2 •• Resah

22.6K 871 77
                                    

"Dira, malam ni tidur bilik ibu dulu. Mata dah letih tu. Pergi rehat, sayang." Ibu datang berbisik padaku yang leka berbual dengan Hanna dan Rubiena. Raez entah kemana menghilang sejak sejam yang lalu.

Menurut apa yang diperkatakan ibu, aku melangkah menuju ke kamar. Menanggalkan baju persalinan akad nikah ini lalu digantung di dalam almari. Selesai majlis nanti aku akan hantar ke dobi. Baju akad nikah, haruslah sayang. Memorable. Orang yang nikah tadi pun sayang jugak.

Selesai berpakaian tidur, aku membentangkan toto. Tempat aku beradu beberapa malam ini. Rumah ni besar dan banyak bilik. Tapi bila kenduri macam ni dan ramai saudara yang datang, jadi kena kongsi bilik.

Duduk berbaring sambil merenung cincin yang tersarung di jari manisku, perlahan-lahan bibirku mengukir senyum indah. Rasa bersyukur kerana orang yang aku cinta selama ini sudah menjadi halal buat ku. Aku berkhayal seperti orang yang mabuk sambil tersengih.

"Puteri, tak tidur lagi?" Ayah menegur membuatkan aku tergadah sendiri. Haruslah malu kerana pasti ayah lihat perangai anak perempuannya yang tersenyum-senyum sejak tadi. Ayah memang suka panggil aku puteri. Sejak kecil lagi. Kata ibu, ayah memang menantikan kehadiran anak perempuan. Jarak umur aku dan abang agak jauh berbeza. Jadi, bila aku dilahirkan, ayah terlalu gembira.

"A—Ayah.. Baru nak tidur. Ibu mana?" Tanya aku sambil mengawal kegugupan.

"Ibu masih di dapur tadi. Sekejap lagi naiklah. Tidur dulu. Esok pagi-pagi kena bangun awal." Saran ayah padaku. Setuju dengan kata-kata ayah, aku bangun bersalam dengan dia dan mengucup lembut pipinya. Rutin yang aku selalu lakukan jika berkesempatan untuk mengucapkan selamat malam.

"Selamat malam, ayah." Ucapku penuh jujur.

"Selamat malam, cinta hati ayah." Kali ini langkahku yang mahu kembali membaringkan badan terhenti. Ucapan balas dari ayah malam ini berbeza sekali. Selalu dia akan mengucapkan 'selamat malam, puteri' sebagai balasan. Kerana 'selamat malam, cinta' hanya untuk ibu. Itu yang aku selalu dengar dari setiap ucapan ayah sejak kecil. Aku terkaku dan menoleh seketika pada ayah. Tapi ayah kelihatan sudah membaringkan badannya.

'Kenapa dengan ayah? Apa mungkin dia masih rasa keberatan melepaskan aku untuk menjadi isteri orang?'

Akhirnya aku tertidur sendiri. Tidak sedar hingga subuh kian menjelma. Aku terjaga, sambil menenyeh mata. Kelihatan ibu dipeluk erat oleh ayah berserta dengkuran halus ayah. Bila ibu masuk, aku langsung tidak kesedaran kerana aku sangat letih.

Melihat jam di telefon pintarku menunjukkan pukul 5.30 pagi, aku tidak jadi mahu mengejutkan ibu. Ingin membiarkan ibu melanjutkan istirehatnya sedikit waktu lagi. Ibu sudah tentu kepenatan menguruskan majlis semalam dan majlis yang akan bersambung hari ini. Leka aku memandang kedua wajah yang aku paling sayang sedang lena pulas.

Ayah, lelaki yang berusia separuh abad sangat tulus mencintai ibu. Selama aku hidup menjadi anak mereka, aku tak pernah langsung melihat ayah meninggikan suada pada ibu di hadapan aku. Kata-katanya lembut sekali. Bicaranya tidak pernah ada yang kasar. Jika ada yang tak dipersetujui oleh hatinya, ayah akan tinggal diam. Begitu juga ibu. Ibu juga wanita yang lembut dan sentiasa taat pada ayah. Ibu sangat menyanjung ayah sebagai suaminya.

Aku hidup dalam kasih sayang yang sangat lembut. Bagaimanakah corak rumah tanggaku pula di masa hadapan? Jika tanya aku, sudah pasti aku mengimpikan suami seperti ayah.

Melepaskan keluhan, aku bergerak ke bilik mandi untuk membersihkan diri dan bersiap-siap menanti subuh.

Keluar dari bilik air, aku lihat ayah sudah bangun dan sedang mengejutkan ibu. Tangan ayah mengelus-elus rambut ibu. Terus ibu bangun dan melihat ke arahku.

RASMI MILIKKUWhere stories live. Discover now