Bab 8

164 8 0
                                    

"ADA makanan lagi tak, Mak Dah? Aku laparlah." Ravi bersuara ketika muncul di dapur. Ketika itu Mak Bidah sedang sibuk memanaskan bubur nasi dan sup ayam untuk Tuan Bahrin.

"Mana ada! Semuanya dah habis. Sup ayam nipun hanya tinggal untuk tuan aje. Kau pergilah balik makan." Mak Bidah menghalau Ravi. Benci hatinya melihat wajah Ravi. Lelaki India itu tidak ubahnya seperti biawak yang lidah bercabang.

"Aku bergaduh dengan bini akulah, Mak Dah. Entah dia ada masak untuk aku ataupun tak." Adu Ravi.

Puih! Mak Bidah rasa seperti hendak meludah sahaja ke muka Ravi. Teringat lagi bagaimana dia kerugian RM50 di tangan Ravi. Selepas itu, dia terpaksa pula menadah telinganya mendengar leteran Salina. Semuanya gara-gara si Ravi yang lidah bercabang.

"Itu kau punya pasallah. Kenapa kau nak mengadu dengan aku pulak?" herdik Mak Bidah.

"Aku tahu Mak Dah marah akukan?"

"Hey, Ravi! Sebelum senduk ni hinggap ke atas kepala kau, baik kau keluar dari dapur ni!" sergah Mak Bidah sambil menghalakan senduk lauk ke arah Ravi.

"Bukannya aku sengaja nak mengadu dengan Puan Salina tapi dia paksa aku cakap. Kalau aku tak beritahu dia hal yang sebenar, dia ugut nak pecat aku."

"Ah, aku malas nak dengar segala alasan kau tu. Berambus kau dari sini!" herdik Mak Bidah.

Ravi tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Dia terpaksa melangkah meninggalkan ruang dapur setelah dihalau Mak Bidah.

Apabila bubur dan sup ayam sudah mula menggelegak, Mak Bidah segera menutup api. Kemudian, dia melabuhkan punggung di atas kerusi. Ketika itulah, Mili, kucing Siam berbulu kembang kesayangan Salina terkedek-kedek masuk ke dapur. Mili mengiau beberapa kali. Matanya yang membiru merenung manja ke arah Mak Bidah. Lapar Friskies agaknya si Mili itu.

Mak Bidah membandingkan Mili dengan Luth yang kini terkurung bawah kolong rumah agam itu. Tidak salah menyayangi seekor haiwan apatah lagi seekor kucing kerana kucing adalah haiwan kesayangan Nabi. Tetapi janganlah pula menempatkan maruah seorang manusia pada kedudukan yang lebih hina daripada binatang.

Perempuan itu memang kejam! Bisik hati Mak Bidah. Dia bertekad untuk turun menjenguk Luth setelah menyuapkan Tuan Bahrin buburnya nanti.

"LUTH... Luth!"

Luth terdengar suaranya dipanggil. Dia berusaha keras untuk membuka kelopak matanya. Agak sukar! Dia mencuba lagi dengan segala susah payah. Akhirnya, dia berjaya juga membuka kelopak matanya. Silau daripada cahaya lampu kalimantang membuatkan kepalanya berdenyut.

"Ya, ALLAH, Luth! Benjol kepala kau dikerjakan betina tu? Memang kejam betina tu, kejam!" Mak Bidah terkekau-kekau tatkala matanya melihat kecederaan di kepala Luth. Ada juga kesan darah beku yang meleleh sehingga ke pelipis Luth.

Suara Mak Bidah yang kedengaran bergema serta beralun-alun di telinganya itu membuatkan Luth semakin pening. Dia memekup kedua-dua belah telinganya dengan telapak tangan.

Mak Bidah keluar meninggalkan Luth dan seketika kemudian datang semula dengan sebesen kecil air serta tuala. Dia membantu Luth duduk. Selepas itu, dia membersihkan kesan luka di kepala Luth dan mengelap kesan-kesan darah. Dia juga tidak lupa untuk menyapu minyak gamat ke atas luka di kepala Luth. Dia meladeni Luth dengan penuh kasih sayang seperti Luth itu adalah anaknya sendiri.

Luth menangisi nasib malangnya. Begitu juga dengan Mak Bidah. Mereka sama-sama bertangisan di bawah kolong itu.

Walaupun tahu yang dia akan dimarahi Salina nanti tetapi dia tidak kisah itu semua. Lantaklah kalau Salina hendak memecatnya, dia sudah bersedia.

"Perempuan tu mesti marahkan Mak Dah nanti. Lantaklah kalau dia marahpun. Mak Dah cuma berharap agar dia tak pecat Mak Dah sebab kalau Mak Dah dipecat siapalah yang nak datang menolong Luth. Makanlah, Luth." Kata Mak Bidah sambil menyuapkan bubur nasi dan sup ayam ke mulut Luth.

Luth tidak lalu makan. Dia hanya mampu menelan beberapa sudu bubur sahaja. Selepas Luth selesai makan, Mak Bidah menyuruh Luth menelan dua butir pananol pula untuk meredakan kesakitan yang ditanggungnya.

"Mak Dah keluar dulu, ya, Luth." Kata Mak Bidah seusai urusannya di bawah kolong itu.

"Mak Dah!" panggil Luth sebelum sempat Mak Bidah melangkah keluar.

Mak Bidah berpaling.

"Luth nak jumpa ayah." Pinta Luth dengan suara yang lemah.

Mak Bidah terdiam seketika seolah-olah berfikir tentang kewajaran tindakannya membawa Luth bertemu Tuan Bahrin.

"Tolonglah, Mak Dah. Luth nak jumpa ayah." Pinta Luth lagi.

Mak Bidah merenung lurus ke arah Luth. Dia seolah-olah berfikir akan kewajarannya untuk membawa Luth bertemu dengan ayahnya. Ternyata dengan renungannya yang sayu dan wajahnya yang menggamit simpati itu berjaya membuatkan hati Mak Bidah cair. Akhirnya, Mak Bidah akur lalu menganggukkan kepalanya.

BAGAIKAN sudah terlerai kebencian yang suatu ketika dahulu pernah bertapak di hati Salina terhadap Awaludin. Malam itu menyaksikan mereka menikmati makan malam bersama dalam suasana yang romantis. Mereka kurang berbual sebaliknya lebih banyak bertatapan mesra.

"Kau bahagia di samping suami kau sekarang, Lin?" Awaludin menyoal setelah Salina selesai makan.

"Perlukah aku ceritakan hal rumah tangga aku pada kau?" Soalan dibalas soalan juga.

Awaludin jungkit bahu.

"Terpulanglah pada kau. Aku tak paksa. Aku cuma bertanya aje sebab aku tengok kau sekarang ni macam kurang ceria."

Salina ketawa kecil.

"Kau ni, macam nujum Pak Belalang pulak!" getusnya.

"Walaupun mungkin kita berdua tak ada jodoh tapi aku dah kenal lama dengan kau, Lin. Banyak yang kita berdua dah lalui, susah senang dan sebagainya. Banyak jugak yang kita dah kongsi bersama," tingkah Awaludin sambil mengenyitkan matanya ke arah Salina.

Tidak perlulah dia senaraikan satu persatu perkara yang pernah mereka kongsikan bersama, dia yakin Salina masih mengingati kesemuanya. Kalau tidak, masakan mungkin wajah Salina tiba-tiba sahaja memerah?

"Kata orang, tak baik jajakan hal rumah tangga pada orang luar." Salina masih cuba mengelak daripada memburaikan hal peribadinya di depan Awaludin walau hakikatnya dia sudah tidak kisah lagi. Dia hanya berlakon menjadi perempuan baik di depan Awaludin.

"Nampaknya kau dah anggap aku orang luar?"

Salina menggigit bibirnya. Matanya masih melekap ke wajah Awaludin.

"Habis tu, aku nak anggap kau sebagai apa?"

"Apa kata kalau kau anggap aku sebagai kawan yang paling baik. Kau boleh bercerita apa aje atau kongsikan apa aje dengan aku. Aku sanggup tadah telinga aku ni untuk dengar segala masalah kau." Awaludin mencadangkan kepada Salina.

"Kau tak ada kawan-kawan di sini kan? Aku sanggup jadi kawan kau." Pujuk Awaludin lagi.

"Kawan? Kau... jadi kawan aku?" Terlontar ayat itu dari mulut Salina. Awal, bolehkah aku terima kau sebagai kawan setelah apa yang kita pernah lalui bersama?

Awaludin melambakkan gelaknya.

"Kenapa? Kau tak sudi jadi kawan aku? Aduhai, apalah malangnya nasib aku ni!" desis Awaludin sambil memaparkan imej muram pada wajahnya.

Salina ketawa. Mersik tawanya masih juga seperti dahulu. Tanpa diduga, dia mencapai tangan kanan Awaludin lalu menggenggamnya erat. Bagaikan ada arus elektrik yang mengalir akibat dari tangan yang bersentuhan itu. Dada kedua-duanya mula hangat, berdebar-debar... bergetar-getar!

Selama inipun Salina tidak pernah dilupai, sentiasa di hati Awaludin. Sementara itu, Salina pula bagaikan sebidang ladang kering kontang yang dambakan siraman hujan untuk melembapkannya. Untuk itu, Salina dan Awaludin bagaikan saling lengkap melengkapi.

"Apa kata kalau kita keluar dari sini?" Cadang Awaludin. Matanya tajam merenung Salina.

Salina bagaikan bisu, tidak mampu menjawab. Hanya anggukan di kepalanya, tanda yang dia tidak memprotes. Dan, malam itu Syaitan bersorak lagi!


FOBIAWhere stories live. Discover now