Bab 1

368 15 4
                                    

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.


HARI ini sama juga seperti semalam dan kelmarin. Kalau semalam dan kelmarin matahari mencarak garang di pundak kepala, hari ini juga begitu. Matahari seumpama bebola gergasi yang mahu menunjukkan kuasanya kepada umat manusia, memanggang mereka ke tahap maksimum. Suhu meningkat beberapa darjah daripada kebiasaannya.

Bukan manusia sahaja yang terpanggang dibakar dek terik matahari Khatulistiwa. Kemarau panjang yang sudah berlarutan sehingga tiga bulan itu menyaksikan sawah padi di kampung itu menjadi kering kontang. Malah, beberapa orang penduduk kampung mengeluh akan pokok-pokok durian mereka yang sudah menguning dan luruh daunnya. Tentu tidak lama lagi pokok-pokok itu akan menemui ajalnya. Yang menoreh getah bersungut akan susu getah yang semakin malas menitik ke mangkuk. Sudahlah harga getah tidak setinggi mana, kini hasilnya pula semakin berkurangan.

Kehidupan semakin perit, menghimpit!

Kalau tiga bulan dipanggang matahari dirasa amat memeritkan, tiada siapa tahu atau ambil peduli akan derita yang terpaksa ditanggung oleh seorang budak berusia 11 tahun itu. Sudah seminggu dia terkurung di bawah kolong itu. Mungkin 'terkurung' bukanlah perkataan yang sesuai digunakan, sebaliknya 'dikurung' adalah lebih tepat kerana tindakan itu dilakukan dengan sengaja.

Budak itu bernama Luth. Dia bertubuh kurus kering kerana jarang dapat makan dengan sempurna. Menikmati makanan yang lazat dan berkhasiat hanya muncul dalam impiannya. Itupun sudah cukup baik kerana dia masih dapat makan. Kadangkala dia sengaja dibiarkan kebuluran dengan alasan untuk 'mengajarnya'.

Luth tidak mengerti entah apa dosa yang telah dilakukannya di dalam kehidupan ini sehingga dia perlu 'diajar' sebegitu rupa. Malah, Mili, si kucing siam berekor kembang yang menghuni di banglo yang sama mendapat layanan yang jauh lebih baik daripada layanan yang dia terima. Alanglah tidak adilnya!

Bukan setakat tubuh, fikiran Luth juga kadangkala seolah-olah sudah tidak tertahan lagi dengan penderitaan demi penderitaan yang menghurung hidupnya. Dia mula menjadi bosan dengan hidupnya. Berkecil hati dengan dunia ini. Dia benci kepada manusia di sekelilingnya. Sesekali dia juga mahu membenci TUHAN.

Sudahlah semua orang membenci Luth, TUHAN juga seolah-olah sengaja menyisihkan dirinya. Kalau TUHAN sayangkan Luth sudah tentu TUHAN tidak akan mengambil nyawa ibunya dikala Luth masih memerlukan perempuan itu dalam hidupnya.

"Ibu... Luth lapar, bu. Luth lapar." Dia merengek-rengek.

Telapak tangan hinggap ke perutnya yang kempis. Perutnya sudah lama berhenti berkeriut. Mungkin cacing-cacing yang menghuni perutnya juga sudah lemah kerana tidak diberikan habuan iaitu makanan secukupnya. Perlahan-lahan keriut diperut digantikan dengan rasa pedih yang mencengkam. Ngilu, nyeri! Itulah yang dirasakan Luth sehingga bulu romanya merinding akibat menahan rasa ngilu dan nyeri yang mencengkam.

Dia membongkokkan tubuhnya untuk menahan rasa sakit.

"Aduhhh... sakit, bu." Rintihnya.

"Sabarlah, anakku." Tiba-tiba satu suara hinggap ke telinga Luth.

FOBIAWhere stories live. Discover now