BAB 4

181 10 3
                                    

"LUTH!" suara Mak Bidah memancung ingatan Luth terhadap zaman bahagianya yang sudah berlalu. Kini, yang menyaluti seluruh hidupnya adalah keperitan dan penderitaan.

Luth menoleh. Dia pelik melihat perempuan itu muncul sambil menatang dulang yang penuh berisi makanan. Mak Bidah tersenyum-senyum ke arahnya.

"Rezeki kau murah hari ni, Luth. Perempuan tu dah insaf agaknya, syukurlah! Dia yang suruh Mak Dah bawa nasi dan lauk ni untuk kau. Takut jugak dia kalau kau mati kebulur kat bawah kolong ni. Makanlah, Luth." Kata Mak Bidah sambil letak dulang di depan Luth.

Mata Luth bersinar-sinar. Kalau dahulu, dia jarang menghargai makanan yang dihidangkan kepadanya sehingga kadangkala dia sampai ke tahap membazir tetapi kini sebutir nasi dianggap amat berharga. Malah, nilai nasi lebih berharga dibandingkan daripada emas kepada orang yang sedang kelaparan.

"Jangan lupa baca bismillah, Luth." Pesan Mak Bidah.

"Bismillahir rahmanirrahim." Laju sahaja mulut Luth membaca bismillah kerana hendak segera melahap nasi di depannya. Walaupun tadi dia telah diberi makan oleh Mak Bidah tetapi perutnya masih lapar.

"Makan perlahan-lahan, Luth. Cekik pulak nanti." Mak Bidah mengingatkannya.

Luth menoleh sekilas ke arah perempuan di depannya itu. Walaupun dia tiada pertalian saudara dengan perempuan itu tetapi Mak Bidah sentiasa prihatin tentang dirinya. Dia rasa terhutang budi dengan Mak Bidah.

"Ayah macam mana, Mak Dah?" soal Luth sambil memperlahankan sedikit kunyahannya.

"Macam tu jugaklah. Belum ada tanda-tanda nak sembuh lagi. Tapi kau janganlah risau sangat, ya, Luth."

Luth mengangguk. Sebagai seorang anak, sudah tentulah dia sentiasa ingat akan ayahnya. Pun begitu, jauh di lubuk hatinya Luth tetap mengepal rasa geram dan kecewa dengan Tuan Bahrin.

Kalau ayah tak kahwin dengan Mak Cik Salina, tentu aku sekarang sedang berkejar-kejaran di padang bersama kawan-kawan dan bukannya terkurung di bawah kolong ni. Kalaulah ayah tak kahwin dengan perempuan tu dulu mungkin ibu masih hidup sekarang ni! Mengenangkan itu, selera Luth tiba-tiba sahaja menjadi tumpul.

BUNYI daun pintu yang terkuak membuatkan Mak Bidah dan juga Luth terkejut. Mata kedua-duanya mencerun ke arah sesusuk tubuh yang sedang melangkah masuk ke ruang yang sama.

"Mak Dah! Apa yang Mak Dah buat ni? Kenapa kau memandai-mandai bagi tikus ni makan, hah?" Salina sengaja menggelar Luth dengan gelaran 'tikus' yang dianggapnya haiwan yang kotor lagi jijik.

Sergahan Salina itu membuatkan Mak Bidah terkapa-kapa.

"Errr... tadi kan puan yang suruh Mak Dah bawakan Luth nasi? Puan dah lupa ke?"

Salina merenung Mak Bidah dengan mata yang terbeliak. Sakit hatinya mendengar jawapan yang terkeluar dari mulut perempuan itu.

"Berapa kali kau nak bagi tikus ni makan, hah? Jangan ingat aku tak tahu perbuatan kau ya, Mak Dah. Masa aku keluar ke pekan tadi, kau dah bagi dia makan kan?" Salina menengking. Walaupun usia Mak Bidah jauh lebih tua daripadanya tetapi tiada rasa hormat di hati Salina terhadap perempuan itu sehingga dia tega ber 'aku' dan ber 'kau' sahaja dengannya.

Ah, tak payahlah nak tunjuk hormat dan berbuat baik dengan orang gaji, bisik hatinya.

Mak Bidah menggeletar sambil cuba menahan dirinya daripada jatuh pengsan akibat ketakutan yang amat sangat. Sampai hati kau, Ravi! Bagaikan terngiang-ngiang lagi di telinga Mak Bidah alasan Ravi yang perlukan duit kerana hendak membeli buku-buku rujukan untuk anaknya yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun depan.

FOBIAWhere stories live. Discover now