangun dari tempat duduknya dan menghampiri Haji Taib yang sudah berubah riak. Mawar mencekik Haji Taib dan membuatkan mata lelaki tua itu terbeliak menahan sakit.

Mawar membaca mantera dan memandang tepat ke dalam anak mata Haji Taib yang sedang meronta-ronta. Lama juga Haji Taib begitu sebelum dirinya lemah dan seakan-akan sudah dipukau.

"Sekarang ni aku nak hak aku," arah Mawar.

Haji Taib menurut kata Mawar tanpa bantahan. Lelaki itu masuk ke dalam bilik dan mengambil beberapa dokumen penting. Hajah Hasnah pelik melihat keadaan suaminya.

"Abang! Abang nak buat apa dengan dokumen penting ni? Abang jangan cakap yang abang nak bagi rumah tu dekat perempuan tu." Hajah Hasnah menggoncang-goncang tubuh Haji Taib yang tidak mengendahkan kata-katanya.

"Nah, jangan datang sini lagi," kata Haji Taib sepatah demi sepatah lalu menyerahkan dokumen itu.

"Abang dah gila ke?" Hajah Hasnah masih lagi tidak percaya.

"Sudahlah, mak cik. Haji dan saya dah bersetuju dalam hal ni," kata Mawar dengan bangga. Mawar pergi meninggalkan Hajah Hasnah yang masih terkejut.

Mawar membaca jampi lagi sebelum menghembus lembut ke arah rumah Haji Taib dan Hajah Hasnah.


"ADA berita tergempar ni. Haji Taib dengan Hajah Hasnah dah meninggal dunia semalam." Mastur yang baru sahaja tiba di kedai runcit Pak Tam memulakan berita hangat.

"Tulah, tak sangka cepat betul ajal mereka berdua. Sehidup semati tu," balas Mak cik Siti.

"Sehidup semati juga, tapi kalau dah mati gantung diri sendiri apa gunanya. Bumi tak terima mayat kalau mati macam tu. Apalah nasib. Dah naik haji pun masih tak boleh fikir secara waras," bidas Mastur.

"Ya Allah. Betul ke yang dia orang mati bunuh diri? Yang aku tahu dia orang mati mengejut." Mak Cik Siti tidak percaya.

"Betullah. Dah habis kecoh satu kampung ni."

"Sudahlah Siti, Mastur. Tak elok cakap pasal hal orang. Biarlah Allah sahaja yang menghukum mereka," tegur Pak Tam.

Mawar yang baru sahaja siap mengambil beberapa barang dapur membuatkan mereka berhenti berbual.

"Berapa semua ni Pak Tam?" tanya Mawar.

"Sekejap Pak Tam nak kira dulu," kata Pak Tam sebelum dia cekap mengira dengan menggunakan kalkulator.

"13 ringgit 60 sen."

Mawar mengangguk dan menyerahkan duit dengan harga yang tepat. Dia malas mahu menunggu di situ.

"Awak ni orang baru dekat sini kan? Tak pernah nampak pun sebelum ni," tanya Mastur.

"Taklah, saya dah lama tinggal dekat kampung ni. Mungkin sebab baru hari ni saya singgah dekat kedai Pak Tam. Selalunya saya beli barang dapur dekat pasar tani kampung sebelah."

"Jauhnya pergi, patutlah jarang jumpa. Dah alang-alang ada dekat sini perkenalkan, saya Mastur. Anak Pak Keli jaguh memancing dekat kampung ni." Mastur mula mengayat.

"Saya Mawar. Saya minta diri dululah," pamit Mawar. Dia kurang senang dengan sikap ramah yang ditonjolkan oleh Mastur tadi.

"Sudah-sudahlah Mastur. Kamu ni asyik mengurat anak dara orang saja. Cuba beringat sikit yang kamu tu dah ada anak bini dekat rumah. Jangan nak miang sangat." Mak Cik Siti tegur apabila melihat skill mengorat Mastur yang agak lapuk.

"Saja nak try market. Mana tahu kalau dapat lagi satu." Mastur tersenyum gatal.

"Kamu datang sini nak beli apa sebenarnya? Dari tadi asyik berbual saja," tanya Pak Tam.

"Ha'ahlah, terlupa pula saya. Bagi saya tepung jagung satu bungkus dengan gula sekilo," minta Mastur sambil membelek-belek gula-gula perisa coklat yang nampak begitu menyelerakan.

Mawar menoleh melihat keadaan kedai runcit Pak Tam. Dia tersenyum kerana ramai orang kampungnya sudah tidak sedar siapakah dirinya yang sebenar.

Boleh tahan juga ilmu yang aku ada ni, bisik Mawar dan berlalu pulang ke rumahnya yang masih belum dikemaskan secara sempurna.

MAWARWhere stories live. Discover now