BAB 2

307 8 0
                                    

AWAL pagi lagi Mawar sudah membawa diri ke dapur. Memang sudah menjadi rutin bagi Mawar untuk sibukkan diri di sana. Maklum sajalah dia tidak pernah bekerja sebelum ini selain mengambil upah mencuci kain memandangkan dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk melanjutkan pelajarannya pada peringkat yang lebih tinggi. Cukuplah dia memegang sijil SPM sahaja.

Daun pandan diikat dua kali lalu dimasukkan ke dalam nasi yang sedang ditanak. Harum baunya. Api diperlahankan sedikit agar tidak hangit di bahagian bawah nasi. Ikan bilis dibuang isi perut yang kotor dengan beralaskan surat khabar. Bawang merah dan cili sudah disediakan awal-awal lagi.

"Wanginya bau... Dari dalam bilik dah boleh bau ni," tegur Surti yang sudah segak berbaju Kedah dan berkain batik jawa. Kemas dan cantik sama seperti tuannya.

Mawar tersenyum dan tangannya masih ligat membersihkan ikan bilis. "Nak masak apa ni?" tanya Surti sebelum mengambil tempat di meja makan.

"Harini saya nak masak nasi lemak," balas Mawar pendek.

"Wah, menarik ni. Dah lama akak tak masak nasi lemak. Senang cakap akak ni malas nak masak masakan yang renyah-renyah macam ni. Sebab, siapa aje yang nak makan dalam rumah ni? Ya dak?" gurau Surti.

"Saya pun bukannya pandai sangat bab masak-memasak ni. Nasi lemak ni saya buat ringkas-ringkas aje. Telur dengan timun tak ada."

"Maaflah, Kak Surti terlupa nak beli barang dapur. Banyak yang dah habis. Tak apa, kejap nanti Mawar teman akak pergi beli barang. Boleh akak bawa Mawar jalan-jalan sekitar kampung ni sekali," kata Surti sambil membantu Mawar menyediakan nasi lemak untuk juadah mereka hari ini.


SEPERTI dijanjikan tadi, selepas membeli barang dapur di kedai runcit Pak Jabit, Surti membawa Mawar bersiar-siar sekitar kampung. Macam-macam topik yang menjadi perbualan mereka sepanjang perjalanan.

Ketawa galak Mawar dibuatnya apabila mendengar lawak jenaka yang sengaja Surti tokok tambah di dalam ceritanya supaya jalan cerita menjadi lebih menarik. Tidak sedar akan kehadiran seorang wanita yang beriak sombong membuatkan Surti terkejut sedikit apabila ditegur oleh wanita itu.

"Hai Surti, lama aku tak nampak kau merayau-rayau dalam kampung ni. Aku ingat dah arwah dah. Siap bawa kawan baru lagi. Pandai kau simpan keturunan jahat kau kan? Aku ingat, lepas kau mati nanti dah tak ada lagi pewaris kau dekat muka bumi ni." Kasar sekali Mak Mina berkata-kata.

Mak Mina memang tidak pernah suka akan Surti. Dia merasakan bahawa Surti itu sengaja berdandan lawa kerana ingin memikat suaminya. Encik Borhan, suami Mak Mina seorang usahawan madu lebah yang agak berjaya. Kenapa 'agak' berjaya? Kerana kejayaannya ada musimnya. Kadang-kadang baik kadang-kadang tidak. Tetapi, dialah antara manusia yang terkaya di Kampung Ulu Jawa. Bangga jugalah Mak Mina kerana dapat bersuamikan Encik Borhan.

"Apa-apa sajalah Mina. Aku ni dah malas nak layan kau. Pergilah balik mandi bunga sikit, bagi suami tu melekat dekat rumah. Balik-balik aku juga yang kau mengata. Sedangkan aku kenal suami kau pun tidak." Surti membalas.

Sengaja dia berkata begitu. Bukannya dia tidak kenal Encik Borhan. Kenal sangat kerana hampir setiap hari Encik Borhan pasti membuat rondaan sekitar rumahnya. Entah apalah niat sebenar Encik Borhan dia sendiri tidak tahu. Dia endahkan saja.

"Jangan nak sekolahkan akulah Surti. Pandailah aku jaga laki aku tu. Kau jangan nak tunjuk hebat sangat. Kau ingat aku tak tahu ke yang kau tu tergila-gilakan suami orang. Lagi satu, aku tak tahu siapa budak ni dan aku harap dia tak macam kau." Mak Mina sekali lagi mengeluarkan bisanya.

"Hei budak, ingat pesanan aku. Kau jangan nak berkawan sangat dengan Surti ni. Dia ni pembawa bala dekat kampung. Tak habis-habis nak bawa masalah." Mak Mina belum lagi berpuas hati.

"Jom Mawar, lagi lama kita dekat sini lagi banyaklah air liur dia tersembur. Membazir. Busuk pula tu," ajak Surti sambil menarik tangan Mawar. Mawar turutkan saja.

Mereka pergi meninggalkan Mak Mina yang masih belum puas mengeluarkan caci makinya yang sudah lama terbuku. Iri hatinya tak pernah surut.

"Siapa dia Kak Surti? Kenapa dia cakap macam tu? Nampak macam dia tengah marah sangat dengan akak," tanya Mawar.

"Biasalah Mawar. Tak semua orang sukakan kita. Dia antara orang yang kurang berminat dengan kehadiran akak dekat kampung ni. Kita buat baik dikatanya nak menunjuk-nunjuk, buat jahat sikit dilabelnya kita ni syaitan bertopengkan manusia pula. Sama saja, dia tetap tak sukakan kita. Janganlah risau. Akak dah tinggal dekat kampung ni hampir 12 tahun. Hidup lagi akak sampai sekarang." Surti senyum.

"Orang macam tu pun ada ya dekat sini? Takut pula Mawar rasa."

"Dah, jangan nak fikirkan sangat orang macam dia tu. Buang masa saja." Surti mencuit sikit hidung Mawar yang sekejap kembang sekejap kempis.

"Lepas ni kita nak ke mana pula kak?" Mawar juga malas berbual tentang Mak Mina.

Dia lebih berminat untuk meneruskan agenda mereka yang tergendala tadi.

"Okey, akak nak bawa Mawar pergi tempat yang selalu akak dan ibu Mawar lepak."

"Wah! Mesti best tempat tu." Mawar semakin teruja.


PONDOK yang tidak berbumbung itu masih teguh berdiri di tepi paya. Cantik pemandangan di situ.

"Dekat sinilah Kak Surti selalu lepak dengan ibu Mawar. Sembang-sembang. Gelak ketawa." Surti menggamit kenangan lalu.

"Mawar nak tahu tak sejarah kampung ni?" tanya Surti.

"Boleh juga." Mawar tunjuk minatnya.

"Dulu, Kampung Ulu Jawa dan Kampung Selam Darat adalah sebuah kawasan perkampungan yang sama bernama Kampung Rerambut Ratu. Ada satu peristiwa hitam yang memisahkan Kampung Rerambut Ratu sehingga terbentuknya dua buah kampung yang baru. Ribut, hujan, angin kuat pada masa tu. Sampai banjir satu kampung dan entah macam mana ada satu ombak besar datang sehingga terbelah kampung ni. Sebab tu la terpisah," cerita Surti.

"Sungai yang memisahkan kampung ni digelar Sungai Rerambut Ratu sebab dialah yang menghubungkan Kampung Ulu Jawa dan Kampung Selam Darat," sambung Surti lagi.

"Dahsyatnya."

"Memang dahsyat. Tapi akak tak ada dekat kampung ni lagi semasa kejadian tu berlaku, jadi akak tak tahu sejauh mana kebenaran cerita tu. Tapi, memang itulah apa yang dihebohkan sejak dulu lagi. Ni, batu ni akak terjumpa dekat tepi Sungai Rerambut Ratu," kata Surti sambil menunjukkan sebiji batu berbentuk kaca dan berimejkan rambut.

"Uniknya batu ni." Mawar mengusap batu itu dengan teruja.

"Orang kampung cakap, batu ni akan muncul tiga tahun sekali dan orang yang bertuah saja yang dapat batu ni. Akak tak tahulah apa yang istimewanya batu ni sebab akak tak rasa apa-apa pun sepanjang akak simpan."

"Untunglah Kak Surti. Akak antara orang yang bertuah sebab jumpa batu ni. Ada orang lain lagi tak yang jumpa batu ni?"

"Kak Surti tak pasti sebab akak rasa kebanyakan mereka yang terjumpa mesti hanya berdiam diri saja."

"Saya harap suatu hari nanti saya dapat miliki batu ni juga." Mawar sudah simpan angan-angan.

"Jomlah kita balik. Dah petang ni, akak nak buat jemput-jemput sikit sebab malam nanti akak ada tetamu," ajak Surti pulang.

"Siapa yang nak datang kak?" tanya Mawar seraya bangun daripada duduknya tadi.

"Pelanggan akak."

"Jadi betullah yang akak ni bomoh?" tanya Mawar perlahan.

Surti hanya membiarkan soalan Mawar tadi dibawa angin petang. Mawar terpinga-pinga lalu dia turut terdiam dan melayan perasaannya sendiri.

MAWARWhere stories live. Discover now