4

197 3 0
                                    


Cuaca agak mendung. Angin bertiup lembut. Hazman memilih duduk di bawah patio di halaman rumah bersama adiknya, Hazlan dan Hazran. Biarkan sahaja orang-orang tua berbincang dan ibunya pun ada untuk acara menyarung cincin nanti.

"Abang, nervous tak?" Hazran, yang paling muda bertanya kepada abang-abangnya.

Hazman dan Hazlan berpandangan.

"Kenapa tanya abang? Tanyalah angah." Hazman ketawa, geli hati apabila melihat muka Hazlan yang bertukar kemerah-merahan. Malu lah tu!

"Kenalah tanya dua-dua sekali. Bukan apa. Yang sorang, dah nak bertunang. Yang sorang lagi, kena tanya juga sebab al-maklumlah kan kena 'langkah bendul'. Nanti nak kena menjawab dengan para pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang ada kat dalam tu. Adik bertunang dulu kot. Yang abang sulung bila lagi," jawab Hazran sambil menahan gelak.

"Alah... apa yang nak nervous-nya. Belum ada jodoh. Nanti ada lah tu..." Hazman cuba menjawab dengan tenang walaupun dalam kepalanya sudah mula diterjah dengan wajah Nurjihan dan Dini silih berganti. Dia menghela nafasnya dalam.

Fikirnya, Hazlan dan Hazran tidak perasan akan perubahan pada raut wajahnya. Adik-adiknya semua tahu yang dia masih tidak dapat melupakan Nurjihan walaupun mulutnya mengeluarkan kata-kata yang menyanggah. Setiap kali nama Nurjihan terzahir, setiap kali itu Hazman menjadi sugul. Wajah itu seperti tattoo yang terpahat pada muka Hazman sejak lapan tahun tahun yang lalu.

"Abang Man nak tunggu apa lagi. Kasihan angah tengok Kak Dini tu. Dia dah ada kat depan mata abang sejak di universiti. Sabar betul dia dengan abang tau. Rasanya kalau perempuan lain dah lama 'bye bye' abang," kata Hazlan. "Tak kan abang masih tak boleh lupakan Kak Jihan lagi..." sambungnya lagi. Dia faham benar, abang sulungnya itu terluka. Tapi bukankah hidup perlu diteruskan juga? Bunga bukannya sekuntum. Dan yang ada menemani Abang Man sekarang, Kak Dini, tiada kurangnya pun baik dari segi rupa paras mahupun perangai. Cantik, lemah lembut dan sangat mengambil berat tentang Abang Man dan keluarga mereka.

Hazman hanya membatu. Enggan berkongsi apa yang tersimpul erat dalam hatinya. Bukannya dia tidak menghargai Noordini selama ini. Dia cuba, sumpah! Walau berat, walau pahit, dia sudah cuba dengan segala genap rasa yang ada dalam jiwanya. Pun begitu setiap kali pintu hatinya baru cuba terbuka, ia kembali terkatup.

Nurjihan, mengapa hati saya tidak dapat menerima yang 'kita' sudah berakhir?

Lamunannya terhenti di situ. Terganggu dek suara Usu yang memanggil angah naik ke rumah. Perbincangan sudah berakhir. Ibunya pun sudah menyarungkan cincin ke jari tunangan Hazlan. Si cantik manis kesayangan Hazlan, Alisya.

"Jom, Abang Man. Kita pergi bergambar sama- sama. Boleh ambil aura orang bertunang. Mana lah tahu kan..." Hazran mencuit bahu abangnya, Hazman. Macam biasa, kerjanya mengusik orang sahaja. "Kak Dini pun ada kat dalam tu. Kot lah Abang Man nak bergambar dengan dia..."

"Haish! Tak habis-habis mengusik abang ya. Siap kau, dik!" Hazman bingkas bangun dan terus acah-acah mengejar Hazran.

CLOSURE - DY FINALE (PUBLISHED)Opowieści tętniące życiem. Odkryj je teraz