BAB 3

27 3 1
                                    

TASNIM sedang sibuk memasak di dapur. Malam ini dia cuma menggoreng ayam. Sekadar menambah hidangan lauk. Lauk sambal sotongnya yang dimasak tengah hari tadi tidak cukup untuk menjamu keluarganya makan malam.

Dia melihat anak sulungnya masuk ke dalam ruang dapur.

"Asyraf nak makan, ke?" tanya Tasnim.

Asyraf hanya menggeleng. Dia mengambil gelas lalu mula membancuh air milo. Dia tiada selera untuk makan. Matanya benar-benar mengantuk. Mahu tertutup sudah. Biarlah hanya secawan air milo mengalas perutnya.

Belakangan ini memang dia selalu tidur awal. Berbanding tidur di kamarnya, dia lebih memilih untuk lena di ruang tamu kerana lebih dingin berbanding kamarnya. Selesa untuk dia berehat selepas seharian bekerja.

Tasnim memandang anaknya.

"Karang, tengah malam nanti baru nak makan. Jangan amal sangat makan tengah malam. Asyraf itu dahlah lepas makan, baring aje. Perut itu dah buncit ibu tengok," leter Tasnim, menegur anak sulungnya.

Namun tiada balasan yang diberi. Asyraf terlalu penat mahu melayan leteran ibunya. Dia hanya membawa gelasnya ke meja makan, meninggalkan ibunya sendirian di dapur.

Tasnim hanya mampu memandang. Dia menghela nafas kecil. Cuba bersabar.

Usai selesai memasak, dia mula mengemas dapur. Berpeluh badannya selepas memasak dan mengemas dapur. Tasnim membuat keputusan untuk mandi bagi menghilangkan rasa berlengas di badannya.

Baru sahaja dia keluar dari dapur, kelihatan Aswad menuruni anak tangga dan kakinya menuju ke pintu rumah.

"Abang nak pergi mana?" tanya Tasnim.

"Keluar jumpa Ikmal kejap."

Aswad terus keluar dari rumah dan menghampiri pagar rumah. Tasnim yang perasan ada sebuah kereta di hadapan itu, cuba untuk mengintai. Dia mengintai di sebalik langsir.

Ternyata memang Ikmal, salah seorang staff suaminya di dalam kereta. Aswad kelihatan memasuki kereta tersebut sebelum kereta itu meninggalkan kawasan perkarangan rumahnya. Tasnim tidak lagi mengambil endah bila melihat depan matanya sendiri.

Ketika dia mahu naik ke biliknya di atas, dia melihat Asyraf sudah tidur lena di sofa. Lalu, pandangannya terkalih pada gelas berisi air Milo dibuat anaknya tadi di atas meja. Masih tersisa banyak.

Penat benar anaknya sampai tidur dulu sebelum sempat habiskan airnya.


USAI mandi, Tasnim duduk di hadapan meja soleknya. Mengesat rambutnya yang kebasahan. Dia menyidaikan tuala di penyidai setelah selesai. Pada masa itu, matanya menangkap sebuah telefon milik suaminya di atas chest drawer

Naik hairan dibuatnya. Bagaimana suaminya boleh tertinggal telefonnya ketika keluar?

Tiba-tiba, hati Tasnim tergerak untuk membuat penyiasatan pada telefon suaminya lagi. Tapi, kali ini entah mengapa... Dia merasakan seperti berat hati untuk melakukannya.

Apakah perlu dia lakukannya sekali lagi? Lagipun, entahlah... Tasnim bercelaru sendiri dengan keputusannya.

Tapi, tidak salahkan kalau seorang isteri mahu tahu? Memang telefon itu adalah privasi suaminya, tetapi selama ini dia juga tidak pernah peduli berkongsi privasinya kepada Aswad. Maka, Tasnim berpendapat tidak salah untuk dia tahu juga.

Dan, jika memang benar suaminya benar-benar melakukan kesalahan di belakangnya, Allah pasti akan tunjukkan kebenarannya. Cuma cepat atau lambat aje.

Akhirnya, dia mengumpulkan semua keberaniannya untuk melakukannya sekali lagi. Telefon itu diambil lalu dibuka. Tidak ada kata laluan. Seperti kebiasaannya.

TANGISAN SEORANG BIDADARIWhere stories live. Discover now