BAB 1.4

26 3 0
                                    

MATANYA terbuka dalam kegelapan. Namun, kegelapan itu masih kelihatan bercahaya. Tasnim yang terjaga daripada lena tidurnya, memaksa matanya untuk membuka. Dia mengiring ke arah suaminya. Kelihatan suaminya masih belum tidur, sedang bermain telefon.

"Tak tidur lagi ke?" tanyanya lalu menggosok matanya. Pandangannya masih kabur.

"Belum," jawab Aswad pendek.

Tasnim menggeliat kecil. Tiba-tiba matanya tertancap pada skrin telefon suaminya. Dia mula rasa resah.

Pandangannya mungkin masih kabur kerana baru terjaga, tapi Tasnim yakin dia melihat skrin telefon suaminya bertukar aplikasi. Aswad kini sedang melayari aplikasi Facebook, tetapi entah mengapa Tasnim seperti melihat skrin telefon Aswad sebentar tadi berada di aplikasi WhatsApp.

Hatinya gundah-gulana. Dia bangun dan duduk seketika. Aswad masih kelihatan tidak berganjak daripada baringnya.

Tasnim mengambil telefonnya di meja tepi katilnya untuk melihat waktu. Sudah pukul tiga pagi.

Tasnim mengambil keputusan untuk menunaikan solat tahajjud memandangkan dia sudah terjaga pada waktu sebegini. Dia melangkah dengan berat ke tandas untuk mengambil wuduk.

Usai menunaikan solat tahajjud, hatinya tergerak untuk melakukan solat hajat. Entah mengapa, dia menjadi rajin untuk menunaikannya. Walaupun di dalam keadaan yang masih mengantuk, Tasnim gagahkan juga diri untuk bangun dan menunaikan solat hajat pula.

Di dalam sujud terakhirnya, dia, seorang hamba biasa mula memohon hajatnya kepada Yang Esa.

"Ya Allah... Hamba memohon pada-MU, jika benar suami hamba mempunyai wanita lain selain hamba... Kau tunjukkanlah kebenarannya. Dan jika memang itu kebenarannya, Kau berikanlah kekuatan dan ketabahan pada hamba untuk menghadapinya. Hamba insan yang lemah, tidak mampu berdiri kuat tanpa pertolongan-Mu."

Dadanya terasa sebak di sujud terakhir itu.

"Dan jika kebenarannya bukan itu, maka Kau berkatilah keluarga kami. Limpahkan kami dengan rezeki dan umur yang panjang. Dan semoga perkahwinan ini... akan berkekalan sehingga ke penghujungnya dan keluarga kami bahagia ke Jannah."

Ketika Tasnim bangun untuk tahiyyat akhir dari sujudnya, matanya sudah kebasahan dengan air mata. Hatinya berasa sungguh sayu ketika itu. Berat dadanya menahan.

Usai solat hajat, matanya memandang ke arah suaminya di katil.

Aswad kelihatan telah pun tidur.

Tasnim memandangnya lemah. Dia tidak tahu mengapa, tetapi dirinya mula merasakan tekanan. Dan dia tahu dengan jelas, dia mula terseksa dengan itu.

Air matanya makin deras mengalir.

TANGISAN SEORANG BIDADARIWhere stories live. Discover now