2

169 2 0
                                    


"Abang Man, mak cakap pihak perempuan minta kita bawa tiga dulang hantaran semasa majlis bertunang nanti," kata Usu sambil menghidangkan sepinggan pisang goreng dan seteko air kopi untuk Hazman di ruang tamu.

Hazman baru pulang dari solat asar di surau berhampiran rumahnya. "Wah! Bagusnya adik abang. Seperti tahu saja abang dia ni lapar. Pisang nangka ke tu?" Dia mencabut kopiah di atas kepalanya lantas membetulkan rambutnya yang penyek dan tidak terurus.

"Iya lah, abang. Takkanlah Usu tak tahu apa kegemaran abang." Usu duduk di sebelah Hazman. Tangannya memegang remote control TV lantas menekan punat mencari siaran yang menayangkan cerita yang menarik minatnya. "Abang dengar tak apa Usu cakap tadi?"

"Hmmm..." Itu saja jawapannya. Mulutnya mengunyah pisang goreng yang masih panas. 

"Sedap!" komennya sambil tersenyum. Dia faham sangat mengapa Usu bertanya. Nak ikut sama lah tu pergi mencari barang- barang hantaran.

"Abang Man..." Panjang muncung Usu. Sudah mula ada tanda-tanda nak merajuk. Hazman suka menyakat adik bongsunya ini. Sudahlah bongsu, dia satu-satunya adik perempuan dalam keluarganya. Jadi, manjanya terlebih.

"Iya... abang dengar. Nanti abang telefon Kak Dini. Hal hantaran ini abang serahkan kepada orang perempuan. Abang jadi tukang bayar saja. Tak adalah pening kepala abang nanti." Sedar tak sedar sudah tiga keping pisang goreng ditelannya. Topik bertunang dan hantaran sentiasa buat dia 'nervous'. Kecut perut semacam. Makan adalah satu 'escapism' untuk dia bagi menghilangkan rasa celaru.

"Usu nak bagi cadangan, boleh tak?"

"Apa?"

"Salah satu hantaran tu kan, boleh tak kita letak coklat FR. Sedap sehingga menjilat jari. Usu rasa coklat itu sesuai dan cantik dijadikan hantaran. Tak perlu nak berhias-hias bagai. Balutan keemasan coklat itu saja sudah cantik," beria Usu memberi pendapat.

Hazman menuang air kopi ke dalam cawan dan tanpa mempedulikan yang kopi itu masih panas berasap, dia meneguknya cepat-cepat. Satu taktik supaya Usu tidak nampak air mukanya berubah. Lidah dan tekaknya terasa perit. Wah! Panas pun panaslah kopi. Aku dah tak ada cara lain nak mengelak.

"Abang nak masuk bilik kejap, nak tukar baju. Baru perasan abang masih berbaju Melayu." Tanpa menunggu jawapan Usu, segera dia mengambil kopiah di atas almari dan melangkah laju menaiki tangga menuju ke tingkat atas. Dia perlu menjauhkan diri dari Usu seketika. Dia perlukan masa untuk menenangkan hati. Jantungnya berdetap deras. Hatinya yang tercalar masih belum sembuh. Walaupun sudah lapan tahun berlalu.

Ingatannya masih belum kabur. Seperti baru semalam dia mengirimkan sebungkus FR melalui Khairi dan sekeping kad kepada Nurjihan.

'Siapa kata kita sudah berakhir?'

Masih jelas dalam ingatannya momen dia menulis kad itu. Harapannya menggunung kerana dia benar-benar sayangkan Nurjihan. Pun begitu, harapannya tidak berbalas. Dibiarkan tergantung sepi.

CLOSURE - DY FINALE (PUBLISHED)Where stories live. Discover now