BAB 2.2

24 2 0
                                    

"BELI apa lagi itu?" tanya Tasnim tatkala melihat anaknya sedang membuka kotak usai pulang daripada kerja. Asyraf cuba untuk membuka pita pelekat pada kotak tersebut dengan tangannya tanpa menggunakan sebarang peralatan. Usai kotak tersebut dapat dibuka, dia mengeluarkan sepaket Milo.

"Milo." Ringkas jawapan Asyraf.

"Hari itu ayah baru beli Milo," ujar Tasnim, mengingatkan dia dan suaminya baru sahaja membelinya ketika berbelanja barang dapur minggu lepas.

"Dah murah, beli ajelah."

Tasnim hanya menggeleng. Dia tahu anaknya yang seorang ini memang kaki shopping online. Tahu sahaja segala diskaun dan baucar menarik yang dia sendiri pun tidak tahu daripada mana anaknya ini boleh tahu dan cari.

"Murah pun bayarnya pakai duit juga," ingat Tasnim.

Asyraf tidak menjawab. Dia membuka kotak yang kedua. Di dalam kotak itu, ada pula dua botol kicap.

"Kicap dalam stor itu pun ada lagi, dah beli lagi."

"Benda free, ambil ajelah."

"Ya ke free?"

"Pos ajelah bayar."

Sukar untuk Tasnim percaya, tapi itulah kenyataannya. Ada juga dia fikir, anaknya ini memang genius benar kalau bab shopping online.

"Dah claim ke duit beli semua ini dengan ayah?" tanya Tasnim kepada anaknya.

"Belum."

"Jangan buat main-main. Nanti tak dapat sesen. Habis duit aje beli ini," pesan Tasnim.

Walaupun anaknya itu banyak membeli barang keperluan dapur di internet, tetapi Tasnim risau kerana kebanyakkannya menggunakan duit anaknya sendiri. Terkadang dia tidak mahu anaknya itu yang menghabiskan duitnya untuk membeli barang keperluan kerana itu adalah tanggungjawab suaminya, bukan anaknya.

"Hmmm." Asyraf seperti tidak mengambil endah.

"Asyraf jangan buat main duit ini. Ayah itu duit ibu pun liat nak bayar. Ini tengok Asyraf beli semua ini, lagilah dia suka tak payah keluarkan duit."

Tasnim cuba menasihati lagi, "Kalau beli apa-apa lagi, terus aje minta duit dengan dia. Jangan buat senyap. Beli semua ini tanggungjawab dia. Memanglah murah, tapi duit juga."

Asyraf tidak mengendahkan nasihat ibunya. Dia berlalu pergi membawa kotak-kotak dan sisa bungkusan untuk dibuang. Tasnim hanya mengeluh perlahan.

Dia kenal anaknya itu mempunyai habit memburu baucar murah dan membeli barang murah di internet. Tetapi, dia tidak mahu anaknya itu menghabiskan duitnya sendiri. Biarlah apa yang menjadi tanggungjawab orang tua itu, itulah yang ditanggung orang tua. Bukannya sang anak.

Tasnim bimbang, jika anaknya terus bertindak sedemikian, suaminya akan jadi semakin lalai dengan tanggungjawabnya.

TANGISAN SEORANG BIDADARIWhere stories live. Discover now