#5 Hamster

1.8K 149 12
                                    

Emah Fatimah sedang berada di kedai haiwan peliharaan XX. Tangannya memegang kemas beg dompet emasnya yang di beli di Uptown Shah Alam. Matanya sekejap kecil sekejap besar memandang jenis-jenis sangkar yang dipamerkan. Sesekali tangannya menggaru kepalanya yang gatal dek uban yang baru tumbuh.

"Akak cari apa?" Soalan abuden diberikan seorang pekerja wanita di kedai itu.

Emah tersenyum. Dia menunding jari ke arah sangkar yang diletakkan bertingkat. "Akak nak pilih sangkar untuk hamster akak. Dia baru beranak. Yang mana yang sesuai ye?"

"Hamster akak berapa ekor?" soal pekerja itu.

"Ada la dalam 20 ekor. Tiga ekor yang beranak. Tu yang pening kepala ni."

Pekerja itu menganggukkan kepalanya. Dia meminta Emah mengikutinya ke bahagian paling belakang, bahagian yang tidak selalu dikunjungi pelanggan kedai itu.

"Okey, kalau macam tu akak pilih yang paling besar ni. Saiz XXL. Orang jarang beli sangkar saiz ni. Sebab tu bos suruh letak belakang." Pekerja itu menghalakan ibu jarinya pada sangkar yang dimaksudkan.

Wajah Emah bertukar teruja. Pasti anak-anaknya akan gembira melihat sangkar yang baru dibelinya. Dia menggelarkan hamster belaannya sebagai anak. "Ha, boleh la macam tu. Adik tolong akak angkat boleh?"

"Boleh. Boleh tak ada masalah."

Usai membeli sangkar, Emah pulang ke rumah dengan hati yang gembira. Dia tidak sabar mahu memindahkan anak-anaknya ke rumah baru untuk menjalani kehidupan di dunia yang baru.

Tiba sahaja di rumah, Emah meletakkan sangkar baru di sebelah sangkar lama.

"Hai, sayang. Jom pindah rumah!" ujarnya teruja.

Satu per satu anaknya diangkat masuk ke dalam sangkar termasuk yang baru sahaja dilahirkan. Kesemuanya dipindahkan dengan cermat. Selesai proses pemindahan, bibirnya mengukir senyuman lebar tanda berpuas hati dengan keadaan itu.

Tiba-tiba dahinya berkerut. Ada sesuatu yang sedang difikirkannya.

"Hm... Nak pilih yang mana ya?"

Emah memandang anaknya yang berwarna putih. Hidungnya terdapat tompok oren seindah cahaya mentari terbenam. Dia mencapai hamster tersebut dan membelainya manja.

"Seronok dapat rumah baru?" soalnya, mencium hamster berkenaan.

"Mesti seronok kan?" Kepalanya dibelai-belai dengan penuh kelembutan.

Seraya dengan itu, kepala hamster tersebut dimasukkan ke dalam mulut, dikunyahnya sekuat hati sehingga bunyi temulang patah kedengaran. Seluruh badan hamster tersebut disiat-siat sebelum menelannya dengan rakus. Darah yang mengalir di bibir dijilatnya dengan penuh nikmat.

"Yang lain, tunggu ya. Mama dah kenyang hari ni." Emah menyeringai dengan giginya yang merah bersalut darah.

💀💀💀

Love this story? Vote to show your support.

Next update: 13🌟

Psychopath XXDonde viven las historias. Descúbrelo ahora